Puan Sri Sarina menunggu Datuk Suhaimi di pejabatnya. Kopi yang berasap nipis langsung tidak menarik selera. Darah Puan Sri Sarina menggelegak dengan kelakuan Datuk Suhaimi yang buruk, tidak padan dengan umur dan rambut putih yang memenuhi kepala. Acap kali Puan Sri Sarina mengeluh memikirkan kesialapannya dalam mendidik anak tunggalnya itu.
“Mama…….” Pintu bilik ditarik daripada luar. Terjengul muka Datuk Suhaimi melalui bukaan pintu.
“Mama nak bincang apa dengan saya?” Datuk Suhaimi mendekati Puan Sri Sarina yang mencerlung mata. Datuk Suhaimi masih beriak tenang, tidak ada yang menganggunya.
Pang!!!
Puan Sri Sarina membaling tongkatnya sehingga mendarat di atas kaki Datuk Suhaimi. Lelaki itu menyeringai menahan kesakitan.
“Apa ni mama! Saya bukan budak-budak lagi lah sampai mama nak buat macam tu!” dengus Datuk Suhaimi tidak puas hati. Batang tongkat disepak perlahan. Setiausaha Puan Sri Sarina pantas mengalihkan tongkat yang menghalang laluan Datuk Suhaimi.
“Tahu pun dah bukan budak-budak lagi. Ingatkan dah lupa umur sendiri. Apa yang kamu cuba buat? Siapa yang suruh kamu pergi jumpa Alisya dengan surat penyerahan bagai? Siapa Suhaimi!” tengking Puan Sri Sarina. Hanya Allah yang tahu betapa sakit hatinya apabila menerima maklumat sebegitu. Puan Sri Sarina dah tak tahu bagaimana ingin menyembunyikan muka yang sudah penuh dengan contengan arang hitam.
“Macam mana mama tahu?” Datuk Suhaimi membetulkan tali leher yang mencekik sambil berdehem, mengusir gemuruh yang mula terasa.
“Memang mama dah tua, tapi mama belum buta dan pekak. Kamu tahu tak tindakan kamu boleh mengeruhkan lagi keadaan. Cukuplah selama ini mama bela kamu, pejam mata dengan segala perkara yang kamu buat. Andai kata Helena bertindak, mama tak janji yang mama boleh lindungi kamu lagi. Buat apa mama nak bela kamu sedangkan kamu dah tak nak dengar cakap mama. Hasutan siapa yang kamu dah termakan? Katrina ke?” herdik Puan Sri Sarina. Mahu sahaja Tali leher yang panjang itu dibelit ketat di leher Datuk Suhaimi.
“Mama, mama nak salahkan saya sekarang? Mama tak ingat yang dari awal mama dah ajar saya untuk rampas segala harta daripada keluarga Alisya. Kalau bukan sebab harta, mama takkan kahwinkan kami berdua kan? Sebab harta juga, saya terpaksa lukakan hati Katrina, orang yang saya sayang. Ini semua salah mama! Faham tak!” Datuk Suhaimi mengungkit, menuding jari. Perkahwinannya dengan Dr Alisya hanya kerana harta semata-mata, bukan atas dasar cinta yang suci.
Puan Sri Sarina ketap gigi. Anak lelakinya sendiri telah menjatuhkan hukuman atas perkara yang telah lama dia sesali. “Mama dah berubah, Suhaimi. Mama dah tak pandang harta lagi selepas apa yang jadi dengan Alisya. Mama tahu mama berdosa dan mama akan bawa dosa itu sampai mati. Walauapapun, mama tak pernah suruh kamu ambil hospice daripada dia. Memang hospice menguntungkan kita tapi kamu kena ingat, hospice mungkin akan bankrupt di tangan kamu. Ramai yang lebih percayakan Helena, pengaruh dia besar.”
“Saya tak pernah terfikir untuk jadikan hospice sebagai tempat jagaan orang yang akan mati, membazir. Ada seorang jutawan datang jumpa saya, dia berminat nak beli hospice dengan harga yang sangat lumayan, berkali ganda lebih mahal daripada yang saya bayangkan. Saya rasa saya akan jual tempat itu kepada dia. Untuk pengetahuan mama, saya sekadar sampaikan keputusan saya, bukan meminta persetujuan atau pandangan mama. Saya tak perlu itu,” tutur Datuk Suhaimi takkan mengubah keputusan yang telah diambil. Datin Katrina juga bersetuju dengannya.
“Suhaimi! Kami tak berhak sentuh hospice selagi Alisya masih hidup. Dia masih ada Helena, sebagai pewaris tunggal yang dia ada. Memang Helena hanya anak angkat namun Alisya dah ada wasiatnya sendiri. Perkara yang dah tertulis atas kertas takkan berubah tanpa permintaan daripada Alisya. Cukuplah dengan angan-angan kamu Suhaimi. Cukuplah seksa hidup Alisya. Lebih baik kamu beri perhatian sepenuhnya kepada Medical Centre. Kita sendiri tengah goyang, tak stabil. Sekali orang tendang, jatuh kita.” Puan Sri Sarina risau mereka akan kehilangan semua benda kerana rasa tamak, tak pernah bersyukur dengan apa yang dah ada.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...