4

8 0 0
                                    

"BETUL ke keputusan Kiki ni?" tanya Achik, perlahan. Demamnya sudah kebah. Tapi Achik masih lemah. Achik tak bangun pun waktu Subuh tadi. Achik demam teruk lagi tiga hari sudah. Nasib baik Pak Man yang tinggal di seberang jalan ada di rumah. Pak Man yang bawa Achik ke klinik. Doktor kata, Achik jatuh sakit lagi sebab dia tak habiskan antibiotik yang diberi dulu. Doktor ingatkan Kiki supaya tengok-tengokkan Achik. Kiki harus pastikan Achik makan ubat dan habiskan antibiotik.

Namun Achik paksa juga diri untuk bangun dan siapkan sarapan pagi ini. Menunya mihun goreng dan teh tarik, terhidang panas-panas di meja dapur sekarang. Tanya Achik lagi, "Kiki dah fikir masak-masak?"

"Orang tak dapat fikir yang lain lagi, Achik," jawab Kiki. Dia ceduk mihun ke pinggan, untuk Achik. Terus, "Orang risaukan Achik." Dan Kiki sudah nekad. Kolej Zulkarnayn? Dia tak mahu. Achik tak sihat, kan? Siapa lagi yang akan jaga Achik kalau dia sambung belajar?

"Achik dah sihat pun." Lalu dia menyuap mihun ke mulut. Sungguh dia tak punya selera. Tapi demi menunjukkan dia sudah sihat, Achik telan saja. Tak rasa apa-apa pun. Achik suap lagi. Berselera sekali, kononnya.

"Achik tipulah!" bentak Kiki.

Achik tak jadi menyuap. Tinggal separuh pinggan lagi. Langsung dia menolak pinggan ke sisi. Achik menyeluruhi wajah Kiki. Katanya, "Kiki pun nak tipu diri Kiki sendiri, kan?"

Kiki diam.

"Kiki memang nak sambung belajar, kan?"

Kiki tunduk, diam lagi.

"Tapi Achik ni dah jadi macam penghalang, kan?"

"Tak!" jawab Kiki, terus.

"Achik ni membebankan saja, kan?"

"Orang tak pernah anggap macam tu."

"Habis tu... Kiki sambung belajar ajelah."

"Orang tak nak jauh-jauh daripada Achik..." Dan tiba-tiba air mata jatuh dari tebing matanya. Kiki cuba menahan. Bertambah laju pula! "Nanti siapa nak jaga Achik? Siapa nak tolong Achik di gerai? Orang tak nak tinggalkan Achik sendirian. Orang sayang Achik."

"Kiki..." Achik mendapatkan Kiki dan memeluknya. Kata-kata tadi agak kasar bunyinya. Achik tahu Kiki terasa hati. Terus, "Achik minta maaf."

Kiki cium tangan Achik. Dia mahu menangis lagi. Tapi dia menahan diri sungguh-sungguh. Kiki peluk Achik semula. Katanya, "Orang yang salah. Orang dah kecewakan Achik. SPM tak bagus. Dapat tawaran masuk universiti pun, orang tak pergi. Orang yang mesti minta maaf pada Achik."

"Okey. Memang Kiki salah," kata Achik, selamba. Dia sapu sisa tangis di wajah Kiki yang kelihatan tak keruan. Katanya lagi, "Achik akan maafkan Kiki kalau Kiki terima tawaran sambung belajar tu."

Terkedu Kiki. Dia tahan lagi airmata. Dia tak tahu bagaimana untuk memenuhi permintaan Achik demi kemaafan itu. Dia tatap wajah Achik dalam pandangan yang berkaca. "Tarikh akhir nak reply... semalam."

Ada bunyi hon di laman rumah. Kiki dan Achik saling bertukar pandang. Achik jungkit kepala. Siapa? Kiki angkat bahu. Tak tahu.

Terdengar ucap salam di luar pintu. Mereka berpandangan lagi. Achik tak kenal suara itu. Kiki pun tak cam. Langsung mereka berdua ke ruang depan rumah. Achik sempat ke bilik, ambil tudung. Dari balik langsir tingkap, sambil cuba menyembunyikan wajahnya yang sembab, Kiki menjenguk ke luar.

Di laman, ada sebuah kereta hitam yang parkir.

Dan Achik menjawab salam. Dia membuka pintu.

Lelaki itu. Dengan kemeja dan slack dan kasut kulit serba hitam. Rambut sisir ke tepi. Dengan anak mata hitam pekat. Lelaki itu.

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now