02 | bercelaru

163 37 35
                                    

Tit... tit... tit...

Bunyi mesin itu menjadi santapan pertama telinganya sebaik sahaja dia memperoleh semula kesedaran. Matanya dibuka perlahan-lahan, cuba menyesuaikan diri dengan foton cahaya yang berpusu-pusu masuk ke dalam retinanya.

Beberapa saat kemudian, barulah dia berjaya membuka mata seluasnya. Keadaan sekeliling terus diperhati. Lampu siling di atasnya ditatap, kemudian pandangan dialihkan pula ke kiri. Dinding putih kosong itu dilihat tanpa sebarang reaksi. Mesin pengesan degupan jantung yang masih berbunyi dipandangnya pula. Kedua belah tangan diangkat lantas diletakkan di hadapan mata. Wayar-wayar yang berselirat menjadi tatapan.

Ini... hospital?

Selepas berjaya mengadaptasi keadaan sekeliling, barulah dia perlahan-lahan bangun dari pembaringan. Urat-urat sendinya terasa sakit. Malah kepalanya juga berdenyut. Menjadikan pergerakannya agak sukar. Dia berfikir sejenak - apa yang telah berlaku?

"Oh, ya. Aku accident." Memori dia dilanggar kereta hitam terimbau kembali. Tidak lama selepas itu, dia teringat pula akan perkara aneh yang dia lalui sebentar tadi.

"Nanti... adakah apa yang berlaku tadi cuma mimpi?" Omelnya sendirian. "Kalau ia mimpi, mengapa ia terasa amat benar? Seolah ia memang berlaku di alam realiti..."

"Ayman?" Satu suara menyapa. Ayman lantas mengangkat muka.

"Umi?"

Senyuman perlahan-lahan terukir. Mutiara jernih terlihat mengalir di tubir mata wanita itu. Beg plastik yang dipegang terus terlepas dari pegangan.

"Ayman!" Puan Farah berlari lantas memeluk Ayman sekuat hati. Ayman sedikit terkejut dengan pelukan itu. Namun dalam masa yang sama, air matanya turut mengalir dek kerinduan terhadap ibundanya. Pelukan wanita kesayangannya dibalas.

"Syukurlah kamu dah sedar..." Puan Farah berkata disulami sebak di dada. Kata-katanya juga tidak berapa didengari dek suara yang terbuku pada bahu anaknya.

Syukur, alhamdulillah.

***

Ayman telah menghabiskan lagi dua hari di wad hospital itu sebelum dia dibenarkan discaj pada hari ini. Dari semalam dia mengemaskan barang-barangnya sehinggalah ke pagi ini, senyuman tidak lekang dari wajah. Kalimah syukur sentiasa meniti dalam diam. Betapa dia gembira dapat kembali ke pangkuan keluarga.

"Hari ni Ayman nak makan apa? Abi belanja." Ustaz Amin berkata penuh semangat sambil tangannya tidak lepas menolak kerusi roda Ayman.

Diakibatkan oleh impak yang kuat, kaki kirinya masih dalam keadaan disfunction. Bukanlah dia tidak boleh guna langsung, tetapi ada baiknya untuk berhati-hati memandangkan anggota itu menerima kecederaan yang amat teruk.

Itu pun Ayman patut bersyukur ia tidak patah. Sekadar retak sahaja. Ajaib betul.

"Hah? Tak adil! Kenapa Ayman boleh pilih nak makan apa? Kalau macam ni, Alya pun nak sakit jugalah!" Alya bersuara dalam nada cemburu yang dibuat-buatnya. Dia berpeluk tubuh, berpura-pura merajuk. Tidak semena-mena perbuatan itu menimbulkan gelak tawa dalam suasana. Semua orang nampak gembira. Senyuman Ayman tidak dapat ditahan lagi.

Tanpa sengaja, dia terpandang seorang lelaki berhud kelabu tidak jauh darinya. Lelaki itu tidaklah terlalu tinggi dan melihatkan dari tubuh badannya, berkemungkinan besar umurnya lebih kurang Ayman, atau mungkin lebih tua.

Dia sedang bersandar pada tiang beberapa meter di sebelah kanan Ayman, sedang memerhatikannya. Keluarganya tidak perasan akan kehadiran lelaki itu, memandangkan kesemua mereka sedang asyik bergurau senda.

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now