[8] KHTKM - TOPENG

56 1 0
                                    




Sudah tengah malam, namun Rauf masih belum mahu tidur. Pemuda itu langsung tidak rasa mengantuk. Dia duduk ditangga rumah peninggalan arwah kedua orang tuanya sambal merenung sepucuk surat yang ditemui didepan rumahnya setibanya ke kampung beberapa hari sudah. Diambilnya pula sebuah topeng kayu yang tergantung di dinding rumahnya. Topeng kayu itu ditenungnya dalam dalam, seakan mengimbau cerita lampau yang terpendam. Cerita panjang yang penuh dendam.

Semua orang memakai topeng masing masing bagi menutup diri mereka yang sebenar. Ada orang dermawan, selalu memberi derma dan sumbangan tetapi itu hanya topeng bagi mengharapkan penghargaan dan balasan. Ada yang bertopengkan agama untuk mendapatkan keuntungan. Ada pula orang suci tapi terpaksa memakai topeng syaitan bagi menghalalkan perbuatannya. Kesemua memakai topeng bagi merahsiakan isi hati yang sebenar, bertopeng hanya untuk berlindung.

Rauf pernah menghilangkan diri, membawa hatinya yang luka selama berbulan bulan setelah Salmah, gadis desa yang mencuri hatinya sejak zaman kecil dijodohkan dengan Dato Taufik seorang usahawan oleh Haji Fuad, bapa Salmah. Masih terasa remuk bersemayam di lubuk hati Rauf setiap kali teringatkan saat dia terpaksa tersenyum kelat memandang Salmah diatas pelamin pada hari persandingan gadis itu dengan Dato Taufik.

Tidak pernah padam rasa marah Rauf pada Haji Fuad bila teringatkan kata kata Haji Fuad ketika menolak pinangannya dahulu. Kata Haji Fuad, dia tidak layak bersama Salmah, dia hanya mengambil upah menoreh, menjual sayur sayuran dan melakukan kerja kerja di Kampung Sungai Kerawai sedangkan anak gadisnya bergelar ustazah yang mengajar di maahad tahfiz miliknya. Tidak sampai pun satu minggu pinangan Rauf ditolak, Haji Fuad menerima pula pinangan untuk Salmah dari Dato Taufik. Pinangan Rauf ditolak mentah mentah, tapi kali ini Haji Fuad menerima dan memberi keizinan menjodohkan anak gadisnya dengan usahawan yang hampir sebaya umur dengannya.

Salmah sungguh cantik dimata Rauf, kemanisan wajah ustazah muda itu cukup menawan sehinnga membuatkan sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat. Beberapa pemuda lain pernah cuba memikat tetapi dia sudah lama mengenali hati budi Rauf dan turut mempunyai rasa kasih pada pemuda itu. Perkenalan mereka terjalin sejak di bangku sekolah lagi dimana Salmah sering membantu Rauf dalam memahami mata pelajaran yang Rauf tidak kuasai.

Bagi Rauf, Salmah adalah tempat dia mengadu nasib setelah kematian kedua orang tuanya. Dia gemar bercerita tentang orang tuanya pada Salmah, baginya bercerita tentang kenangan lama dapat memadamkan kerinduan terhadap orang tuanya. Salmah pula menyukai Rauf kerana ketulusan hati pemuda itu. Rauf pandai bercerita, membuat jenaka yang dapat menghiburkan hati Salmah. Mereka sering berjumpa di kantin maahad tahfiz tempat Salmah mengajar ketika Rauf menghantar sayur sayuran yang ditempah oleh Haji Fuad setiap pagi. Walaupun hanya untuk sebentar, namun Rauf akan tetap bercerita, membuat jenaka setiap hari.

Dato Taufik, usahawan berjaya dari bandar besar Kuala Lumpur berasa cukup gembira apabila pinangannya diterima Haji Fuad. Dia yang telah lama menduda akibat kematian isteri tertarik Salmah ketika pertama kali terlihat ustazah itu sewaktu hadir pada program penyampaian sumbangan kepada maahad tahfiz milik Haji Fuad. Malah usahawan itu berjanji untuk memberikan sejumlah dana yang besar pada setiap bulan kepada maahad tersebut setelah berkahwin dengan Salmah. Dato Taufik merasa bahagia apabila berjaya mengahwini seorang perempuan muda seperti Salmah.

Haji Fuad gembira dengan perkahwinan anaknya Salmah dengan usahawan dari Kuala Lumpur itu. Hidupnya kini lebih mudah dan senang, tidak perlu lagi dia ke jabatan jabatan bagi memohon sumbangan untuk maahadnya. Tambahan pula, menantunya itu telah menghadiahkan sebuah kereta mewah buat kegunaannya menggantikan kereta lama miliknya. Haji Fuad merasa puas serta bahagia hidupnya atas kesenangan segera yang diraihnya.

Bagi Salmah, perkahwinan yang bukan atas kerelaan dirinya itu begitu menyakitkan hati serta jiwanya. Dirinya benar benar menyayangi akan Rauf tetapi oleh kerana Haji Fuad sudah gelap mata akan wang, dia telah menjadi mangsa ketamakan bapanya. Perkahwinannya ini membuahkan perasaan benci kepada bapanya kerana sanggup memberi keizinan kepada lelaki lewat usia seperti Dato Taufik untuk menjadi suaminya. Salmah tidak pernah merasa bahagia walaupun telah dihadiahkan sebuah rumah agam yang besar dari suaminya. Hidupnya sunyi dan kosong.

Rauf pula telah membawa diri pada ketika itu, jauh meninggalkan Kampung Sungai Kerawai. Dibawanya bersama cerita kenangan lama tentang arwah orang tua nya, serta memori indah wajah gadis pujaan hatinya. Jauh dia berkelana hingga ke Muar dan disana dia menetap bersama Lokman, rakannya yang juga berasal dari Kampung Sungai Kerawai. Pada mulanya Rauf bertekad tidak lagi mahu pulang menjejakkan kaki ke kampung halamanya. Akan tetapi pada suatu hari setelah dia mendapat khabar yang mengejutkan dari Lokman. Salmah telah ditemui mati tergantung di ruang tengah rumah agam miliknya, dan dia dipercayai bunuh diri. Khabar tergempar itu merubah prespektif Rauf pada manusia sekililing dan lebih utama, mengubah dirinya.

Surat itu dilipatnya kemas dan diselitkan diatas rak kasut dihadapan rumahnya. Setiap baris Rauf menarik nafas dalam dalam sambil memejamkan mata. Terbayang wajah arwah Salmah seakan memandangnya sayu. Perasaanya sedih bercampur marah, kehilangan gadis itu dengan cara yang tidak sepatutnya harus dibela. Salmah pergi membawa rasa cintanya dan ini mendalamkan lagi luka yang bernanah di jiwanya.

Seseorang harus menanggung kesedihan yang bersarang di jiwa Salmah hingga mengakibatkan gadis itu bertindak melakukan sesuatu yang diluar akal. Sambil menyarung topeng kayu ke wajahnya, Rauf menyusun langkah meredah kepekatan malam.









NEXT»»»»»»»»»»»»»»

KISAH HANTU TIDAK KASAT MATA VOL 2 「 Complete 」Where stories live. Discover now