1

7 0 0
                                    

BAHAGIAN 1 – Tiga tahun dulu...

KIKI baru angkat pisang goreng panas dari kuali. Dia telah sudahkan gorengan cempedak dan sukun sebelum ini. Nak mula menggoreng lagi, dia tak berani. Dia sudah serik. Dua kali dia mencuba, habis tunggang terbalik kuali Achik. Hanya Achik yang boleh buat semua itu. Kiki hanya mampu tolong angkat gorengan yang siap ditoskan minyak. Itupun selepas lima kali cubaan, barulah tiada cempedak goreng yang jadi cempedak golek ke tanah.

Jadi Kiki perlu tunggu Achik. Achik ke kedai seberang jalan sana. Kertas lapik plastik pembungkus tak cukup. Ada lagi barang-barang gerai yang hanya Achik tahu mana satu nak dibeli. Tinggallah Kiki menjaga gerai bawah pokok mereka, menunggu kalau ada pelanggan yang datang.

Sekarang baru jam tiga petang. Masih terlalu awal untuk orang datang beli juadah minum petang. Kenyang makan tengah hari pun tak hilang lagi. Kiki tunggu. Bahang minyak panas masih melekat dan memijar pada tangan dan wajahnya. Kiki duduk berehat sekejap. Tapi dia tak duduk diam. Dia keluarkan buku nota dan pen gel warna hitam dari beg sandang yang tergantung di tiang belakang gerai.

Seperti selalunya, dia mengimbang pen itu di atas muncung bibir dengan bawah batang hidung. Itu kebiasaan Kiki kalau dia berfikir. Dia selak buku nota yang penuh dengan catatan yang macam-macam. Hanya tinggal muka terakhir yang kosong. Kertasnya pun sudah lekang. Dia mahu menulis.

Tapi menulis apa?

Kiki mencapai ke dalam beg sekali lagi. Novel Menunggu Bas Cinta ditatapnya. Tinggal sepertiga untuk dihabiskan. Tapi dia tak ada mood untuk membaca petang-petang begini. Dia letakkan novel karya Luna de Haty itu di meja. Pen masih diimbang di atas bibir. Dia berfikir lagi. Dia bukan berangan. Dia mahu merancang masa depan. Aku mahu merancang masa depan, dia mengulang sendiri. Sebab dia sayang Achik. Dia pandang kertas kosong tadi. Dia tak tahu bagaimana untuk bermula.

Hawa petang tiba-tiba buat Kiki rasa mengantuk. Dia tahan kuap dengan buku nota itu. Kertas kosong tadi habis terlerai. Kiki kutip. Dia letakkan buku nota tadi untuk melapikkan helaian kertas itu di atas meja, sambil menghadap ke depan gerai. Manalah tahu, ada pelanggan nanti. Dia pun mahu buang rasa bosan dan mengantuk dengan pemandangan lalulintas petang yang silih berganti.

Memang malam tadi dia tidur lewat. Hampir juga ke jam 2:00 pagi. Sebelum itu dia mengerjakan draf pertama Cerpen Yang Takkan Siap. Ironinya, dia dapat menyudahkan Cerpen Yang Takkan Siap itu. Cerpen itu akan Kiki hantar ke Tulis-tulis. Majalah pop fiction itu beri honorarium yang tinggi bagi karya-karya yang dipilih untuk terbitan bulanannya. Sebab itu Kiki selalu mengirim hasil penulisannya ke Tulis-tulis. Sudah enam cerpen dan tujuh puisi yang dia tulis diterima. Dia perlu wang honorarium untuk menambah dana ke universiti. Dia mahu tolong Achik juga untuk belanja dapur.

Kiki ketuk-ketuk pen di bucu meja. Dalam hati dia mengira ikut rentak. Kiki ikut menulis nombor-nombor itu dari satu ke sepuluh. Di kepala kertas kosong itu, dia tulis Kiki's To-do List.

1. Masuk universiti, ambil penulisan kreatif.

Itu yang pertama. Dia mahu ijazah dalam penulisan kreatif. Dia mahu jadi penulis. Yang bukan sekadar menulis. Tapi menulis dengan ilmu dan hemahnya. Terpandang novel Menunggu Bas Cinta, Kiki memutuskan bahawa dia mahu jadi penulis sebaik Luna de Haty. Cerita sedap. Bahasa bagus. Kalau Luna de Haty, siapa pun dia, boleh menulis, Kiki pun boleh menulis.

2. Siapkan Nandung.

Dia baru menulis Nandung. Ceritanya ala-ala Cinderella. Yang bezanya, Nandung tak keciciran kasut kaca. Dia tertinggal cermin mata. Dan Ungku a.k.a Prince Charming mesti mencari pemilik cermin mata itu. Kelmarin Kiki di bab lima. Dia merancang mahu menulis sampai tujuh puluh bab. Malam ini, dia akan menulis lagi. Kalau siap nanti, itulah novel pertama Kiki.

3. Belajar resipi karipap kobis Achik.

Kiki memang suka karipap kobis yang Achik buat. Achik selalu buat karipap kobis kalau rezeki berniaga mereka berlebih. Sepinggan Achik buat untuk Kiki. Dan Achik kirimkan ke surau juga. Kiki mahu belajar buat karipap kobis untuk Achik pula.

4. Baca satu buku satu minggu.

Sekarang, Kiki hanya dapat beli sebuah buku sebulan. Itu saja yang dia mampu.

5. Jatuh cinta, untuk mencintai dan dicintai.

Er, Kiki tak mahu komen lebih-lebih tentang ini. Dia tak tahu bagaimana untuk menghuraikannya.

6. Bela kucing?

Dulu, dia ada Buncit. Tiap-tiap malam, kucing hitam berkaki putih itulah yang jadi teman dia menulis. Kalau Kiki malas menulis, Buncit akan menggigit jari kakinya. Buncit takkan gigit tangan Kiki sebab dia tahu Kiki menulis dengan tangan. Apa saja yang siap ditulis, Kiki akan bacakan pada Buncit. Kalau Buncit tak suka, Buncit akan membawa lari kertas tulisan Kiki dan mengoyakkannya. Jadi Kiki terpaksa menulis yang lain. Tapi Buncit sudah mati tua.

7. Tambah kawan.

Selain Achik dan Buncit, Kiki tak punya ramai kawan. Bukan dia sengaja menyombong. Tapi Kiki seorang yang pemalu. Dia akan cuba kikis perasaan itu, untuk lebih cepat mesra dan senyum selalu. Bukan untuk jadi tak tahu malu....

8. Belajar bawa kereta.

Kiki tak tahu mengapa, tapi dia mahu belajar memandu.

9. Pakai baju kurung, kasut tumit tinggi.

Seumur hidup Kiki, dia cuma ada sepasang baju kurung (tolak pakaian sekolah). Itu pun baju kurung yang dibeli untuk Hari Raya lima tahun dulu. Yang lain, baju-baju kurung lama milik Achik. Dia tak kisah. Dia sedar yang hidup mereka bukanlah mewah sangat. Dia lebih selesa pakai baju-T, seluar trek dan berselipar saja. Tapi kadang-kadang dia teringin juga berbaju kurung kain kapas warna merah dengan songket berbunga emas. Dan kasut tumit tinggi warna hitam. Macam perempuan ayu yang jadi watak utama dalam novel. Tak salah pasang angan-angan, kan?

10. Tambah berat badan.

Beratnya sekarang cuma 42 kilogram. Dia mahu tambah tiga kilogram lagi. Dia tak suka jadi kurus. Dia tak mahu jadi gemuk. Tapi berat yang 45 kilogram memang sesuai dengan tingginya. Kiki pun memang suka makan.

Tanpa sedar, tangan Kiki mencapai sekeping pisang goreng yang tadi dia toskan. Laju saja mulutnya mengunyah gigitan rangup yang lemak-lemak manis itu. Mata masih di Kiki's To-do List. Tangan mencapai sekeping lagi pisang goreng.

"Goreng-goreng ni semua untuk jual ke... untuk makan sendiri?"

Kiki tersentak. Terpelanting pen. Nyaris terhambur kunyahan pisang dari mulutnya. Dia telan semuanya sekali jalan. Cepat-cepat dia tunduk menyembunyikan wajah yang sedang membahang merah.

"Encik nak apa, ya?" Sambil bertanya, tangannya menyauk penyepit. Tunduk, Kiki tak pandang pun pelanggan di hadapannya itu. Sekilas tadi dia lihat lelaki itu berbaju polo serba putih dan berkaca mata tanpa bingkai.

"Pisang goreng, lima ringgit. Cempedak goreng, lima ringgit."

Nasib baik plastik pembungkus yang ada cukup untuk Kiki bungkuskan semuanya. Konon nak buat-buat cekap. Tersangkut pula dua-tiga keping pisang goreng di celah penyepit. Bergolek juga sebiji cempedak goreng. Kiki boleh rasa yang lelaki di depannya sedang menahan geli di hati.

Dua bungkus gorengan disambut lelaki itu dan dibalas dengan kepingan not biru.

"Terlebih seringgit, encik." Pantas Kiki menyedari itu.

"Saya bayar sekali untuk yang awak makan tadi."

Tak sempat Kiki membalas, angin petang tiba-tiba mengencang. Buku notanya yang terbiar sedari tadi terselak. Buru-buru Kiki menangkap halaman lekang yang melayang. Dia kepit buku nota di bawah ketiak. Baki seringgit di tangan mahu dipulangkan segera.

Namun lelaki berbaju putih itu tak menunggu pun.

Terpinga-pinga jadinya Kiki. Dia menyapu mukanya yang masih terasa berbahang. Dia cuba bertenang. Sekejap lagi Achik akan sampai. Dan pasti akan lebih ramai pelanggan yang singgah.

Kiki mengumpulkan buku nota bersama novelnya tadi untuk disimpan semula. Tapi, "Mana to-do list aku tadi?"

Baru Kiki sedar yang kertas bertulisnya tadi sudah hilang.

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now