2

8 0 0
                                    

BAGAIMANA kalau kita jatuh cinta pada seseorang yang kita tak kenal? Itu tanya Kiki pada Achik tadi. Dia memang suka tanya soalan yang tak kena dengan situasi. Macam sekarang, sedang Achik sibuk menggoreng keledek. Sekejap lagi gerai kecil di bawah pohon kemboja itu akan disinggahi ramai yang mahu beli juadah minum petang.

Achik angkat baki keledek goreng dari kuali, toskan minyak dan hidangkan dalam talam di antara pisang goreng dan cempedak goreng. Dia mahu menggoreng pisang pula. Sekarang dia mahu duduk rehat barang seminit dua. Penat.

Tapi Kiki masih menunggu jawapan Achik. Kiki tanya lagi, "Boleh ke kita jatuh cinta dengan stranger?"

"Kiranya macam jatuh cinta pandang pertama?" tanya Achik pula. Dia pun tak tahu mengapa dia mesti layan Kiki. Mungkin sebab Kiki hanya ada dia untuk dibuat teman berbual. Dan dia sendiri tak punya sesiapa lagi di dunia ini kecuali si manis 17 itu.

Langsung Achik duduk di pangkin tepi gerai. Dia mengibas baju kurung kedah yang melekat dengan bahang panas dapur tadi. Dia membetulkan juga letak tudungnya. Sambil itu dia melepaskan mata ke arah kompleks pejabat di seberang jalan. Sekarang sudah pukul lima petang.

"Sekejap lagi mesti ramai orang datang." Kiki bersuara dari belakang gerai. Dia keluarkan sebungkus plastik untuk mengisi pisang goreng atau cempedak goreng atau keledek goreng atau mana-mana yang dipesan pelanggan nanti.

Achik kembali ke ruang dapur. Bekas adunan tepung untuk pisang goreng dicapainya. Pisang awak yang siap dipotong dia celup dalam adunan tepung dan terus digoreng dalam kuali.

"Kenapa Kiki tanya pasal cinta tadi?" Achik menyoal.

"Saja tanya," jawab Kiki, ringkas. Kemudian dia menyambung, "Tapi romantik, kan?" Dan dia senyum sendiri.

"Kiki ni banyak sangat baca novel cinta." Achik menggeleng, ikut gerak sudip yang membalikkan pisang goreng.

"Semua buku pun orang bacalah, Achik." Kiki buka hujah bela diri. "Barulah boleh tulis buku bestseller, jadi terkenal. Nanti Achik tak payah lagi jual pisang goreng."

"Tak sedap ke pisang goreng Achik?" Achik jeling pada Kiki sambil angkat pisang goreng yang siap tadi. Dia mencebik, tetapi kemudiannya tersenyum.

"Bukan macam tu. Orang nak jaga Achik pula. Orang nak Achik rehat dan bersenang-lenang bila orang jadi terkenal nanti."

"Selama ni kita hidup atas rezeki jual pisang goreng. Achik tak rasa susah pun. Selagi rezeki ni halal, Achik dah cukup bersyukur."

Kiki tersengih saja. "Achik duduklah sekejap. Biar orang jaga gerai." Dan Kiki tarik Achik duduk di bangku. Achik menurut saja.

Tadi Kiki nampak Achik mengurut pinggang. Dia tahu yang Achik belum cukup kuat untuk berdiri lama-lama, sejak kebah demam seminggu dulu.

Sebetulnya, tak payah pun Achik berniaga lagi sebab belanja bulan ini masih cukup untuk mereka berdua. Tapi Achik kata dia bosan di rumah kalau duduk-duduk begitu saja. Sakit pening itu jangan dilayankan sangat, katanya lagi. Sudahnya, petang ini Achik buka gerai macam biasa juga.

"Duit dapur tu memanglah cukup," kata Achik apabila Kiki cuba memujuk. "Tapi Kiki kan nak beli buku. Nak buat simpanan untuk belanja sambung belajar nanti."

Kiki tak pernah minta namun setiap kali habis berniaga, Achik akan beri Kiki duit gaji. Tak banyak mana pun. Ada sedikit untuk dia belanja beli buku. Dan masih ada baki untuk simpanan. Kiki juga ada kumpul dana untuk masuk universiti, kalau dapat. Dia pun tak tahu entah bila simpanannya itu akan cukup. Atau entah mana universiti yang mahu terima dia.

Dengan keputusan SPM yang sekadar 5A1 1A2 2B4 1C5, biasiswa mana yang layak untuk dia pohon? Universiti mana yang akan tawarkan kemasukan untuk dia?

Kiki sendiri tak pasti. Dia sudah mohon UPU Online. Dia usahakan juga hantar permohonan untuk dapatkan beberapa biasiswa. Tapi setakat hari ini, dia belum terima apa-apa tawaran atau maklum balas permohonan.

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now