04 | operasi bermula

134 30 21
                                    

"Ini..."

"Sijil ijazah pengajian agama?"

Pandangan keduanya dialih kembali menghadap sijil yang dipegang Luth. Nama yang tertera padanya dibaca dengan penuh teliti.

Mohd Syafiq Ridhwan bin Abdullah.

Memang tidak salah lagi. Ini milik Syafiq.

"Em... kau berdua? Kau berdua buat apa tu?" Suara Syafiq bergema, menarik perhatian mereka berdua. Tanpa memberi amaran, Luth bersama sijil yang digenggam itu berjalan pantas ke arah Syafiq.

"Fiq! Kenapa aku tak pernah tahu yang kau belajar agama?" Bersama dahi yang berkerut, Luth melontarkan soalan bernada tegas. Sijil yang berada di tangan terhayun-hayun bersama.

Jika didengarkan soalan itu, memang kedengaran seperti biadap. Namun, Ayman tahu. Dalam dunia ini, mempunyai ilmu agama merupakan sesuatu yang amat jarang sekali berlaku. Lebih tepat, sesuatu yang cuba dihapuskan oleh pentadbir negara sendiri.

Dia tahu ini bukan alam nyata. Tetapi ini masih satu realiti.

"Kenapa kau rahsiakannya daripada aku? Dah lama aku cari rakan seperjuangan, tahu? Kita boleh lakukan dakwah bersama-sama." Nada Luth tegas, tetapi bercampur teruja. Dahinya juga berkerut, manakala bibirnya mengukir senyum. Entah apa yang sebenarnya dirasai jejaka itu, Ayman sendiri tidak tahu.

Syafiq kelihatannya melepaskan satu keluhan. Nampaknya, perkara yang selama ini cuba disembunyikan, terbongkar jua. Dia kemudian berjalan ke arah sofa lantas mengambil tempat. Kaki mekanikal yang sudah siap dipasang itu diletakkan perlahan ke atas meja. Luth mengekori, namun sekadar berdiri. Begitu juga Ayman.

"Sebab tulah aku rahsiakannya. Aku yakin kau akan datang dan pujuk aku sertai kerja gila kau."

Ayman tersentak. Kerja gila? Mempertahankan agama adalah... kerja gila?

"Begini, Luth... aku masih ada keluarga yang aku perlu sara. Ayah aku dah tak ada, ibu aku pula tengah sakit. Aku tak boleh bahayakan nyawa aku macam tu saja! Kau pun tahu apa hukuman berdakwah, bukan? Mati!" Tegas Syafiq membantah. Dia berharap agar Luth memahaminya. Melihatkan pula keadaan Luth yang terdiam tanpa bicara, nampaknya Syafiq telah menang.

Luth mengaku, dia sendiri tidak mampu memaksa Syafiq melakukan sesuatu yang berisiko begini. Syafiq tidak sama seperti dirinya yang sudah tidak berkeluarga. Mungkinkah itu sebabnya dia terlalu bersemangat mahu memulakan dakwah walaupun mengerti hukumannya mati?

"Jadi, kau rela hidup dalam kejahilan ini semata-mata tak nak mati? Bagaimana pula dengan ilmu yang kau ada? Kau nak simpan untuk diri sendiri saja?" Ayman bersuara tanpa berselindung, membuatkan dirinya menjadi tumpuan Luth dan Syafiq.

"Aku--"

"Aku tahu kau masih ada keluarga. Aku pun sama. Tapi, sanggupkah kau lihat mereka sekali tenggelam dalam dosa?"

Kelu. Syafiq terdiam mendengar kata-kata itu.

"Apalah sangat diugut bunuh jika dibandingkan dengan nilai agama yang semakin runtuh. Kata pengikut Muhammad, jadi apa salahnya andai kita teruskan perjuangan baginda dalam menegakkan agama Allah ni?" Ayman berjeda seketika.

"Andai bukan kita yang membangkitkan dakwah kembali, siapa lagi?"

Betullah apa yang ustaznya pernah kata sebelum ini. Dunia tidak dipenuhi dengan orang jahat. Tetapi dikelilingi manusia-manusia baik yang mendiamkan diri. Saling berharap kepada yang lain dan berkata, "alah, tak apa. Pasti ada orang lain yang akan lakukannya,". Andainya... kesemua 7.8 billion manusia punya mindset yang sama, agaknya siapa lagi yang akan memulakan tindakan?

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now