7

1 0 0
                                    

KIKI menunggu Delia di pintu utama Sekolah Seni. Di sekelilingnya, berpusu pelajar keluar-masuk ke pejabat untuk mendaftar kelas. Dia antara yang sampai lebih awal sebab terus dihantar oleh Es dengan kereta tadi. Urusan Kiki sudah selesai. Dia hanya duduk di tangga di depan pejabat, tak tahu mahu buat apa lagi. Kelam-kabut di dalam mengusutkan pemikirannya. Tambah lagi dengan keroncong perutnya. Dan untuk pertama kalinya Kiki rasa sangat terasing. Sendiri. Ramai di sekeliling. Tapi dia keseorangan.

Delia masih ada urusan pendaftaran di Sekolah Ekonomi. Es pun tiada. Achik pun.

Tuan Lex?

Kiki rasa macam mahu menangis, tiba-tiba. Tak semena-mena juga air matanya jatuh. Sempat Kiki menahan diri. Dia cepat-cepat menyeka sisa air matanya.

"Kau ni... kenapa?" Tiba-tiba ada tanya itu.

Kiki berpaling ke arah empunya suara. Seorang lelaki rambut beralun sedang duduk di sebelahnya. Dia memandang Kiki satu macam.

"Nama aku Boy."

Kiki diam.

"Kau ni gila, ke?"

Tiba-tiba hati Kiki panas semula. Tak ada angin dan ribut, tiba-tiba lelaki rambut beralun berbaju cetak logo smiley warna merah jambu itu mengatakan dia gila! Gila! Tapi kemudiannya Kiki ketawa pula.

"Gila." kata Boy lagi. Kemudian dia ikut ketawa.

Dan Kiki terus ketawa.

BOY. Nama si rambut beralun itu ialah Boy. Dia satu kursus dengan Kiki. Sekelas dalam Teori dan Prinsip Penulisan Kreatif semester ini. Itu yang dia beritahu Kiki waktu di tangga depan Sekolah Seni tadi. Sekarang, dia dan Kiki sedang duduk di kafe. Memang Kiki sudah berjanji untuk makan bersama dengan Delia selepas habis urusan pendaftaran. Tapi Delia belum nampak batang hidungnya lagi. Masih kelam-kabut di Sekolah Ekonomi, agaknya. Boy belanja Kiki makan tengah hari sambil menunggu Delia. Tak tahulah mengapa dia baik hati sangat mahu teman dan belanja Kiki. Sudahlah dikatanya Kiki itu gila. Entah mengapa pula Kiki ikut saja lelaki itu ke kafe tadi. Memang dia lapar sangat, gamaknya. Harapnya, Delia pandai-pandailah cari kafe ini apabila dia sampai nanti.

Boy sedang leka memintal hujung rambutnya apabila Kiki bertanya, "Kau suka warna apa?"

Boy pandang Kiki satu macam. Pelik. "Kenapa kau tanya soalan macam tu?"

Kiki tersengih. Satu lagi soalan pelik yang tiba-tiba terpacul dari mulutnya. Dan Kiki akui, "Aku memang suka tanya soalan yang pelik-pelik."

"Gila." Selamba saja Boy.

"Bukan gila, tapi pelik." Dan Kiki tanya lagi, "Warna apa?"

Boy memintal hujung rambut. Sambil itu dia merenung Kiki yang masih menunggu jawapan darinya. Lama juga dia berfikir sebelum menjawab, "Aku suka hitam."

Kiki kembali menyuap nasi goreng cina bersama potongan telur dadar yang terakhir. Dia terus makan.

"Kau tak nak tanya kenapa aku suka hitam?" Boy yang bertanya itu.

"Tak payah."

"Gila." Boy kata itu kepada Kiki lagi.

Kiki menyedut baki teh ais. Kemudian dia tanya Boy, "Kenapa kau asyik kata aku gila? Kalau aku gila, kenapa kau tegur aku awal-awal tadi?"

"Kau memang gila," jawab Boy. Kemudian dia senyap. Dia memintal rambut. Dan Boy jawab lagi, "Aku suka kau."

Air teh tersembur dari mulut Kiki. Habis muka Boy! Sisa teh menitis dari hujung rambutnya. Seisi kafe tertumpu ke meja hujung itu. Kiki cepat-cepat menarik rambut untuk menutup seluruh mukanya. Malu! Malu sangat-sangat!

"Gila." Kata Boy, sepatah.

"Boleh tak kita pergi dari sini?" tanya Kiki, perlahan.

"Ke mana lagi?" Ada suara lain pula yang bertanya. "Puas saya cari Cik Kiki tadi. Saya telefon pun tak angkat."

Es!

Kiki menyelak rambut dan lihat Es menghulurkan sapu tangan untuk Boy mengelap wajahnya. Es tersenyum tatkala menangkap pandangan Kiki.

Muka Kiki naik merah. Dia buru-buru keluarkan telefon Samsung Galaxy A6 dari poket beg. Entah macam mana, telefon itu terlepas dari tangannya.

Sempat Es menangkap telefon Kiki daripada langsung terhempas ke lantai. Telefon yang skrinnya retak seribu itu dikembalikan kepada yang empunya.

Kiki periksa telefon. Skrinnya bernyala sekejap sebelum terpadam semula. Alamak! Telefon ni buat hal lagi, ke? Habis bateri ke rosak terus ni? Terlepas keluhan kecil dari mulut Kiki. "Sorry, Es. Telefon saya habis bateri, kut?"

"Dah nazak sangat telefon tu, Cik Kiki."

Boy berdeham. Dia hulurkan semula sapu tangan kepada Es. Lalu dia perkenalkan diri, "Boy."

"Aku Es. Er, terima kasih sebab temankan Cik Kiki," kata Es kepada Boy. Es antara senyum dan tidak. Mungkin agak keliru dengan situasi itu.

"Aku balik dulu, Kiki. Muka aku rasa melekit. Jumpa di kelas esok." Terus Boy bangun menyandang beg. Dia kenyit mata kepada Kiki.

Muka Kiki sudah merah menyala.

Es berdeham. "Kita balik, Cik Kiki," kata Es sambil mencapai beg Kiki.

Kiki tarik beg dari tangan Es. Laju dia menonong ke depan, mencari pintu keluar kafe. Dia tak mahu Es nampak wajahnya yang masih berona merah malu. Dia tak mahu cakap apa-apa pun lagi. Dia mahu cepat-cepat pulang.

"Cik Kiki," Es memanggilnya. "Saya park kereta di belakang sana. Ikut sini." Dia tolak pintu kafe untuk Kiki.

Kiki terus sembunyikan wajah di belakang beg yang dipeluk erat. Es tinggal di belakang. Melilau Kiki mencari letak kereta. Nampak saja kereta, terus dia laju ke depan.

"Cik Kiki. Tunggu, please?"

Kiki berhenti. Dia tak menoleh. Tapi dia menunggu Es untuk meneruskan.

"Tuan Lex tanya, Cik Kiki suka warna apa?"

DI tangga Sekolah Seni, masih ada seseorang duduk termangu. Dia menunggu meski petang sudah beralih ke senja.

"Mana Kiki ni?" tanya Delia sendiri.

Dia tertinggal seorang di situ.

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now