[6] KHTKM - MANA KEPALA AKU?

79 3 1
                                    






Di dalam majalah, saya sering terbaca kisah-kisah misteri yang dialami oleh pemandu teksi. Walaupun kadangkala apa yang diceritakan itu macam tidak masuk akal, tapi saya tahu, apa yang diceritakan oleh pemandu-pemandu teksi berkenaan adalah cerita benar.
Saya katakan begitu sebab saya pun pemandu teksi. Hakikatnya, memang begitulah kehidupan kami, selalu saja digangu untuk mencari rezeki buat keluarga.
Saya juga pernah mengalami kejadian seperti itu. Salah satunya berlaku pada suatu malam sekitar pertengahan 2009, ketika poket saya tengah kering.
Ceritanya begini. Malam itu, bila saya menyeluk poket baju, yang ada hanyalah beberapa helai duit kertas. Saya menggeleng-gelengkan kepala. Duit sewa teksi pun tak lepas.
Sisa air di atas meja segera dihabiskan dan saya terus masuk ke dalam teksi. Saya termenung seketika.
Saya melihat jam di tangan. Sudah pukul 7:45 malam.
Biasanya pukul 9:00 malam lagi saya sudah pulang ke rumah. Tapi hari itu saya ambil keputusan untuk kerja lebih masa. Jika tidak, sudah tentu saya tidak dapat membayar sewa teksi.
Saya segera mencapai telefon bimbit dan menghubungi isteri untuk memberitahu bahwa saya terpaksa berkerja hingga lewat malam.

Malam itu, saya merayau-rayau di sekitar bandar raya Kuala Lumpur mencari penumpang. Namun sehingga pukul 10:00 malam, baru dua orang penumpang diperoleh. Itu pun perjalanan tidaklah begitu jauh.
Hati saya menjadi sebak. Saya tidak tahu kenapa hari itu nasib saya begitu malang. Rezeki jauh kurang berbanding biasa.
Lazimnya, paling tidak pun saya boleh dapat sehingga RM500. Tetapi hari itu, sejak dari pagi sehingga sekarang, saya baru memperoleh RM150.
Saya tabahkan hati. Akhirnya saya memarkir teksi di depan sebuah kelab malam. Mungkin ada rezeki aku kat sini, saya cuba menyedapkan hati.
Malam itu bukanlah malam minggu.

Tidak begitu ramai orang di sekitar kelab malam tersebut. Tapi mungkin sudah rezeki, 10 minit kemudian, seorang wanita berpakaian agak seksi membuka pintu teksi saya.
"8eranang, bang! Boleh? Saya kena balik rumah kakak saya. Kawan sayan janji nak datang, tapi sampai sekarang batang hidung pun saya tak nampak," jelas wanita itu sebaik melabuhkan punggungnya di kerusi belakang.
Saya berfikir seketika. Beranang? Jauhnya. Paling cepat pun mahu memakan masa kira-kira sejam perjalanan. Malam pula tu. Belum tentu dapat penumpang semula dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur.
Duit minyak bukannya sedikit. Rugi juga. Saya menggaru kepala. Tetapi sekiranya ditolak, saya hilang satu rezeki.
"Bang tolong, bang! Berapa abang nak saya bayar? RM150 pun boleh. Saya sanggup," kata wanita itu apabila melihat saya terdiam agak lama.
Hati saya mula berbelah bahagi. Akhirnya disebabkan kasihan dengan wanita itu, saya bersetuju. Harap-harap duit tambangnya nanti dapat menampung kekurangan pendapatan saya hari itu.

SEMASA DALAM PERJALANAN, bermacam-macam topik yang kami bualkan. Wanita itu juga peramah.
Perjalanan ke rumah yang ditujui oleh gadis itu memaksa saya melalui kawasan yang agak gelap. Kiri dan kanan hanya berlukar dan pokok-pokok besar.
Semakin lama, kawasan semakin gelap. Pun demikian, perbualan kami semakin rancak. Tiba di satu selekoh, tiba-tiba sahaja wanita itu bersuara.
"Bang! Balik kejap lagi, abang jaga-jaga sikit kawasan sini. Dah ramai orang jumpa hantu kat sini," kata wanita itu sambil menunjukan kawasan yang dikatakan 'keras' itu.
"Hish! Jangan cakap macam tu. Gelap ni," kata saya. Saya sebenarnya sudah seriau mendengar kata-kata wanita tersebut.
Setelah lebih kurang sejam perjalanan, akhirnya kami sampai ke destinasi yang ditujui, iaitu sebuah kampung yang agak jauh dari jalan besar. Dia menghulurkan tiga keping not RM50.

Baru sahaja saya mahu mengembalikan bakinya, wanita itu menyuruh saya menyimpan saja wang tersebut. Malah wanita itu berterima kasih banyak-banyak kepada saya kerana sudi membantu menghantar ke rumah kakaknya.
Saya kemudian terus memecut teksi. Jam ketika itu sudah menunjukkan 11:30 malam, saya mahu kembali cepat ke ibu kota untuk mencari penumpang lain. Saya tidak berharap ada penumpang di Beranang pada malam-malam begini.
Sewaktu memandu untuk keluar dari kawasan tersebut, hujan renyai-renyai tiba-tiba sahaja turun. Pelik juga saya, sebab sebelum itu tiada sebarang tanda pun hujan mahu mencurah. Pandangan saya sedikit terbatas.
Tiba di selekoh, saya ternampak seorang wanita melambai-lambai tangan. "Alhamdulillah, dapat lagi rezeki," kata saya di dalam hati dan terus memberhentikan teksi.
"Nak ke mana, dik?"
"Bangi!" balas wanita berambut panjang itu.
Saya tersenyum. Rezeki lagi. Dalam hati saya berkata, tidak sia-sia saya membantu wanita tadi. Walaupun pada mulanya saya berat hati, tapi kini rezeki mula datang.
Wanita itu melangkah masuk dan duduk di kerusi belakang. Bau wanita itu sungguh wangi, seolah-olah bunga melur.
Bibirnya merah. Berbaju kebaya dan rambut bersanggul kemas. Pakaiannya persis orang 60-an dahulu. Sungguh lawa.
Cuma yang menghairankan saya, dari mana datangnya wanita tersebut dalam kawasan berlukar seperti itu. Biarpun macam-macam andaian mula menyerbu fikiran, saya cuba bersangka baik.
"Ke Bangi buat apa malam-malam ni?" soal saya.
"Rumah saya kat sana. Tadi datang rumah makcik," balas wanita itu. Suaranya sangat lembut, antara dengar dengan tidak.
Saya bertambah hairan. Seingat saya, semasa perjalanan menghantar penumpang tadi, saya tidak nampak sebuah rumah pun di kawasan itu. Hanya hutan berlukar di kiri dan kanan jalan.
Tiba-tiba saya teringat kata-kata penumpang pertama tadi yang kawasan yang dikatakan 'keras'.
Saya memandang ke cermin pandang belakang. Saya lihat dia melemparkan senyuman ke arah saya.

Ah, tidak mungkin wanita ini hantu. Mana ada hantu boleh bercakap, fikir saya.
Wajahnya pun cantik menawan. Kalau macam inilah rupa hantu, hari-hari pun saya sanggup jumpa, kata saya di dalam hati. Saya tersenyum sendirian.
"Abang ikut jalan dalamlah, dekat, sikit," kata wanita itu, mengejutkan saya yang sedang mengelamun.
Saya mengangguk sebab saya pun mahu cepat balik ke Kuala Lumur. Saya memandu mengikut jalan yang ditunjuk oleh wanita tersebut. Tapi kawasan itu juga gelap.
Saya tidak bertembung dengan sebuah kereta pun. Perjalanan menjadi begitu sunyi dan gelap. Saya berasa seperti sedang memandu di sebuah dunia lain yang kosong dan hitam.
Sewaktu kami merentasi sebuah kawasan berlukar, wanita tersebut mula bercerita. Katanya, kawasan itu memang jarang dilalui oleh orang ramai.
Dahulu pernah berlaku kemalangan ngeri di situ.
Dalam kemalangan itu, seorang wanita telah terputus kepalanya dan sehingga hari ini kepalanya masih belum ditemui.
Setelah kejadian itu, penduduk sekitar mengatakan, selepas pukul 12:00 malam, mereka sering ternampak kelibat wanita merayau-rayau di kawasan berkenaan.
"Kata orang, perempuan tu sedang mencari kepalanya yang hilang," sambung wanita berkenaan dengan suaranya yang lembut dan perlahan.
Habis saja bercerita, wanita berkenaan tiba-tiba meminta saya memberhenti teksi. Katanya dia rasa hendak muntah.
Saya segera memberhentikan teksi dan wanita itu terus keluar. Dia berlari menuju ke kawasan yang bersemak samun.
Hampir 5 minit berlalu, namun wanita itu belum lagi kembali ke dalam teksi. Saya mula resah. Duduk bersendirian dalam kawasan hutan yang gelap dan sunyi begitu menyebabkan saya berasa seram.
Cerita wanita tadi serta penumpang yang mula-mula dihantar tadi, asyik bermain-main di fikiran.
"Isy, tak boleh jadi ni!" saya mula hilang sabar menunggunya yang masih tidak muncul-muncul.
Saya kemudian keluar mencari wanita berkenaan dan nampak semak samun di situ bergerak-gerak.

Sewaktu memerhati semak samun itu, tiba-tiba saya terdengar suara orang meminta tolong.
Ah, apa pulak yang terjadi pada perempuan ni?
Saya berlari ke arah semak itu. Di situ saya nampak wanita tersebut terbongkok-bongkok seperti sedang tercari-cari sesuatu.
"Cari apa, cik?" soal saya.
Wanita itu tidak menjawab, sebaliknya berpusing tepat menghadap saya. Sejurus dia menoleh, kaki saya berasa lembik. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat wanita itu tidak berkepala!
Badan saya menggigil. Tanpa berlengah, saya terus berlari masuk ke dalam teksi dan memecut laju.
Setelah jauh meninggalkan tempat itu, saya memandang cermin pandang belakang. Berderau darah saya apabila melihat penumpang wanita tadi berada di kerusi penumpang.
"Ya Allah! Ya Allah!" hanya itu yang mampu di ucapkan oleh saya.
Darah terasa kering. Tangan saya terketar-ketar. Anehnya apabila memberanikan diri berpaling ke belakang, saya tidak pula nampak sesiapa pun di situ.
Saya segera naikan cermin tersebut supaya tidak dapat melihat ke belakang lagi, dan saya makin laju memecut mencari kawasan yang lebih terang.
Walaupun kursi belakang itu dilihat kosong, tetapi saya rasakan seperti ada seseorang yang duduk di situ. Hanya mata kasar saja yang tidak dapat melihat.
Bulu roma saya tegak mencacak. Suhu di dalam teksi berasa panas walaupun saya membuka penghawa dingin.
Saya terus memecut, dan apabila sampai di sebuah kawasan perumahan yang agak cerah, barulah saya memberhentikan teksi. Sepantas kilat saya membuka pintu dan berlari ke luar.
Dari jauh saya memerhati teksi. Tidak nampak sesiapa pun di dalamnya. Setelah berpuas hati, saya menyambung semula perjalanan pulang ke rumah.
Malam itu perjalanan ke rumah saya di Gombak terasa begitu jauh sekali. Lutut saya sudah lemah.
Dada masih lagi berdebar-debar.

KEJADIAN ITU menyebabkan saya demam selama empat lima hari. Bermakna, empat lima hari itulah saya tidak dapat berkerja.
Sejak malam itu, saya tidak lagi membawa teksi.
Kejadian tersebut benar-benar menakutkan saya.
Cerita yang saya lalui itu kemudian sampai ke telinga kawan-kawan. Masing-masing mula berwaspada apabila mengambil penumpang pada tengah malam, terutama yang meminta supaya dihantar ke Beranang.
Kalau anda menaiki teksi, cubalah tanya pada pemandunya adakah mereka pernah mengalami kejadian-kejadian misteri seperti yang saya lalui. Saya pasti jawapan mereka adalah, " Ya, pernah!"

- Sama ada anda percaya atau tidak, terpulang. Sebab hanya orang yang pernah melaluinya saja yang percaya dengan apa yang berlaku itu, juga fenomena misteri serta alam ghaib yang ada di sekeliling kita. Orang yang tidak pernah mengalaminya sampai bila pun tidak akan percaya, atau berasa ragu-ragu. Betul kan?










NEXT»»»»»»»»»

KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」Where stories live. Discover now