07 | menuju ke Kampung

124 19 22
                                    

"Aku tak nak... tinggalkan kawan aku!"

"Kawan kau dah... mati!"

Suara pergaduhan itu kedengaran samar-samar di telinganya. Pandangan yang tadinya gelap-gelita kini mula menerima cahaya. Walaupun kabur, sedikit demi sedikit matanya cuba menyesuaikan diri.

"Urgh..." Ayman mengerang kesakitan, lantas menarik perhatian semua di sana.

Lebih-lebih lagi Luth.

"Ayman? Ayman, kau dah sedar! Syukurlah alhamdulillah!" Luth yang tadinya sibuk bertengkar terus berlari mendapatkan Ayman. Dia membantu remaja itu untuk duduk bersila.

"Luth?" Dahi Ayman berkerut. Matanya tepat memandang wajah Luth.

"Erm, yalah. Ni aku." Jawab Luth ringkas.

Apabila sedar akan apa yang sedang terjadi, mata Ayman membulat. Terus remaja itu bangun berdiri, membuatkan Luth sedikit terkejut dengan perbuatan tiba-tiba itu.

Kedua belah tangannya diletakkan di hadapan wajah. Setiap satu anggotanya diperhati, termasuklah pakaiaan yang tersarung. Semuanya tidak tumpah sepertimana tubuhnya ketika koma dahulu.

Tidak cukup dengan itu, dia meraba pula wajahnya bagi menambahkan lagi kepastian. Tidak salah lagi. Pakaiaan yang sama, tubuh yang sama... dia memang berada di dalam 'mimpi' yang sama.

Tapi... bagaimana? Bukankah seseorang itu akan melupakan sesuatu mimpi tersebut sebaik sahaja bangun darinya? Jikalau tidak sekalipun, bagaimana mimpi ini boleh bersambung?

Dia memandang ke arah kanan. Kejutan belum tamat. Ayman terjerit sedikit sebaik sahaja terlihat jasad-jasad anggota polis yang sudah terbaring kaku tidak berkutik. Lebih dahsyat, senapang-senapang mereka turut dipatahkan.

Bagaimana? Manusia manakah yang begitu kuat hingga boleh mengalahkan sepuluh anggota polis bersenjata? Adakah Luth? Tidak, ianya mustahil.

Argh! Semuanya makin tidak masuk akal!

"Hei, budak. Aku sarankan kau duduk. Luka di bahu kau masih baru. Takut kalau bergerak banyak sangat, ia jadi makin teruk." Ujar seorang lelaki yang jelas bukan Luth. Suara itu kasar, sedangkan suara Luth pula lebih lunak dari itu.

Ayman mengangkat muka, memandang lelaki yang bersuara.

"V... Viktor?"

"Oh, nampaknya kau masih ingat abang aku. Bagus. Ingatkan lepas pengsan dah hilang ingatan. Nampak macam tak betul saja." Suara lunak seorang gadis pula menyusul. Ayman memandang.

"Liz. Adik Viktor."

Pada ketika inilah baru Ayman sedar bahawa suara itu adalah suara yang sama didengarinya awal-awal tadi. Jadi, dialah gadis yang bertengkar dengan Luth tadi.

"Bagaimana kesemua polis ni boleh sampai ke sini?" Liz menyoal lantas memandang abangnya, meminta jawapan.

"Pasti ada yang buat report. Tak mungkin polis tahu mengenai operasi dakwah ni dengan kadar segera. Sekarang, kau berdua betul-betul dalam bahaya. Dalam masa beberapa jam saja, perkara ni akan tersebar ke serata Bandar dan bukan sahaja kerajaan, tetapi penduduk juga akan turut memburu kalian. Aku sarankan kita keluar dari sini secepat mungkin." Viktor membalas panjang.

Ayman kembali memandang timbunan polis yang sudah tidak sedarkan diri itu. Dia terasa seperti ada sesuatu yang kurang, sesuatu yang perlu diselesaikan sebelum mereka pergi dari situ.

Kemudian, barulah dia teringat.

"Syafiq... bagaimana dengan Syafiq?"

***

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now