XII

23 9 4
                                    

BALI, INDONESIA

         "WAALAIKUMUSSALAM, my bestie. How're you babe?"

Teruja Nur Daiyan Qaisarah menjawab panggilan telefon daripada Mariam. Terkejut dia apabila malam-malam buta masih lagi mendapat panggilan daripada gadis itu. Bertuah punya budak. Nasib baik dia sudah mandi dan menunaikan solat fardhu isyak sebentar tadi. Jadi tubuh badannya terasa segar kembali.

"Alhamdulillah. I'm fine. Suka aku dengar suara kau tahu tak. Eh, esok kau plan nak pergi mana babe?" soal Mariam yang teruja di sebelah sana.

Nur Daiyan Qaisarah mengukir senyuman. Eh, siapa yang bercuti sekarang ni? Dia atau Mariam sebenarnya?

"Ermmm..." Nur Daiyan Qaisarah cepat-cepat mencapai buku yang diberikan oleh Mariam sebelum ini lantas dibaca satu-persatu setiap muka surat dengan laju.

"Cepatlah... kau plan nak pergi mana esok? Jangan kau cakap yang kau malas nak ikut semua plan yang aku tulis kat buku tu, babe."

Kedengaran suara Mariam mulai mengendur. Tidak teruja seperti di awal perbualan mereka tadi. Terkejut beruk Nur Daiyan Qaisarah dengan tuduhan itu. Macam tahu-tahu aje.

"Ermmm... kalau ikutkan aku. Aku rasa tempat yang paling hampir untuk aku pergi esok ialah..."

Mata Nur Daiyan Qaisarah terpaku lama pada sebuah gambar yang elok tertampal pada buku itu. Antara mahu teruskan berbohong atau jujur. Itu sahaja.

Jika dia jujur, bermakna dia harus memberitahu ke mana harus dia tuju keesokan harinya. Tetapi jika sebaliknya, bermakna dia akan membuat hal sendiri tanpa perlu merujuk buku planner itu lagi.

"Ialah?" Nada suara Mariam bertukar teruja kembali apabila mendengar kata-kata kawan baiknya itu.

Nur Daiyan Qaisarah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia mengeluh di dalam hati. Inilah padahnya apabila hati tidak mahu tetapi mulut kata mahu. Jadi tanggunglah sendiri!

"Golf driving range," ujar Nur Daiyan Qaisarah dengan perlahan. Tiada semangat. Ada ke patut mahu pergi bermain golf? Hermmm... memang tidak mahirlah dia dijawabnya.

"Wow! Bestnya babe!" Teruja benar Mariam kali ini. Seperti dia pula yang pergi bercuti bukannya Nur Daiyan Qaisarah.

Nur Daiyan Qaisarah tersenyum sumbing. Terangguk-angguk kepala sambil menggeleng kepala juga. Entah betul entah tidak dia sekarang ini. Jauh di sudut hati, rasa kesal mulai hadir. Berjayakah dia dengan rancangan mengarut ini? Sedangkan dia sendiri tidak berapa yakin apatah lagi ingin mencubanya.

"Daiyan..." panggil Mariam di sebelah sana lantas mematikan lamunan lima saat daripada Nur Daiyan Qaisarah.

"Ya-ya. Kau ada cakap apa-apa ke tadi?" soal Nur Daiyan Qaisarah yang seakan sedar tidak sedar itu. Meletus tawa Mariam di sebelah sana. Barangkali lucu agaknya apabila disoal begitu.

"Tak, mana ada aku cakap apa-apa pun melainkan aku cakap best aje. Eh, nanti kau roger-rogerlah ya sebab aku nak tidur ni. Assalamualaikum. Bye babe. Love you. Love you so much!"

Belum pun sempat Nur Daiyan Qaisarah ingin menyatakan selamat tinggal kepada Mariam terus talian di sebelah sana ditamatkan. Dia melepaskan keluhan seketika.

Bibirnya naik memuncung seperti itik. Baru sahaja ingin bertanyakan sesuatu pada masa yang sama terus hasratnya terbantut. Tidak mengapalah. Uncle Google kan ada. Jadi tanyalah dia. Semestinya segala soalan akan terjawab melainkan soalan seperti ini sahaja.

YOU & I ©Место, где живут истории. Откройте их для себя