i

27 0 0
                                    

Kisah hidup Kiki macam dalam novel Daddy-Long-Legs. Delia pernah kata begitu padanya. Kiki tak pernah ambil pusing kata-kata teman paling rapatnya itu. Dia anggap Delia sekadar mengusik. Kiki tak pernah percaya meski dia telah tiga kali ulang baca novel pemberian Delia itu. Kiki pernah percaya pada betapa banyak persamaan antara jalan hidupnya dengan jalan cerita Judy Abbot.

Judy hanyalah watak ciptaan Jane Webster. Dia, Nora Asykin binti Abu Zain yang hidup dalam realiti. Meski Achik selalu cakap Kiki hidup dalam dunianya sendiri.

Judy bukan Kiki. Kiki bukan Judy. Dan Kiki tak percaya cerita sekadar khalayan yang terlalu sempurna itu boleh jadi sebenar-benar peristiwa pahit dan manis hidupnya.

Sehinggalah ke hari ini.

Hari ini Kiki yakin bahawa semua persoalan yang membuatkan dia tidak percaya pada kebetulan demi kebetulan sepanjang tiga tahun ini akan terjawab. Tiga tahun yang cukup mematangkan dirinya untuk mentafsir dan membezakan antara mimpi, angan-angan, harapan dan kenyataan. Meski dia sedar, tiga tahun itu takkan pernah cukup mempersediakan dirinya untuk menghadapi segala jawapan yang diharapkan selama ini.

Tiga tahun Kiki menunggu hari ini. Dan untuk seketika, Kiki sangat-sangat berharap dia tak perlu mengharunginya. Kalau tidak kerana perjanjian itu, dia takkan perlu menunggu. Tak perlu dia berada di sini pun.

Terdetik di hati Kiki, sungguh, dia boleh teruskan hidup yang biasa seperti tiga tahun sebelum ini. Dia sudah biasa. Selama tiga tahun ini, segala yang telah berlaku bagaikan sebuah gambar susun suai yang kepingannya saling bercantum tanpa pernah melengkapkan. Dia sudah terlalu biasa membayangkannya saja. Ia sudah cukup sempurna bagi Kiki.

Namun, masa sentiasa ke hadapan, takkan berundur dan dia takkan dapat mengejar datang atau perginya, ke depan atau ke belakang. Dia hanya punya detik ini, hari ini, selepas tiga tahun yang telah berlalu.

Hari ini, untuk beberapa ketika lagi, Kiki menunggu di luar pintu yang di sebaliknya ada jawapan itu. Ah, mampukah dia menerima hakikat yang sebenar-benarnya dan bukan lagi teka-teki? Akan sempurnakah gambar susun suai itu nanti sepertimana yang dia bayangkan?

Kiki percaya yang dia bukan watak Judy dalam novel Daddy-Long-Legs. Kiki percaya itu kerana orang yang berada di balik pintu ini bukan Daddy-Long-Legs. Berkali-kali Kiki mengingatkan diri bahawa lelaki itu bukan Daddy-Long-Legs. Biar siap pun, dia Tuan Lex. Dan selepas tiga tahun, hari ini, Kiki akan tahu siapa dia sebenarnya.

Di sinilah Kiki menunggu. Achik dan Delia ada di luar sana, dalam sebuah bilik tamu yang lain. Tuan Lex ada di dalam bilik di balik pintu kayu bertombol huruf K dan Z itu. Kiki tak tahu keadaan di luar sana. Mungkin masih hujan seperti di sepanjang perjalanan ke mari tadi.

Dalam ruang menunggu yang hanya dihiasi dengan sofa kulit tiga serangkai Bersama meja kopi minimalis itu, hawa sejuknya mencengkam. Secangkir teh terbiar di atas meja. Sudah sejuk pun. Di luar masih hujan, mungkin.

Kiki bangun untuk melegakan rasa lenguh menunggu. Di hadapannya, cermin berbingkai besar yang menghiasi dinding membalikkan refleksi gadis 21 tahun itu.

"Saya Kiki. Awak Tuan Lex?"

Spontan Kiki bersuara kepada biasnya sendiri. Tiada balasan pun. Balasan yang semacam apa boleh dia harapkan nanti? Wajah pegun itu hanya tergaris dengan senyum yang tak jadi. Kiki rasa janggal. Dia masih cuba menyusun bicara untuk pertemuan itu. Selama ini kata-katanya hanyalah rangkaian ayat yang dikarang dalam surat-surat tak berbalas kepada seorang lelaki yang dia tak pernah tahu siapa.

Apa yang seharusnya dia ucapkan kepada seseorang yang dia tak kenal? Sedang seseorang itu tahu segala-galanya tentang dia. Lalu, apa lagi yang patut dibicarakan?

"Siapa awak?"

Soalan itu untuk Tuan Lex. Tapi seolah-olahnya, Kiki bertanyakan kepada dirinya sendiri. Masih tiada jawapan daripada biasan itu. Kiki diam dan biasannya terus kaku. Janggal. Bagaimana dia boleh berasa janggal berkata-kata dengan dirinya sendiri, dalam cermin itu? Sedangkan pada seorang lelaki yang entah siapa-siapa, telah dia curahkan segala-gala yang berlaku selama ini melalui surat-surat itu.

Dan bagaimana untuk dia menjawab soalan yang jawapannya bukan seharusnya datang daripada dirinya sendiri?

Semuanya ada pada Tuan Lex, siapapun dia.

"Cik Kiki."

Kiki berpaling daripada refleksi dalam cermin itu kepada suara dari ambang pintu. Cahaya kuning berbalam dari dalam bilik Tuan Lex membekaskan bebayang yang memanjang dari muka pintu itu. Untuk beberapa ketika, Kiki cuba menyesuaikan pandangannya. Es berdiri di situ dalam diam. Mereka saling berpandangan. Jeda itu diisi kedinginan yang menggetarkan debar dalam hati Kiki.

Selepas lebih setahun menghilangkan diri, lelaki itu muncul semula. Tanpa sebarang penjelasan, Es pergi begitu sahaja. Tanpa penjelasan juga, dia kembali. Dia datang dengan kiriman nota daripada Tuan Lex sebaik selesai sesi konvokesyen lewat petang tadi. Melalui nota itu, yang satu-satunya daripada Tuan Lex, Kiki dijemput ke mari.

Akhirnya, Kiki akan bertemu dengan Tuan Lex. Dia akan tahu siapa Tuan Lex yang sebenarnya.

"Tuan Lex akan berjumpa dengan Cik Kiki sekarang." Es bersuara, mendatar tanpa emosi. Tiada lagi senyum yang dapat menghangatkan perasaan, seperti dulu. Mata hitam pekatnya seolah-olah tak memandang dan dibawa jauh dari ruang menunggu itu, entah ke mana.

Kiki sendiri tak pasti sama ada dia patut tersenyum. Atau mampukah dia senyum dengan perasaan bercampur-baur yang sepertinya kian bergejolak dengan setiap debar nafas itu? Dia menyeluruhi wajah Es, cuba mencari keyakinan untuk memulakan langkah. Pada wajah itu, dia mencari senyumnya.

Es terus diam.

Lalu, Kiki membawa pandangannya kepada pintu di hadapan. Dengan keyakinan dan kekuatan yang datang daripada dirinya sendiri, Kiki menguak pintu kayu itu. Di balik pintu itu, ada segala jawapan untuk penantiannya selama tiga tahun yang lalu.

Dan tiga tahun dulu... 

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now