06 | kembali

107 21 24
                                    

Ayman... balik dengan selamat ya?

Matanya dibuka perlahan, menyesuaikan diri dengan cahaya yang menyerbu retina sebaik sahaja kesedarannya kembali. Dia memandang sekeliling, melihat keadaan tempat barunya.

Tangan kanan diangkat separa mata memandang, mendedahkan wayar yang tertanam di sana. Tangan kira pula dipandang. Sedikit berbalut dengan kain kasa. Dia cuba bangun. Walaupun sakit, tetap ditahannya agar mampu menukar ke posisi duduk.

Keadaan sekeliling diperhati lagi. Dia sedang duduk di atas sebuah katil yang sekelilingnya ditemani pelbagai alatan canggih. Barulah dia sedar, dia sedang berada di sebuah hospital.

"Ayman?" Satu suara menyapanya dari arah pintu masuk wad. Ayman berpaling, melihat gerangan yang menegur.

"Umi?"

Mutiara jernih kelihatan bermain-main di tubir mata wanita 50-an itu. Tangannya yang memegang beg plastik berisi barangan belian terketar-ketar. Bibirnya yang turut sama menggigil mengukir senyum gembira. Beg plastik tidak mampu ditampung lagi, lantas terlepas dari genggaman.

Puan Farah berlari mendapatkan anaknya. Satu pelukan erat dihadiahkan kepada remaja yang baru sahaja sedar dari komanya itu. Ayman sedikit terkejut, kerana semua ini pernah dilaluinya dahulu.

Nanti... adakah dia sudah kembali?

Bagaimana dengan Luth? Syafiq?

Tersedar akan hal itu, Ayman lantas melepaskan pelukan. Wajahnya yang cemas memandang tepat wajah ibundanya. Dapat dilihat saki-baki air mata tersisa di pipi wanita separuh abad itu.

"Umi, Luth mana? Macam mana pula dengan Syafiq? Dia hidup lagi, bukan?" Soal Ayman bertubi-tubi. Namun apa yang dia dapat hanyalah pandangan hairan dari Puan Farah.

"Luth? Syafiq? Siapa tu?" Puan Farah pula melontar soalan.

Ayman menjadi hairan. Terus dia memeriksa tubuhnya. Dia mencari balutan yang melindungi tempat dia ditembak. Namun tiada. Tiada balutan, bermakna tiada kesan tembakan. Tiada kesan tembakan bermakna...

"Umi, kenapa Ayman dekat hospital?"

Puan Farah yang tadinya sudah reda kembali sebak mendengar soalan itu. Masih tersisa sedihnya mengingatkan nasib anak bongsunya itu.

"Kamu terlibat dalam satu kemalangan, sayang. Masa kamu nak ambil result, ada kereta langgar kamu dan..." kata-kata itu tidak dapat dihabiskan. Puan Farah kembali menangis. Suaranya juga bergetar.

Ayman tidak menunggu lama. Lantas dia memeluk tubuh wanita kesayangannya itu.

"Tak apa, umi. Tak apa. Ayman dah sedar, bukan?" Ujarnya bersama pelukan erat yang diberikan.

Andai dia berada di hospital kerana kemalangan dan bukan ditembak, adakah itu membawa maksud dia benar-benar sudah kembali? Jadi semua yang dia lalui sebentar tadi, Luth dan Syafiq... kesemuanya hanyalah satu mimpi yang dialami ketika koma?

Dia bersyukur... namun begitu dia turut sama bersedih.

Apa agaknya yang terjadi selepas dia ditembak tadi? Adakah Luth berjaya memenangi perjuangan tersebut? Bagaimana pula keadaan Syafiq?

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now