6

2 0 0
                                    

HARI ini hari pertama Kiki jadi pelajar Kolej Zulkarnayn secara rasminya. Hari ini hari pertama sesi pengajian yang baharu. Untuk tahun pengajian pertama Kiki. Delia sudah bersiap. Dia menunggu Kiki, teman biliknya yang masih terkial-kial membetulkan kain baju kurungnya. Sekejap kain itu dipusing ke kanan. Sekejap diturunkan ke bawah. Kemudian dipusing ke kanan lagi. Kemudian ke kiri pula. Delia ikut mengeleng-geleng kepala.

"Aku tak biasalah." Kiki menyerah kalah. Yang dipakai itu tak pernah kena pada tubuh dan matanya. "Tak boleh ke aku pakai t-shirt dengan jeans aje?"

Delia ketawa kecil. Lalu dia sendiri yang membetulkan kain Kiki. Dia kemaskan butang di leher baju kurung. Terus, dia suakan Kiki untuk menyeluruhi diri di cermin. "Tengok. Kau nampak cantiklah, Kiki."

Kiki melihat bias cermin itu. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Dia? Cantik? Tiba-tiba mukanya jadi merah. Pada cermin itu Kiki lihat Delia pun ikut tersenyum. Terus, "Kalau aku pakai tudung, mesti aku cantik juga. Macam kau. Tapi kau lagi cantik." Kiki ketawa kecil juga. "Tapi niatnya kena betul dulu, kan?" Kiki faham sendiri.

"Sesungguhnya yang betul itu benar," sambut Delia.

Tag nama dipakai di leher, pelengkap tanda pelajar. Kiki dan Delia sudah siap. Lalu mereka mengunci pintu bilik dan memulakan langkah.

SAMPAI di perkarangan hostel, rupa-rupanya Es sedang menunggu. Dia bersandar pada kereta hitamnya sambil membaca akhbar. Sesekali dia meninjau kumpulan pelajar yang baru keluar dari pintu hostel. "Cik Kiki!" Cepat-cepat dia melambai untuk menangkap mata Kiki. Sempat juga dia membetulkan tali leher hitamnya selepas itu.

Kiki menarik Delia untuk ikut bersama. Sampai ke kereta, Es sudahpun menghidupkan enjinnya.

"Encik Es nak ambil surat untuk Tuan Lex?" tanya Kiki. Terus dia keluarkan sekeping sampul perang dari beg. "Saya dah tulis surat malam tadi. Belum siap. Maaf ya, Encik Es. Awal-awal lagi dah terpaksa menunggu, jadi posmen."

"Saya tunggu awak, Cik Kiki. Saya bukan posmen semata-mata. Saya driver awak. Saya bodyguard awak. Mengikut arahan Tuan Lex. Jadi, masuklah." Es membuka pintu kereta. "Kita dah lambat ni, Cik Kiki."

"Aku jalan kaki aja, Kiki." Delia menarik tangannya untuk lepas dari genggaman Kiki yang terpaku di situ.

"Cik Delia pun kena naik sama-sama, teman Cik Kiki." Es buka pintu yang satu lagi.

Oh....

ES seorang yang sangat gentleman. Selepas parkir, dia bukakan pintu untuk Kiki dan Delia. Dia iring Kiki dan Delia ke dewan. Sepanjang jalan, Delia pandang Kiki semacam. Kiki tak ambil peduli pun. Sebenarnya Kiki belum beritahu Kiki tentang Es atau Tuan Lex atau perjanjian peliknya. Dia tak tahu bagaimana untuk menerangkannya kepada Delia. Delia pun tak bertanya apa-apa. Tapi Kiki tahu, satu waktu nanti dia mesti menceritakannya kepada Delia. Mungkin bukan sekarang.

Sampai di pintu utama Dewan Zulkarnayn, Es menguak pintu untuk memberi laluan kepada Kiki dan Delia. Kemudian dia menyusul masuk juga.

Dewan Zulkarnayn sudah terisi separuh. Sesi taklimat akan bermula dalam dua puluh minit lagi. Tiga pasang mata mencari tiga tempat duduk. Seorang senior mengajak pelajar-pelajar yang baru sampai untuk memenuhi barisan hadapan. Kiki menurut saja. Dia ambil tempat di baris pertama. Yang paling depan dan dekat dengan pentas besar. Delia ikut. Dia duduk di sebelah kanan Kiki. Es pun. Dia di kerusi sebelah kiri.

Kiki pandang Es satu macam. Pelik. "Takkan Encik Es nak teman saya sampai ke dalam dewan ni? Awak tak ada kerja yang lain, ke?"

Es tersenyum. Dia mengeluarkan tag nama bertali merah dari beg bimbit. Lalu dia pakai. "Saya pun pelajar kolej ni juga, Cik Kiki. Saya pun ada perjanjian dengan Tuan Lex. Macam Cik Kiki."

Delia pandang Kiki dan Es satu macam lagi. Dari semalam dia asyik dengar nama Tuan Lex. Mahu sangat dia tanyakan Kiki. Tapi, tunggu dululah. Sekarang, Delia mahu fokus mendengar taklimat pendaftaran kursus yang baru saja bermula.

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now