13🌸

92 21 11
                                    

SEMALAM dia telah mendapat panggilan dari teman lelakinya bahawa lelaki itu tidak sihat. Risau juga hatinya apabila dia mendengar berita itu. Bukan dia tidak mahu melawat semalam hari, tetapi dia takut untuk bersemuka dengan ahli keluarga lelaki itu. Dia bukanlah sesiapa jika dibandingkan dengan mereka. Dia hanyalah seorang perempuan yang anak jati kampung sahaja.

Lagipun, dia sudah tahu bahawa Amelia mempunyai hubungan yang rapat dengan emak kepada Muaz. Jadi dia pasti... Mesti emak Muaz tidak menyukai dengan kehadirannya. Lagi-lagi dia juga akan duduk sebembung dengan keluarga itu. Tetapi dia tidak pasti sama ada dia bakal menjadi penghuni rumah itu ataupun tidak. Dia hanya mampu berdoa yang terbaik sahaja.

Keluhan dilepaskan. Rumah agam yang tersergam elok di depannya direnung dengan hati yang gelisah. Entah berapa kali dia menarik nafas untuk melegakan hatinya yang gementar.

Seorang lelaki tua mendekatinya.

"Ini... Cik Bella ke?" tanya lelaki itu.

Nabila mengangguk. Lelaki tua di hadapannya langsung tidak dikenalinya. Tetapi dia menghadiahkan juga senyuman manis kepada lelaki itu.

"Oh. Nama Pak Cik, Pak Mail. Tuan Muaz suruh Pak Cik jemput Cik Bella masuk. Silakan..."

"Err... Pak Mail, panggil saya Bella je. Tak perlu ber'cik'." Nabila merendah diri.

"Baiklah. Mari, Bella. Ikut Pak Cik."

Nabila hanya mengikut langkah Pak Mail. Setibanya dia berada betul-betul di depan pintu besar rumah itu, jantungnya mengepam laju darahnya. Tapak tangannya mula mengeluarkan air peluh.

"Assalamualaikum..." ucap lelaki tua itu setelah dia membuka pintu besar itu.

Lagi kuat fikirannya menghasut untuk pulang sahaja ke rumah. Bola matanya memandang sekeliling ruang di dalam rumah agam itu. Luas! Jika mahu dibandingkan harga rumahnya dengan rumah ini, 10 tahun gajinya pun belum tentu dapat memiliki rumah sebegini.

"Waalaikumussalam. Eh, abang. Jemput Cik Bella tu masuk."

Suara yang menyapa koklea telinganya menyentakkan dirinya daripada lamunan. Wajah perempuan tua yang menghampiri mereka berdua itu dipandang lantas bibirnya mengukir senyuman yang manis.

"Ha, Bella. Ini Mak Mah, isteri Pak Cik. Dia orang gaji dekat rumah ni. Pak Cik pula pemandu dengan tukang kebun dekat rumah ni. Mari masuk," jemput Pak Mail.

Lengan Pak Mail dicuit isterinya.

"Kenapa abang panggil Cik Bella, Bella je? Dia kan akan jadi penghuni rumah ni," Mak Mah berbisik pada suaminya.

Nabila yang dapat menangkap bisikan itu segera bersuara. Dia tidak biasa dengan panggilan itu dan dia juga tidak pasti sama ada dia akan jadi sebahagian keluarga ini atau tidak.

"Err... Mak Mah, panggil saya Bella je." Senyuman dihadiahkan lagi.

Tidak berkedip mata perempuan tua di hadapannya. Rendah diri betul. Sudahlah ayu, sopan santun, memang dia berharap sangat gadis itu menjadi isteri kepada anak majikannya. Bolehlah dia berkenalan sikit. Jika Amelia, memang tak akan dapatlah dia mahu berborak.

"Baiklah kalau macam tu. Mak Mah panggil Bella je ya. Ha. Mari masuk." Lengan gadis itu ditarik.

Pak Mail melihat isterinya membawa Nabila menuju ke dapur, segera dia menahan.

"Eh. Yang awak nak bawa dia ke dapur tu, kenapa? Tetamu tak boleh pergi dapur. Awak bagi je dia duduk dekat ruang tamu. Ada yang kena marah dengan Datin juga nanti." Pak Mail memperingatkan isterinya.

Mak Mah terhenti. Raut muka Nabila yang keliru dipandang.

"Ya Allah... Maaflah ya, Bella. Mak Mah terlupa. Err... Jemput duduklah ya. Mak Mah nak masak untuk makanan tengah hari," ujar Mak Mah.

Hati-Hati, Sayang Where stories live. Discover now