“Peah……” tegur Puan Sri Sarina yang muncul ke dalam lokasi kekalutan. Dia mengerling ke arah Datuk Suhaimi yang tersenyum bangga kerana dapat menyingkirkan Helena.
“Puan Sri…..Cik Helena dah pergi,” ujar Kak Peah seriring kereta Syafiq membelah laluan menuju ke simpang utama.
“Saya tahu. Saya minta maaf kerana saya tak dapat nak menghalang. Saya akui saya seorang ibu yang gagal. Saya gagal mendidik anak saya supaya menjadi manusia yang lebih bersyukur dan penuh kemanusiaan.” Puan Sri Sarina memerli Datuk Suhaimi. Lelaki itu berlagak selamba, tidak terkesan.
“Kamu jangan nak bangga sangat. Walaupun kamu berkuasa di hospice, kamu masih perlu hormati mama sebagai pemilik Sarina Medical Centre. Mama belum putuskan wasiat mama, penama boleh berubah. Dengar arahan mama, kalau tak kamu yang rugi,” ugut Puan Sri Sarina menggunakan isu harta. Datuk. Suhaimi lemah soal kekayaan.
“Mama!” tengking Datuk Suhaimi tidak berpuas hati. Banyak mata memandangnya yang sedang dimarahi seperti anak kecil. Tidak kiralah tua atau muda, kalau dah buat Salah mesti terbuka menerima teguran. Bukan menggelupur.
“Dengar sini semua..….” Puan Sri Sarina meminta perhatian para pekerja
“Mulai hari ini, Kak Peah, Abang Shah dan Noah akan menjadi ketua kamu semua mengikut tugas masing-masing. Patuh kepada arahan mereka kerana arahan daripada mereka juga daripada saya. Satu lagi, ini yang paling penting. Jangan sesiapa cuba dekati bilik Dr Alisya melainkan mereka bertiga sahaja. Faham semua?” tegas Puan Sri Sarina supaya semua lebih tersusun, takkan ada selisih faham yang boleh berlaku.
“Faham Puan Sri!” sambut individu yang ada di situ.
“Saya tak setuju! Kenapa mama tak bincang dengan saya?” tegah Datuk Suhaimi cuba menegakkan benang yang basah.
“Sewaktu kamu pergi kepada Dr Alisya, halau Helena, ada kamu bincang dengan mama? Kamu bawa pekerja kita yang sepatutnya ada di hospital pun satu kesalahan besar bagi mama. Buat apa mama perlu dapatkan keizinan kamu kalau kamu sendiri tak pernah hormati mama. Jangan sibuk nak membantah, ikut sahaja arahan mama kalau kamu tak nak semua jadi huru-hara. Uruskan hospital pun terkontang-kanting, ada hati nak uruskan tempat ini juga,” bidas Puan Sri Sarina dengan kesabaran senipis tisu.
“Peah, Shah, Noah?”
“Ya Puan Sri?”
“Boleh tak kalian ajar mereka apa yang patut. Ada masalah, terus beritahu, jangan simpan. Kita biarkan Helena berehat sekejap, dia tak pernah ambil cuti sebelum ni kan? Jangan fikir dia pergi selamanya, anggap sahaja dia bercuti sekejap. Inshallah, saya akan cuba yang terbaik. Saya tak sanggup nak menidakkan hak Helena juga,” ucap Puan Sri Sarina lantas melirik tajam ke arah Datuk Suhaimi yang beriak tidak puas hati.
“Baik Puan Sri!” jawab mereka bertiga hampir serentak.
“Saya harap Cik Helena akan baik-baik sahaja di mana jua dia berada. Saya dah rindu dia,” luah Kak Peah masih boleh mengawal air mata daripada tumpah.
“Abang Syafiq beritahu yang dia bawa Cik Helena balik rumah dia,” bisik Noah di telinga Kak Peah. Skrin telefon yang memaparkan Whatsapp daripada Syafiq turut ditunjukkan sebagai bukti.
“Semua boleh bersurai!” pinta Puan Sri Sarina. Masih awal pagi, banyak lagi urusan yang perlu diuruskan.
Puan Sri Sarina melihat ke arah pintu yang terbuka, membenarkan pelawat melaluinya. Hujan semakin lebat di liar, beserta guruh yang menggegarkan langit. Ada cahaya halus bergaris lurus membelah awan putih seketika.
“Jaga diri Helena,” pinta Puan Sri Sarina. Dia mulai rindu celoteh Helena, kehadiran Helena di sisinya walaupun mereka selalu bergaduh.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...