12 | sengsara

86 17 11
                                    

"Abang..."

Ayman angkat sebelah kening. Hairan.

"Err, cik... kita pernah kenalkah?" Soalnya. Gadis itu menggelengkan kepala, seterusnya membawa dia kembali ke dunia nyata. Cepat-cepat dia bangun lalu menunduk di hadapan Ayman sebagai tanda minta maaf di samping melindungi wajahnya yang berona merah akibat malu.

"Maafkan saya!" Selesai sahaja ucapan itu disebut, terus dia berlari meninggalkan Ayman. Ayman sekadar menghantar kelibat gadis itu dengan pandangan hairan.

"Pelik."

Ayman melangkah ingin mendapatkan barangannya. Sebaik sahaja dia menunduk, ekor matanya menangkap sejenis objek bulat tidak jauh darinya. Apabila dia melihat, barulah dia sedar bahawa objek itu merupakan sebuah topi berwarna campuran hitam dan merah jambu. Ayman berjalan mendapatkannya.

Topi yang berhabuk akibat jatuh itu dikibas-kibas. Tulisan yang dijahit pada bahagian hadapannya dibaca - Mel.

"Jangan kata ini topi gadis tadi?" Pandangan dilempar ke hadapan. Dia melilau sekeliling, mencari kalau-kalau gadis itu masih ada. Namun sayang... di balik lautan manusia ini, pastinya susah untuk mencari gadis itu kembali.

Keputusan akhirnya dibuat. Topi cap itu akhirnya dijinjing pulang bersama. Dia ingin bertanya kepada rakan-rakannya mengenai topi ini. Mana tahu mungkin ada di kalangan mereka yang kenal pemiliknya.

***

Melissa yang keletihan mula memperlahankan lariannya. Dia sudah jauh dari pasar, serta-merta jauh dari lelaki yang berlanggar dengannya tadi. Lariannya dihentikan. Tangan ditongkat pada lutut. Gadis itu akhirnya tercungap-cungap mencari nafas.

"Huff... huff... tak sangka aku boleh tersalah orang, huff..." Melissa memandang ke atas, melihat sinaran matahari di awal pagi. Dia kemudian menyentuh kepalanya, ingin merendahkan sedikit kedudukan topi yang dipakai.

"Eh? Mana... mana topi aku?" Melissa cemas. Dia berpusing sekeliling mencari topinya yang hilang. Tiada. Kemudian, barulah dia teringat akan pertembungan tidak sengaja dia dan lelaki tadi.

"Aduh... ni mesti terjatuh tadi." Bernada kecewa, Melissa bersuara. "Tak akanlah aku kena patah balik kut?"

Jalan lurus yang membawanya ke pasar dipandang. Dari jarak ini pun dia masih boleh melihat lautan manusia di sana kerana jarak pasar dan bukit yang sedang didakinya ini tidaklah terlalu jauh.

Dia berfikir sejenak.

"Ah, hentam sajalah!" Terus kakinya dikorak kembali ke tempat berkumpulnya ramai manusia itu. Walaupun keletihan, dia tetap sanggup. Semuanya demi topi yang berharga itu.

Wajah Melissa bertukar durja serta-merta sebaik tiba di pasar. Sudah puas dia mencari, namun tidak jumpa-jumpa juga topi kesayangannya itu. Hampir sahaja dia menangis memikirkan keberadaan topi itu. Memikirkan dirinya mungkin telah kehilangan topi tersebut membuatkan Melissa makin gelisah.

Tidak, topi itu tidak boleh hilang! Ia adalah satu-satunya barang pemberian abang kepadanya!

Telefon pintar yang berada di dalam saku seluar dibawa keluar. Ikon gallery ditekan. Setiap satu gambar yang tersimpan di dalam aplikasi itu dibelek-belek. Dia mencari gambar topi tersebut untuk ditunjuk kepada orang yang lalu-lalang. Mana tahu ada di antara mereka yang pernah melihatnya?

Tiba pada satu gambar, jari Melissa berhenti membelek.

"Ini..." gambar lelaki yang terpapar di dalam poster digital itu diperhati lama. "Ini muka lelaki tadi."

Barulah Melissa sedar. Lelaki yang dilanggarnya tadi merupakan penjenayah yang dia sedang cari. Patutlah rasa macam pernah lihat.

"Nanti... jangan cakap dia yang ambil topi aku?"

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now