Selesai memeriksa segala dokumen di pejabat, Helena ke taman bunga bagi menyegarkan mata yang sudah berpinar dengan pelbagai jenis tulisan. Tiba di taman bunga, darah Helena mengalir laju melihat Intan cuba memetik kuntuman mawar merah yang kembang sepenuhnya.
Helena mendekat daripada belakang lantas pergelangan tangan Intan ditangkap. Nasib baik hujung jari tidak bercantum dengan duri yang tajam. “Siapa izinkan kau ke sini?”
Intan tidak membalas jelingan tajam Helena. Tangan yang masih kemas digenggam ditarik kasar sebelum warna merah melekat di kulit. “Kau ni kedekut betul dengan aku, tak luak pun bunga kalau aku petik.”
“Bukan soal bunga yang aku maksudkan. Kau sendiri!” Helena menolak keras bahu Intan.
“Berapa kali aku nak beritahu yang kau dilarang ke taman ini. Kau nak aku naikkan papan amaran besar-besar dengan muka kau yang tak semegah di hadapan pintu, barulah kau nak faham? Dah jadi doktor ingatkan semakin bijak, rupanya sama bodohnya,” bidas Helena tidak berlapik.
“Rileks Helena, aku malas nak bergaduh mulut dengan kau, buat kering tekak. Dah lama aku tak datang sini, alang-alang aku nak balik, singgah sekejap.” Intan menarik kerusi yang tersedia di bawah pondok. Dia duduk tanpa mendapatkan keizinan daripada Helena.
Helena garu kepala yang tidak gatal. Dia berdiri sedikit jauh daripada Intan. Senyuman sinis Intan diabaikan sahaja. “Ini kali terakhir aku lepaskan kau.”
“Aku dengar Dr Ismail dah nak berhenti tak lama lagi. Kau dah cari pengganti dia? Kau tak fikir masa hadapan tempat ini jika tiada sesiapa di luar sana yang mampu uruskan tempat ini sebagus dia. Jangan lupa, tak semua nak bekerja di tempat sebegini.”
“Tempat yang menempatkan orang yang menunggu mati. Seram, meremang bulu roma aku bila aku sedar yang tempat yang kau pertahankan ini umpama bilik mayat!” Intan menggeliat kecil bagi menghilangkan rasa remang yang menjalar di leher.
“Sini aku tambah meremang kau!” Helena mencengkam kolar kemeja yang dipakai oleh Intan. Mata hitam Helena membulat besar, mencerlung ke dalam mata Intan yang turut bertentang dengannya.
“Jaga mulut kau kalau kau tak nak aku sebarkan apa yang telah kau buat. Kau ingat aku tak tahu kau sebenarnya yang bersalah, bukan Dr Syafiq!” Helena menapak ke belakang sedikit.
Intan tercenggang. Tidak mungkin Helena mengetahui segalanya. “Kau ingat kau Tuhan untuk tahu semua perkara!”
“Muka kau dah pucat, mata kau tak tenang. Jadi, apa yang aku cakap mesti betul. Kau iri dengan dia, kau iri dengan kepandaian dan segala pujian dia terima. Kau manfaatkan status kau sebagai bayang-bayang Datuk Suhaimi untuk singkirkan orang yang kau benci. Aku bangga kerana aku masih bertahan daripada penyingkiran kau yang sangat jijik!”
Helena menuturkan fakta. Sejak Helena muncul, tahta Intan sebagai cucu tunggal dalam keluarga itu tergugat. Pelbagai cara Intan gunakan untuk usir Helena dalam hidupnya namun tidak pernah berjaya.
Intan menggumpal tangan. Badannya bergetar menahan marah. Mahu sahaja mulut Helena yang lancang ditumbuk sehingga memuntahkan darah. Niatnya terpaksa dibatalkan memikirkan isu di ruang kecemasan yang masih panas. Dia perlu berjaga-jaga buat sementara waktu.
“Kenapa kau nak bela dia? Kau suka dia? Atau kau nak jadikan dia orang suruhan yang seterusnya?” tembak Intan mencuri peluang menghina Intan.
Intan mendekatkan wajahnya kepada Helena. “Aku cabar kau untuk dapatkan Syafiq bekerja di tempat ini. Jika kau berjaya, aku akan bagi kau sepuluh ribu ringgit sebagai balasan. Jika tidak, aku nak kau berambus daripada kehidupan aku. Deal?”
Helena terdiam. Tidak ada masa untuknya membuat pertimbangan waras. “Deal! Aku terima cabaran kau!”
“Baiklah, good luck my dear sister!” Intan menepuk bahu kanan Helena yang terdedah.
Helena menolak Intan supaya jauh daripadanya. Sentuhan Intan terasa jijik untuk dia terima dengan hati yang terbuka. Di sebalik pintu yang terbuka luas, ada bunyi tapak kaki lain setelah Intan keluar dari taman itu.
“Kalian bertiga keluar sekarang!” arah Helena tegas. Suaranya melantun kuat sehingga lebah yang baru ingin menghidap madu bersembunyi di bawah daun yang lebar.
Tidak sampai sesaat, muncul tiga orang pekerja yang hanya mampu menunduk, bersedia menerima amukan daripada Helena.
“Kami minta maaf, Cik Helena,” kata salah seorang daripada mereka.
Helena bercekak pinggang. Ketiga-tiga wajah sudah pucat dan gusar. “Noah, Kak Peah, Abang Shah…..”
“Macam mana minah tu boleh masuk ke sini? Takkan tak ada sesiapa yang nampak? Noah, kau ada tak di lobi tadi? Kak Peah, Abang Shah tiba-tiba buta ke hari ni?” Helena mencari tahu terlebih dahulu.
“Saya…..”
“Saya….” Noah tergagap.
“Cepatlah Noah!” Abang Shah menyiku lengan Noah.
“Cepat beritahu Cik Helena. Kau tak nampak kuku dia warna merah hari ini, kau nak dia cakar muka kau ke?" bisik Kak Peah pula.
“Amboi, sempat lagi berbincang. Cepat Noah!” Helena meninggi suara lagi.
“Sewaktu Dr Intan sampai, saya ada di lobi. Saya tak mampu nak halang dia sebab…..Cik Helena mesti faham…saya kuli, dia anak Datuk Suhaimi. Saya takut periuk nasi saya tumpah pasir nanti,” jelas Noah dengan ketakutan yang berbaki.
“Jadi, kau lagi takut dengan dia daripada aku? Selama ini, aku yang bayar gaji kau, bukan perempuan itu!” jerit Helena nyaring di pendengaran. Darahnya sudah mencapai takat didih maksima.
“Noah….” Kak Peah kecewa mendengar jawapan daripada Noah. Bukan itu caranya untuk mengelak daripada ditengking Helena.
“Kami minta maaf. Kami janji perkara ini takkan berulang lagi. Andai kata Dr Intan tak serik, saya sendiri akan heret dia ke muka pintu. Kami minta maaf,” tambah Abang Shah bagi mengawal keadaan. Mereka bertiga menunduk sehingga kepala hampir mencecah lutut.
Helena menarik nafas. Helena melangkah ke arah tiga orang pekerjanya. “Nasib baik saya ada hal sekarang. Kalau tak, tak tahu apa nasib korang!”
Tiga orang itu mematungkan diri, menahan nafas sehingga bunyi tapak kasut Helena semakin senyap dan hilang. Sudah pasti Helena pergi jauh, masing-masing menghembus nafas lega. Jarang sekali mereka terselamat seperti tadi.
“Semua ini sebab kau, kau yang suka cari pasal!” Kak Peah menampar bahu Noah.
“Kenapa pula akak? Akak dengan abang pun terlibat sama. Korang nampak Dr Intan tadi, kenapa tak halang? Mesti takut juga, samalah dengan saya,” bebel Noah. Bahu yang terasa berpijar digosok perlahan.
Kak Peah menarik muka, tidak menidakkan sangkaan Noah. “Kadang-kadang, Kak Peah lagi sanggup kena marah daripada hilang tempat cari rezeki. Banyak duit nak pakai di zaman ekonomi yang mencabar."
“Korang nampak tak tadi cara Cik Helena tengok kita. Macam anak harimau yang kahwin dengan naga. Bila-bila masa boleh terkam dan bakar kita dengan api yang panas. Ke sebab Cik Helena pakai baju merah. Merah kan warna panas,” komen Abang Shah, mengata tentang pemakaian Helena juga.
“Mengarut!” balas Noah pantas.
“Sudah! Semua sambung kerja sebelum Cik Helena nampak kita lagi. Cukuplah sekali sehari kena marah. Kalau kena banyak kali boleh pekak telinga aku,” arah Kak Peah. Dia menolak badan Noah manakala Abang Shah membawa perut yang boroi, susul dengan santai.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...