Bab 43

300 18 0
                                    

Di dalam kereta, Helena dan Syafiq masing-masing mengunci mulut. Helena gelisah kerana tak dapat bayangkan penantiannya selama ini mungkin bakal berakhir. Bermacam perkara bermain di benak Helena. Bagaimana dia ingin menyapa Hanani? Adakah Hanani masih seperti Hanani yang sama? Adakah Hanani berjaya temui kebahagiaannya? Helena terasa waktu sangat lambat berlalu. Memang jasad ada di situ namun fikiran melayang entah ke mana.

Syafiq pula gelisah memikirkan penerimaan Helena tentang Zahrah. Syafiq tidak keruan apabila membayangkan Helena membenci dirinya kerana tidak dapat melindungi Zahrah. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Syafiq memperlahankan kereta atau terus membatalkan niatnya. Namun apabila difikirkan balik, sampai bila dia nak menyembunyikan hakikat sebenar daripada Helena. Matanya sendiri menyaksikan bagaimana Helena terluka kehilangan orang yang dia sayang.

Di halaman rumah, Puan Marina ulang-alik, hampir mengelilingi kawasan rumahnya sendiri. Dia tidak senang duduk, berdebar menanti Syafiq. Sewaktu Syafiq memberitahu yang dia dalam perjalanan ke rumah bersama Helena, Puan Marina terus dapat menangkap situasi sebenar. Dengan tangan yang dingin, Puan Marina menyusun barangan peribadi Zahrah di dalam bilik supaya Helena sedar mereka tidak berbohong.

Hampir lenguh kaki mundar-mundir, mata Puan Marina silau dengan lampu daripada kereta Syafiq. Puan Marina meletakkan kedua-dua tangan di sisi badan lalu hujung baju digenggam sedikit. Puan Marina menunggu Syafiq yang baru sahaja membuka pintu buat Helena.

“Mama, Syafiq bawa Cik Helena,” ujar Syafiq perlahan. Dia berjalan rapat di sisi Helena.

“Awak kata nak bawa saya ke satu tempat. Kenapa awak bawa saya ke sini. Ada apa?” Helena keliru dengan apa yang berlaku. Tangan Puan Marina yang dihulur tidak disambut, dipandang kosong.

“Helena…..” Puan Marina mendakap tubuh Helena yang hangat buat seketika. Bibirnya menguntum senyuman nipis. Puan Marina sempat bermain mata dengan Helena.

“Jom kita masuk, kami nak tunjukkan sesuatu kepada Helena.” Puan Marina menarik tangan kanan Helena. Helena tersentak seketika namun kedua-dua belah kakinya hanya menurut. Debaran di dada semakin kuat. Mata Helena meliar ke sekeliling, tiada bayang orang lain yang ada.

Syafiq mengekori dua wanita dari belakang. Dia mengawasi langkah Helena yang seakan di awan-awangan. Kedua-dua tangannya acap kali tergapai di udara, bersiap-sedia menyambut Helena seandainya wanita itu tersilap langkah.

“Ini bilik siapa?” soal Helena apabila Puan Marina mendartkan tangan pada tombol pintu.

“Syafiq, awak beritahu saya yang awak tahu tentang Kak Nani. Awak pernah jumpa dia?” Helena masih tidak puas hati. Dia seakan dijampi kerana hanya menurut omongan Puan Marina daripada tadi.

“Helena…..” Puan Marina menolak pintu sehingga tombolnya berlaga dengan dinding putih.

“Bilik ini merupakan bilik Zahrah. Helena tahu kan siapa Zahrah? Syafiq beritahu yang dia pernah cerita tentang Zahrah kepada Helena. Betul tak?” Puan Marina masih mengenggam erat tangan Helena sehingga mereka berdua duduk di hujung katil. Syafiq pula hanya berdiri, bersandar pada dinding berhadapan dengan Helena yang berkerut muka.

“Aunty nak tunjukkan gambar ini kepada Helena. Ini gambar Zahrah selepas beberapa bulan dia mula tinggal di sini. Nah,” ujar Puan Marina lantas bingkai gambar diletak di atas riba Helena.

Helena tunduk, melihat gambar yang dihulurkan. Matanya membulat, kedua-dua belah tangan menggigil. Helena pandang Syafiq dan Puan Marina dengan mata yang berkaca. Helena usap wajah di sebalik kaca itu lantas air mata menitik satu demi satu.

“Muka Zahrah sama macam dengan sepupu Helena, Kak Nani. Tapi apa kaitan Zahrah dengan Kak Nani, Helena tak faham.” Helena geleng kepala. Dia merenung mata Puan Marina meminta penjelasan.

HEALER Where stories live. Discover now