8🌸

94 38 12
                                    

KERETA Vios miliknya sudah terpakir elok di depan kedai runcit yang terdapat di dalam kampungnya. Tubuh kecil diloloskan supaya dapat keluar dari keretanya. Oleh kerana dia berada di kampung, dia tidak mengenakan pakaian yang ketat dan singkat seperti mana dia selalu pakai ketika di Kuala Lumpur. Hanya baju T-shirt dan seluar denimnya sahaja dikenakan tetapi masih kelihatan cantik.

Setelah dia melangkah masuk ke kedai runcit tersebut, dia mencari barang-barang keperluannya di kampung nanti. Takut pula bila dia tiba di kampung, tiada barang-barang seperti syampu, sabun, dan lain-lain. Kalau ada pun, tak pasti lagi dia sudi untuk menggunakannya atau tidak. Jadi, lebih baik dia beli yang baru sahaja. Terlupa pula sebenarnya dia mahu membawa siap-siap semua itu dari rumah mak saudaranya.

"Eh. Ini Amelia kan?"

Suara seseorang menyentakkan dirinya yang ralit mencari barang. Lehernya dipusing. Keningnya bercantum.

"Emm... Yeah... I'm Amelia. Who are you?" Sengaja Amelia berbicara bahasa inggeris. Jika perempuan tua di hadapannya ini pun tidak faham, tak tahulah dia nak kata apa.

"Ha. Betullah kamu ni Amelia. Amelia tak kenal ke cikgu ni? Cikgu yang ajar kamu subjek sejarah. Dah lupa ya kamu dekat cikgu?" gurau wanita itu.

Amelia terkebil-kebil matanya. Perlahan-lahan bibirnya mengoyak senyuman terpaksa. Tidak ingat pula dia dengan mana-mana cikgu yang pernah mengajarnya dulu.

Wanita itu menghulurkan tangan. Dengan terpaksa lagi dia menyalam tangan itu. Sekadar hinggap di dahi sahaja, tak ada dia mahu melebih-lebih mengucup tangan itu. Sudahlah berbau ikan di pasar. Ergh!

"Ehem. Cik... Cikgu, err... Sihat?" tanya Amelia sekadar berbasa-basi walaupun dia sudah lupa nama wanita itu.

"Alhamdulillah... Sihat. Kamu sihat, Amelia?" soal wanita itu balik.

Amelia mengangguk.

"Semakin cantik ya Amelia sekarang. Dulu nampak comot aje. Tapi masih cantik. Sekarang semakin matang, semakin cantik pula tu," puji wanita itu.

Kembang kempis Amelia mendengarnya. Dengar tu. Dari dulu lagi dia memang cantik. Hanya hormon sahaja mengubah sedikit mukanya untuk lebih cantik.

"Eh. Cikgu ingat lagi... Apa tu nama kawan kamu... Ha! Nabila. Nabila yang selalu berkepit dengan kamu tu. Sopan budaknya. Dia mana?" tanya wanita itu dengan riak wajah yang teruja.

Tetapi keterujaan itu bukan padanya. Apabila nama itu disebut, berbahang telinganya mendengar. Apa yang bagus sangat tentang perempuan belagak alim tu? Huh. Getus hatinya. Sejak dari kejadian itu, memang dia tidak puas hati apabila ada yang teringat pada Nabila.

"Amelia? Amelia..."

Amelia tersedar.

"Emm... Kami dah lost contact," jawab Amelia. Malas sebenarnya mahu menjawab soalan itu.

"Laa... Iya ke? Haih... Cikgu suka betul dengan dia. Setiap hari datang bilik cikgu nak tolong cikgu angkat barang sampai ke kelas. Haih... Tapi, hmm... Biasalah kan. Kita kena terima orang baru dalam hidup kita. Lagi-lagi macam kamu, memang kena belajar luar negara." Sambung wanita itu lagi.

Amelia sedikit terkejut. Kepalanya digaru tidak gatal.

"Macam mana cikgu boleh tahu?" Soalnya.

"Alah... Zahim tak habis-habis cerita pasal kamu dekat cikgu. Macam mana cikgu tak ingat. Tapi cikgu bangga dengan kamu ni, Amelia. Belajar bersungguh-sungguh sampai ke luar negara," terang wanita itu lagi.

"Z... Zahim?" Dahi Amelia berkerut. Macam pernah dengar nama itu.

"Dah lupalah tu kamu dekat anak cikgu. Zahim tu..."

Hati-Hati, Sayang Where stories live. Discover now