[ 85 ] KHTKM - LEMAS

8 0 0
                                    



Kali ini aku ingin kongsi cerita yang masih berkisar dengan kehidupan atuk dan nenek aku di kampung. Kampung nenek aku ni agak mendamaikan sebab memang terletak di dalam kawasan pendalaman. Di belakang rumah nenek ada sebatang sungai yang muaranya sangat luas kerana terletak tidak jauh dari kawasan laut. Sungai yang mana Atuk terserempak dengan jin laut yang naik ke daratan. (refer cerita aku yang lepas)

Dulu masa kecil aku dan sepupu-sepupuku selalu lah terjun tiruk masuk ke dalam sungai sampai kena hambat sebab berendam sampai ke Maghrib. Tapi itu lah kehidupan budak-budak kampung zaman dulu. Walaupun aku duduk di Bandar, tapi setiap kali aku berada di kampung aku sememangnya tidak melepaskan peluang untuk ikut aktiviti sepupu yang lain. Cuma zaman sekarang je dah sunyi.

Alkisah melibatkan sungai ni, pada suatu hari raya lebih kurang 20 tahun yang lepas, nenek dan mak cik aku sedang sibuk memasak di dapur. Memandangkan dapur menghala ke arah sungai, memang mudah untuk melihat sesiapa yang lalu-lalang atau menuju ke arah sungai belakang rumah. Dalam kesibukan memasak tu, nenek sempat melihat beberapa orang kanak-kanak lelaki dan perempuan berlari untuk bermain di sungai belakang rumah.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan sebab memang belakang rumah nenek terdapat satu jeti yang sering digunakan oleh penduduk kampung atau nelayan. Sesekali kedengaran suara budak-budak gelak ketawa bergurau senda bermain. Bunyi air berkocak juga kedengaran. Jadi ternyata mereka mandi-manda di situ.
Nenek dan makcikku meneruskan kerja rumah seperti biasa. Sesekali menjenguk ke arah mereka. Untuk beberapa ketika makin riuh-rendah suara budak-budak tu bergelak ketawa. Dan diselangi suara menjerit meminta tolong.
“Tolong! Tolong!”
Nenek aku menjenguk lagi. Tapi tidak kelihatan pula bayang budak-budak tu.
Kemudian kedengaran lagi suara budak-budak ketawa. Jadi nenek menyangka mereka bergurau dan bermain. Lagipun memang selalu budak-budak situ bergurau konon lemas.

Tidak lama selepas itu, nenek dan makcikku mendengar suara budak perempuan menangis panjang. Nenek menjadi semakin pelik. Permainan apa lah yang budak-budak tu main. Seraya itu juga kelihatan seorang lelaki dewasa muncul menuju ke jeti sungai. Nenek sememangnya kenal. Itu Ahmad anak Pak Mat yang duduk di Bandar. Rupa-rupanya budak-budak tadi adalah anak-anaknya bersama sepupu. Mungkin kerana duduk di Bandar bila balik ke kampung menjadi agak excited bila boleh bermain di sungai.

Keadaan menjadi agak riuh dan kelam-kabut apabila si ayah budak tu berlari menjerit meminta tolong mengatakan anaknya lemas. Petang itu, penduduk-penduduk kampung bersama-sama membuat search and rescue mencari kedudukan mangsa di dalam sungai. Setelah beberapa jam berlalu sehingga tengah malam baru selesai pencarian. Dua orang kanak-kanak ditemui m**i lemas dan jenazah berada tidak jauh antara satu sama lain.

Hari raya kali itu agak suram apabila ada berita kematian yang menyayat hati. Lebih-lebih lagi ia terjadi hanya beberapa meter dari belakang rumah nenekku, sedikit sebanyak memberi kesan kepada keluargaku.
Untuk tempoh beberapa hari sejak peristiwa itu, nenek dan makcik seringkali mendengar suara budak-budak bergelak ketawa diselangi dengan suara menangis meminta tolong dari arah jeti sungai belakang rumah. Kadang-kadang di siang hari, kadang-kadang di malam hari. Bila dijenguk, tiada siapa di jeti. Sejak hari itu, tiada lagi budak-budak yang berani terjun mandi sungai. Sehinggalah beberapa tahun berlalu, semakin tiada yang bermain mandi di sungai. Yang tinggal hanya lah kenangan.

Mengenai peristiwa lemas itu, dari apa yang seorang budak perempuan tu cerita, mereka bermain di atas perahu yang diikat di jeti sungai. Dan semakin lama semakin bermain di gigi air sehingga masuk ke dalam sungai. Dalam mereka bergelak ketawa, tiba-tiba si abang terkapai-kapai seperti ada yang menarik dan si sepupu yang seorang lagi cuba utk menarik si abang. Tetapi akhirnya masing-masing lemas dan hilang. Budak perempuan itu pula menangis-nangis meminta tolong tapi tiada siapa yang mendengar.

Hakikatnya nenek dan makcik mendengar budak meminta tolong tetapi selepas itu masih kedengaran suara budak-budak bergelak ketawa. Kata nenek, mungkin ada benda lain bergelak ketawa melihat budak-budak itu lemas di dalam air. Sebab itu nenek mendengar suara meminta tolong dan gelak ketawa bersilih ganti dan bertindih.

Pakcik aku juga memaklumkan bahawa kawasan sungai belakang rumah nenek agak keras. Sepertimana apa yang pernah diceritakan oleh arwah atuk dahulu.
Sungai belakang rumah nenek aku ni memang menjadi tempat kenangan sejak kecil. Tapi tetap memberi rasa yang kurang enak setiap kali ke situ. Tenang tapi seram.

Semoga roh budak-budak yang lemas situ dicucuri rahmat dan dijadikan pedoman buat semua untuk tidak cuai dalam mengawasi kanak-kanak lebih-lebih lagi di kawasan yang merbahaya seperti sungai atau laut. Malang tidak berbau. Tetapi waspada masih boleh menjadi sempadan terakhir dalam pengawasan kanak-kanak. Apapun semuanya asbab. Sesungguhnya ajal dan maut itu pasti.
Sekian.

kredit by AC




NEXT»»»»»»

KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」Where stories live. Discover now