10

3 0 0
                                    

DELIA kutip kertas-kertas yang bergumpalan jadi bebola di lantai bilik. Ada beberapa helai yang bertebaran, jatuh melayang dari atas meja tulis Kiki. Kiki sedang duduk di atas meja itu, bersandar pada dinding sisi tingkap. Pen tergantung di atas muncung bibir. Pandangannya jauh ke luar sana. Kiki tak sedar pun bila Delia pulang.

"Apa ni, Kiki?" Nada Delia malas-malas. Dia penat. Habis perbincangan berkumpulan yang menyesakkan tadi, dia pulang ke bilik yang semak pula. Malas-malas pun, dia kutip semua kertas itu satu persatu. Kemudian dia kembalikan semuanya ke atas meja Kiki.

Kiki tersengih saja.

"Kertas apa banyak-banyak ni? Kau tulis apa ni?" Delia buka satu gumpalan kertas. Kertas bergaris itu tak bertulis apa-apa pun. Dia balikkan kertas yang nampak masih elok. Pun kosong. "Kenapa membazir kertas ni, Kiki?"

"Aku tak tahu nak tulis apa," balas Kiki tanpa rasa bersalah.

"Tak payah tulis. Tak payah membazir macam ni." Delia jadi geram melihat muka tak sudah Kiki itu.

"Aku kena siapkan. Esok nak kena hantar. Assignment pertama aku ni, tahu?" Dan Kiki akan rasa bersalah kalau dia tak sempat siapkan tugasan yang satu ini.

"Assignment apa tu?" tanya Delia. Macamlah dia boleh tolong!

"Aku kena tulis tentang orang yang duduk sebelah aku."

Cepat-cepat Delia tarik kerusi belajar Kiki dan duduk di sisinya. Menyeringai pula dia. "Aku, ke? Senang aje. Nama aku Delia. Aku cantik. Aku pandai. Makanan kegemaran aku, masakan ibu. Minuman kegemaran, air masak."

"Kat kelas tadilah!" Kiki berdengus.

"Siapa?"

"Kau tak kenal." Kiki malas bercerita panjang.

"Apa yang kau tahu fasal dia?" Delia nampaknya macam teruja mahu menolong. Dia betulkan duduk dan menumpukan perhatian kepada Kiki.

"Aku tak nak tahu," balas Kiki. Sungguh, kalau dia tahu apa-apa pun tentang Boy, dia tak pasti apa yang boleh dia gunakan untuk tugasannya itu.

"Sebab?" Delia tanya lagi. Ini bukan menolong. Ini mengorek namanya!

"Aku tak suka dia."

"Eh, kejap. Maysarah satu course dengan kau, ke? Bukan ke dia ambil Mass Comm?" Selamba saja Delia kaitkan teman sebilik mereka yang seorang itu dengan orang yang Kiki tak suka.

"Apa kau merepek ni? Bukanlah! Kau kan kenal dia tu!" Kiki tak tahu sama ada dia patut ketawa atau geram dengan Delia. Ke situ pulak dia!

"Es? Kau tak suka Es?"

"Hey, bukanlah!"

"Habis siapa yang aku tak kenal ni?" Delia sendiri jadi keliru. "Eh, kejap! Jadi kau suka Es?"

"MEREPEK!" Sekarang Kiki rasa mahu gumpalkan Delia. Geramnya! "Boylah!"

"Boy? Siapa tu?" Yang Boy ini, memang Delia tak kenal. Dan dia jadi bertambah keliru. Kalau Kiki tak suka Es, maksudnya... "Eh, kau suka Boy?

"DELIA! Ini bukan fasal aku suka siapa-siapalah!"

"Pulak!"

"Kau ni tak membantulah!"

"Kalau fasal berapa baki bawa ke hadapan bolehlah aku tolong kau. Tolong tulis-tulis novel ni aku tak pandai." Delia sudah tahu dari awal tadi. Dunia kuliah dan tugasannya dicampur, ditolak, didarab dan dibahagi semua hasilnya jadi angka. Sengaja dia mahu mengusik Kiki. Seronok dia memporak-perandakan hidup orang.

"Tolong senyap aje." Kiki berdengus lagi. Dia turun dari meja dan duduk di kerusi. Daripada menghadap loyar buruk Delia, lebih baik dia menghadap kertas tugasannya. Kalau tak dapat menulis pun, paling tidak, dia nampak sibuk. Delia takkan mengacau lagi, kan?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 07 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Bukan Daddy-Long-LegsWhere stories live. Discover now