05 | dia sang syuhada'

131 25 30
                                    

"Berhenti!" Satu suara bergema bak guruh yang berdentum. Tumbukan yang melayang terhenti separuh jalan.

Kesemua yang ada mula tercari-cari arah datangnya suara itu. Dari dalam lautan manusia, muncul seorang lelaki berambut merah datang ke arah mereka. Walaupun jelas jumlah lawannya lebih besar, dia langsung tidak kelihatan gentar.

Pengikut-pengikut Wang terus melangkah ke hadapan, memasuki gelanggang pertarungan. Lelaki berambut merah berhenti berjalan sebaik sahaja sedar dirinya sudah menjadi perhatian. Dia memandang wajah lawannya seorang demi seorang.

"Kau siapa?" Salah seorang daripada ahli Geng Baju Hitam menyoal. Wajahnya bengis, namun tidak cukup untuk menakutkan lelaki berambut merah.

"Lepaskan budak tu." Ujar lelaki berambut merah tanpa menjawab soalan. Entah mengapa, perkara itu membuatkan si penyoal tergelak, diikuti oleh rakan-rakannya yang lain.

"Wah, wah, wah... berlagak hero nampak? Sampai soalan aku pun dipalaunya. Heh, memang nak mati." Lelaki itu meludah ke tepi. Bibirnya dikesat. Matanya membara memandang pencabarnya.

"Kau tahu tak dalam banyak-banyak buku, buku apa yang sakit?" Dia menyoal. Lelaki berambut merah mengeluh. Lambat-lambat dia menjawab.

"Buku lima."

Kata-kata itu terdengar seperti satu pelawaan untuk diderang. Ahli-ahli Geng Baju Hitam yang terdiri daripada lima orang itu tanpa berlengah terus berlari ingin memukul lelaki berambut merah. Namun, lelaki itu jelas tidak kelihatan gentar. Dia hanya berdiri, menanti lawannya untuk tiba.

Lawannya yang pertama hadir bersama penumbuk yang dihala tepat ke wajah. Dengan senang, lelaki berambut merah mengelak ke kiri, membuatkan penumbuk itu tersasar dan penyerang hilang keseimbangan. Sebelum sempat lawannya jatuh, dia lantas menetak leher penyerang itu dengan tangan kanan. Lawannya tumbang serta-merta.

Ahli-ahli yang lain berhenti berlari. Terkejut dengan ketangkasan lelaki yang disangkakan lemah itu.

Lelaki berambut merah melangkah beberapa tapak ke hadapan, manakala keempat-empat ahli yang berbaki mula menapak ke belakang. Cuba menjauhkan diri.

Tidak jauh daripadanya terdapat sebatang kayu sebesar lengan bayi dan sepanjang lengannya terdampar di tengah-tengah jalan. Kayu itu diangkat lantas dilibas-libas sedikit, menguji keteguhannya.

Ahli Geng Baju Hitam sekadar melihat. Mereka menelas liur.

Melihatkan lawannya mulai ketakutan, lelaki berambut merah lantas berjalan mendekati mereka bersama kayu yang tidak henti dilibas-libas. Sengaja mahu menakutkan. Apabila jarak mereka sudah semakin hampir, lelaki berambut merah lantas mengangkat tinggi kayu itu. Belum sempat ia dihayun, empat orang ahli Geng Baju Hitam itu terlebih dahulu cabut lari.

Perkara itu menjemput kejutan daripada orang sekeliling yang memerhati. Lebih-lebih lagi Wang yang terbeliak matanya apabila ditinggalkan sebegitu oleh anak buah sendiri.

Lelaki berambut merah menghampiri Wang, membuatkan lelaki itu mula berjaga-jaga.

"K-k-kau nak budak ni, kan? Ambiklah!" Belakang badan Ayman ditolak kasar ke hadapan. Hampir sahaja remaja itu jatuh tersungkur jikalau tidak kerana keseimbangan. Apabila perhatian lelaki berambut merau tertumpu kepada Ayman, terus sahaja Wang membuka langkah seribu dan berlari melepasi lautan manusia seperti tidak cukup tanah.

Lelaki berambut merah menggeleng.

"Kau okey?" Dia mengalih pandangan kepada Ayman. Kelihatan remaja itu mengangguk.

"Ya, saya tak apa-apa. Terima kasih, encik."

"Geng Baju Hitam nampak saja kuat. Berlagak hebat. Padahal penakut." Ujar lelaki berambut merah itu lagi sebelum tergelak kecil sendiri. Mungkin geli hati apabila teringat kembali momen Geng Baju Hitam melarikan diri.

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now