Jenazah Sofea telah dituntut oleh ahli keluarga dan akan dikebumikan di negeri kelahiran arwah iaitu Kelantan. Serabut, serba-serbi tak kena buat Helena pada malam itu. Matanya mengantuk tetapi lena tidak datang menjemput. Helena bergolek di atas katil, jam sudah menunjukkan pukul tiga pagi. Helena resah, dia turun daripada katil.
Daripada biliknya, Helena ke bilik Dr Alisya. Ibunya sedang lena di atas katil sambil memeluk gambarnya sendiri. Helena alihkan tangan Dr Alisya perlahan, gambar diletakkan di atas meja. Helena mengengsot ke atas katil lalu kepala diletakkan di atas bantal yang sama. Helena memeluk erat Dr Alisya.
"Helena rindu ibu," bisik Helena perlahan.
Pipi yang ditampar oleh Datuk Suhaimi masih terasa pedih. Helena mula mengerti kenapa Dr Alisya trauma dengan suaminya sendiri. Pernah satu hari, Helena melihat Dr Alisya ditampar dan diherdik oleh lelaki dayus itu.
"Abang tolonglah! Saya nak cuba sekali lagi. Jika kali ini tak berjaya juga, barulah saya akan menyerah. Tolonglah bagi kerjasama dengan saya," pinta Dr Alisya di meja makan.
"Dah tak guna! Berpuluh ribu aku habiskan duit untuk kau buat IVF. Cukuplah! Terima aje hakikat yang kau memang tak boleh bagi aku zuriat. Aku dah muak dengan semua ini. Kau dah ada budak tu kan? Jadi kau bela dia baik-baik, jangan nak libatkan aku." Datuk Suhaimi tolak pinggan sehingga berlaga. Helena yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut dijeling benci.
"Abang! Saya tak minta untuk jadi perempuan mandul. Saya tak minta semua itu. Apa salah saya sehingga abang sanggup hina saya? Abang lupa yang abang dekati saya. Kalau saya tahu saya akan menderita, saya takkan humban diri saya ke dalam neraka ciptaan abang," bidas Dr Alisya sudah lencun dengan air mata.
"Kau menyesal kahwin dengan aku? Eh, aku pun menyesal kahwin dengan kau!"
"Sekarang baru nak menyesal? Selepas semua harta keluarga saya awak rampas. Saya yang bodoh percayakan lelaki pisau cukur seperti awak. Saya yang bodoh sebab jatuh cinta kepada lelaki bertopengkan syaitan seperti awak!" Dr Alisya meninggi suara.
"Kurang ajar!"
Panggg
Pipi kiri Dr Alisya menjadi sasaran. Wanita itu terduduk di atas mozek yang dingin. Datuk Suhaimi menolak semua pinggan di atas meja sehingga berantakan ke bawah. Bunyi kaca pecah diselangi dengan tangisan Dr Alisya dan Helena.
"Ibu......" Helena melutut di hadapan Dr Alisya.
"Anak ibu. Ibu minta maaf. Helena tak patut tengok semua ini. Ibu minta maaf ya sayang." Dr Alisya menarik Helena ke dalam pelukan. Dia terkilan kerana tak dapat melindungi Helena daripada cacian Datuk Suhaimi.
"Helena....." sentuhan Dr Alisya menyentak Helena daripada ingatan.
"Ibu......" Helena mengetatkan pelukan. Hidung mancungnya menyentuh leher Dr Alisya.
"Ya sayang, kenapa ni? Mesti ada sesuatu yang Helena fikir sampai tak boleh tidur kan?" ucap Dr Alisya. Rambut Helena yang menutup telinga dikuak sedikit.
"Tak ada apa-apa. Helena rindu ibu. Dah lama Helena tak peluk ibu kan? Waktu Helena kecil, ibu selalu teman Helena sampai Helena tertidur." Helena tahu dia tak boleh bermanja dengan Dr Alisya seperti dahulu lagi. Bukan sahaja telah dewasa, keadaan Dr Alisya juga tak mengizinkan.
"Walau kita tak sama seperti dahulu, ibu nak Helena tahu yang kasih sayang ibu terhadap Helena takkan berubah. Seperti maksud nama Helena sendiri, Helena ialah cahaya terang dalam kehidupan ibu. Terima kasih kerana izinkan ibu menjadi ibu kepada Helena. Memang Helena tak lahir daripada rahim ibu, namun Helena bertahta di hati ibu. Ibu sayang Helena sangat." Dr Alisya mengetatkan pelukan. Ubun-ubun Helena dikucup tanpa jemu.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...