Di hospice, Syafiq dan Ibrahim selesai menguruskan penghuni baru yang akan berlindung di tempat itu selagi diperlukan. Penat, tetapi berbaloi bagi Syafiq kerana buat pertama kalinya, dia dapat merasai sendiri bagaimana proses dari A sampai Z. Mujur Ibrahim tak kedekut untuk berkongsi ilmu, Noah juga.
“Syafiq! Ibrahim! Mari makan!” laung Abang Shah dari kafe apabila melihat dua orang pemuda itu berjalan ke arahnya. Masing-masing mengipas muka, baju juga dibasahi peluh.
“Meh makan, Abang Shah masak kari daging harini.” Abang Shah mengatur lauk di atas meja. Dia juga baru sempat untuk mengisi perut.
“Langkah kanan saya harini, terima kasih bang! Wangi betul, mesti sedap!” Ibrahim menghidu aroma kari yang membangkitkan seleranya.
“Cik Helena dah balik?” cetus Syafiq sambil melihat ke sekitar. Tak ada bayang Helena dikesan.
“Aik, kenapa tanya? Dah mula prihatin dengan Cik Helena?” usik Abang Shah. Dia duduk di hadapan Syafiq dan Ibrahim yang sudah menggaul nasi dengan kuah pekat.
“Tak adalah!” balas Syafiq pantas, tidak mahu salah faham berlarutan.
“Pagi tadi, dia naik kereta saya. Risau juga takut dia membebel nanti.”
“Oh, begitu ceritanya. Cik Helena dah lama balik. Tadi abang nampak dia di lobi, muka ceria sangat. Adalah tu perkara yang buat dia bahagia,” ujar Abang Shah. Dia bertembung dengan Helena ketika mengambil barang dapur yang baru sampai.
“Syafiq, setakat ni okay tak kerja dengan Cik Helena? Kalau rasa ada sesuatu yang tak kena dengan anggota badan, hujung bulan boleh buat medical check-up, takut badan dah rosak.”
Syafiq teguk air, hampir tercekik dengan gurauan Ibrahim yang tidak jauh daripada kenyataan, tak mustahil.
“Bolehlah, tak tahu juga nak jelaskan macam mana,” dalih Syafiq, menipu perasaan sendiri.
Apabila melihat para penghuni, hati Syafiq menemui ketenangan yang lama hilang selama ini. Dia belajar yang kehilangan itu satu kepastian, antara bersedia atau tidak sahaja. Hanya orang kuat dipilih untuk merasai tempoh masa persediaan diri. Siapa sahaja yang mahu jalani hari dengan mengetahui orang tersayang bahkan diri sendiri akan meninggal dalam masa yang diduga oleh manusia. Ketika dengan Helena, ada perkara yang Syafiq ingin tentang namun adakalanya dia belajar sesuatu daripada Helena.
“Baru kerja memang begitu, lama-lama dah terbiasa. Abang sendiri, dah berapa kali ugut nak berhenti, akhirnya ke dapur juga. Setiap aturan Allah tu ada hikmahnya, sentiasa yang terbaik untuk kita. Hanya kita yang belum nampak. Percayalah, takkan sia-sia Syafiq di sini,” bicara Abang Shah. Dia menelan baki nasi di dalam pinggan.
“Yang tu, saya setuju dengan Abang Shah. Kita ikut dulu alur yang dah ada, inshallah jika ada yang salah, Allah akan bukakan jalan lain untuk kita,” sambung Ibrahim pula.
Syafiq angguk faham. Dia amat perlukan nasihat sebegitu untuk terus kentalkan hati berhadapan dengan ujian Allah.
“Nak tanya Ibrahim dengan Abang Shah, apa pandangan korang tentang Cik Helena?” telah lama soalan itu disimpan sendiri, hari ini baru terluah tatkala melihat keterbukaan Abang Shah dan Ibrahim.
“Soalan aras tinggi terus dia bagi….” Abang Shah gelak halus. Badan ditegakkan, perut sudah terik ke hadapan.
“Jawab abang, saya nak dengar juga,” balas Ibrahim teruja.
“Hmmm…….” Abang Shah termenung, rautnya kosong seakan berfikir jauh.
“Korang tahu kan, di taman bunga ada bunga bulan?”
Ibrahim angguk Syafiq pula geleng kepala.
“Haritu saya ada singgah di taman dekat surau, tak ada pula nampak bunga lain kecuali bunga kertas…...” Syafiq hairan, turut meragui diri sendiri.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...