MYTH SIXTEEN

271 51 15
                                    


HIDUNG yang merah aku picit-picit. Bangun-bangun sahaja, kepalaku terasa pening dan selsema. Melihat selendang yang dalam pelukan aku, aku teringat memori sebelum aku terlelap.

Nenda...

Belakang tubuh aku terasa sengal. Diurut sekejap bahu kiri. Selendang nenda aku lilit pada leher aku. Katil nenda aku kemaskan.

Aku tak sangka... Pari-pari penjaga aku sudah pergi. Umurku juga sudah 20.

Aku teringat sesuatu. Matahari!

Tingkap bilik nenda aku buka. Terus mataku naik melihat langit. Mendung. Cuaca mendung, sesuai dengan keadaanku yang masih bersedih.

Semua yang berlaku terlalu pantas buat aku. Hari-hari akan datang tanpa nenda? Aku tak pasti aku mampu atau tidak.

Aku kembali menutup tingkap. Katil nenda aku kemas elok-elok. Diari merah jambu yang nenda beri semalam aku capai dan dakap ke dada. Aku renung bilik ini sekilas. Aku pasti merindui suasana lama bilik ini. Pejam celik pejam celik, bilik ini bakal kosong dan sepi.

Pintu bilik nenda aku tutup rapat. Keluhan aku lepaskan lagi. Macam tak percaya pula nenda sudah pergi.

Tolonglah Heliena... Percayakan diri kau!

Aku pandang dapur. Kelihatan Luna menyediakan teh di atas meja dapur. Dia angkat kepala memandang aku tanpa suara. Hanya matanya saja yang merenung, mulut terkunci.

"Luna..." Teragak-agak aku memanggil dia. Kaki aku corak menghampiri dia. Kerusi meja makan aku tarik dan labuhkan duduk. Diari aku pegang kemas di dada. Aku meneliti hidangan sarapan yang dia sediakan. Nak makan pun dia tidak selera. Aku angkat kepala. Mata merenung seraut wajah Luna.

"Macam ni ke rasa kehilangan?" soalku lemah. Diari merah itu aku genggam erat. Entah bagaimana, perasaan hiba melanda kembali. Rindu. Ya, aku rindu walaupun baru semalam nenda pergi.

"Aku dah buat teh kau. Nenda ada tulis ramuan dekat atas dapur ni. Kalau kau nak minum, pergi buat dulu potion tu baru tuang pada air kau. Aku nak keluar kejap."

Aku kemam bibir. Aku mahu jawapan. Belum sempat dia melintasi aku, aku tahan lengannya. Dia menghentikan langkah lalu melepaskan hela nafas.

"Aku rasa nenda ada pesan, jangan tangisi dia. Ya, beginilah rasa kehilangan. Aku pergi dulu." Lengannya dia tarik kembali. Aku hanya membiarkan. Seketika aku terdengar bunyi pintu ditutup. Tiba-tiba aku rasa sunyi. Makanan yang Luna sediakan aku hanya pandang. Teh yang dibuatnya aku sisip sedikit. Lain. Lain rasanya dari air tangan nenda.

Ah, nenda lagi.

Cengkaman gelas semakin dieratkan. Setiap perbuatan aku, pasti mengingatkan aku pada nenda. Apa harus aku buat?

Wajah aku raup.

Nenda...

Meja aku tinggalkan dan berlalu masuk ke bilik aku. Hendak makan, tiada selera. Lebih baik aku berkurung dalam bilik. Nasib hari ini bukan hari sekolah. Esok baru hari sekolah.

Pintu aku kunci, tak mahu diganggu. Langsir bilik aku tarik dan tingkap aku buka untuk memudahkan pengudaran. Sebaik aku pusingkan tubuh, mataku tertancap pada sesuatu di atas katil. Sebuah kotak kecil diletakkan di atas katil aku.

Kotak apa tu?

Segera aku capai dan belek. Hanya sebuah kotak sahaja. Punggung aku labuhkan. Diari ibu aku tolak tepi. Penuh berhati-hati aku buka kotak kecil itu. Aku terkedu melihat isi kotak itu. Luarannya nampak comel tapi dalamnya tak terkata nilainya.

Seutas rantai emas ditarik keluar. Corak rantai itu yang mengukir matahari dibelek lama. Cantik!

Kotak tadi dipandang semula. Satu helai kertas yang diselitkan pada kotak itu ditarik keluar. Lipatan kertas itu dibuka.

Love You Kill Me | TERBITWhere stories live. Discover now