BAB 37

3.6K 178 32
                                    

MINYAK wangi disemburkan ke seluruh tubuhnya. Usai itu rambut yang sudah disikat rapi diteliti sekali lagi dihadapan cermin meja soleknya.

Puas hati dengan penampilannya, kunci dan dompet miliknya yang berada diatas meja itu dicapai kasar. Langkah segera diatur meninggalkan ruang kamar miliknya.

Anak tangga dituruni satu persatu dengan penuh berhati-hati. Bibir tak henti bernyanyi riang, menandakan dia berada di dalam keadaan senang hati.

Pijak saja kaki ke lantai bawah, telinga mulai menangkap sapaan lembut sang bapa. Lekas kaki merapati kedua orang tuanya yang sedang bersantai di ruang tamu rumah mereka.

"Hai Azfar senang hati ayah tengok kamu ni. Kamu nak keluar ke?" soal Encik Roslan. Ditilik penampilan sang anak atas bawah. Segak kemain.

"Ya ayah. Azfar nak keluar kejap," jawab Azfar. Bibir tak lekang dilorekkan dengan senyuman manis.

"Keluar? Kamu nak keluar ke mana?" celah Puan Alma.

"Err Azfar nak keluar jumpa kawan. Hujung minggu macam ni bosan jugak kalau asyik duduk rumah je. Tu ingat nak keluar lepak-lepak dengan dorang tu semua," jawab Azfar.

"Keluar jumpa kawan? Kawan yang mana satu kamu ni?" selidik Puan Alma lagi.

"Kawan satu universiti, tempat Azfar belajar tu dulu."

"Kawan satu universiti? Kawan yang mana satu kamu ni, Azfar? Siapa namanya?" soal Puan Alma lagi.

"Eh awak ni dah kenapa Alma? Takkan semua kawan-kawan Azfar pun awak nak tahu siapa orangnya. Sebelum ni awak tak pernah ambil kisah pun," berkerut dahi Encik Roslan.

"Sebelum ni memang saya tak nak ambil kisah. Tapi lepas je kes Azfar tak jadi kahwin dengan si Tiara tu, memang dengan siapa Azfar ni berkawan saya sebagai ibu kena ambil tahu. Saya tak nak pisang berbuah dua kali. Kes hari tu pun tak habis lagi orang duk bercakap. Ni muka saya ni dah berinci-inci tebalnya," ujar Puan Alma tegas.

Menggeleng kepala Encik Roslan mendengarkan apa yang dibicarakan oleh isterinya itu. "Tak habis lagi ke fasal kes hari tu? Benda dah lepas tak payah nak dikenang lagi dah, Alma oi. Awak pun satu hal, biarkan jelah apa dorang nak cakap sekalipun. Mulut manusia ni kita bukannya boleh tutup. Lagi pun Azfar ni bukan budak kecil lagi sampaikan dengan siapa dia berkawan pun awak nak control. Anak kita ni dah besar panjang. Dah boleh jadi bapak orang dah pun. Tak payahlah awak nak pening kepala sangat fikirkan fasal Azfar ni. Asalkan dia tak buat bukan-bukan sudahlah. Takkan anak awak sendiri pun awak tak percaya?" panjang lebar Encik Roslan memuntahkan hujahannya.

"Memanglah mulut manusia ni kita tak boleh nak tutup, tapi telinga saya ni dah naik bosan nak dengar dorang tu semua bercakap fasal hal keluarga kita. Tak habis-habis tahu tak dorang tu duk kutuk keluarga kita ni. Mak ni, Azfar bukan nak sangat masuk campur dalam hal peribadi kamu, tapi mak tak nak kejadian buruk tu berulang lagi. Cukuplah sekali satu keluarga kita dimalukan. Sebab tu dengan siapa kamu berkawan, dengan siapa kamu berhubungan mak nak tahu. Kalau kamu dah ada yang berkenan, kamu bagi tahu mak. Kali ni biar mak sendiri yang selidik latar belakang calon isteri kamu," ujar Puan Alma.

"Suka hati awaklah, Alma. Ha kamu, Azfar macam mana? Dah ada calon ke? Kalau ada yang sesuai bagi tahu mak dengan ayah. Biar kami pergi pinangkan. Kamu tu bukan makin muda lagi nak menduda lama-lama."

Terhias senyuman nipis dibibirnya. "Mak, ayah tak payahlah risaukan Azfar. Terus terang Azfar cakap buat masa ni Azfar belum fikir lagi soal jodoh tu semua. Lagi pun kes Azfar dengan Tiara tu masih baru. Tapi kalau andai kata jodoh Azfar sampai dalam waktu terdekat ni, Azfar takkan menolak."

Suri Hati Mr BekuWhere stories live. Discover now