9

1 0 0
                                    

KIKI duduk di baris paling hadapan. Dia seorang di situ. Teman sekuliah yang lain hanya mengisi tempat-tempat duduk selang dua baris di belakang. Ramai di baris paling belakang. Pensyarah belum tiba. Dua puluh minit lagi barulah kuliah akan bermula. Kuliah pertama Kiki. Kiki menunggu saja. Cuaca di luar agak terik. Sebab itu, awal-awal lagi Kiki sudah masuk ke dewan kuliah. Mahu sejukkan badan. Dia keluarkan dari beg, sebotol air mineral sejuk yang dibeli di kafé tadi. Kiki tekap botol yang dingin itu ke dahi. Nyaman rasanya.

Bosan juga kalau menunggu saja. Lalu Kiki keluarkan buku nota dan pen. Buku nota berkulit perang itu buku sekolah lamanya. Di dalam buku itulah Kiki tulis Nandung sejak habis SPM. Nandung bakal disiapkan sebagai novel pertama Kiki. Satu pertiga daripada buku nota itu sudah diisi. Nandung sudah sampai ke bab sepuluh. Sampai di situ saja. Kiki belum dapat menyambungnya.

Sekarang Kiki buka halaman baharu. Dia ingin cuba menulis dalam sela masa lima belas minit ini. Dia letak mata pen ke kertas. Tapi dia tak menulis ayat-ayat untuk Nandung. Kiki tulis nama Tuan Lex. Ada tanda tanya di hujungnya.

Siapa Tuan Lex?

Kiki bulatkan nama itu. Dia lukis anak panah. Di hujung anak panah itu dia tulis nama Boy. Pun ada tanda tanya di hujungnya. Kiki geleng kepala sendiri. Takkan sebab dia tanya Boy warna kesukaannya dan kemudian Tuan Lex pula tanya warna kesukaannya, harus dia mengaitkan lelaki rambut beralun itu dengan Tuan Lex. Kebetulannya terlalu... "Gila!" kata Kiki lagi, menggeleng juga.

Tak mungkin Boy.

Kiki tulis nama Es pula. Juga dengan tanda tanya di hujungnya. Terfikir juga dia bahawa Es itu seorang yang sangat misteri. Kiki tak ingat pun nama sebenar Es. Pernahkah Es beritahu dia? Kiki geleng kepala sendiri. Tall, dark, handsome. Itu Es. "Ish, takkanlah..." akui Kiki.

Es bukan Tuan Lex.

Kiki menimbang pen di atas muncung bibirnya. Dia berfikir. Kertas di atas meja itu ditenung dalam-dalam. Dia terus berfikir. Siapa Tuan Lex? Kiki buka penutup botol mineral. Tuan Lex itu siapa? Kiki masukkan straw. Tuan Lex? Kiki minum. Siapa? Kiki mengulang itu. Siapa Tuan Lex?

"Kau buat apa tu?"

Kiki kenal suara itu. Tapi dia tak mahu menoleh ke arah tuan punya, di sebelah kanan. Dia tak mahu jawab soalan itu juga. Kiki tak mahu orang itu lihat wajahnya yang sedang merah. Kiki tak mahu orang itu mendengar suaranya yang pasti bergetar malu. Kiki tunduk menghadap buku notanya. Air mineral digulung-gulung dalam mulut.

"Kenapa ada nama aku?" tanya suara itu lagi.

Tersembur lagi air dari mulut Kiki. Yang basah, Boy juga.

"Nasib baik aku ada bawa sapu tangan," kata Boy lagi. Dia mengeluarkan sapu tangan biru dari poket belakang jean dan menyapu mukanya yang basah. Menyedari yang seisi dewan kuliah sedang memerhatikan mereka berdua, Boy lalu berkata, "Jangan bimbang, tuan dan puan. Tadi dia sedang jampikan saya. Yang sembur-sembur tu... buat naik seri wajah. Nak cuba?"

Seisi dewan sambung buat hal masing-masing. Tak mahu kena sembur!

Kiki menutup muka dengan buku nota. Malu. Sangat-sangat malu! Dia ambil beg dan bergerak ke hujung meja kuliah. Dia mahu keluar cepat-cepat dari tempat itu.

Pensyarah melangkah masuk.

Kiki terduduk semula. Dia tak dapat keluar lagi.

"Okey," kata pensyarah itu. Dia menulis namanya di papan putih yang terpampang di belakang pentas kuliah. "Nama saya Dr. Edy. Ini kelas pertama awak. Dan ini tugasan pertama awak." Dr. Edy menyeluruhi isi dewan itu. Katanya lagi, "Pandang ke sebelah kanan awak. Ada orang di sebelah awak, kan?"

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now