Bab 7

511 66 7
                                    

MAMA seronok sungguh bila aku cakap hari ini aku tak akan balik makan tengahari bersama kerana aku ada lunch date dengan Hud. Bermacam-macam petua mama turunkan dekat aku. Antaranya, mama suruh aku makan sopan sikit bila depan Hud. Jangan makan serupa tak jumpa nasi seminggu. Hesy, mama aku ni! Apa selama ni aku makan macam hantu raya ke?

Hampir tiga puluh minit memandu, aku tiba di lokasi yang Hud hantar pada aku. Memang taste orang kaya sungguh. Makan tengahari pun dekat hotel. Tidak membuang masa, aku menghayun langkah memasuki restoran hotel. Kekok aku jadinya. Tak pernah lagi aku masuk hotel semata-mata nak makan tengahari saja.

"May I help you miss?" seorang pelayan wanita yang menyarung uniform menegur aku di pintu masuk.

"Errr..."

"Saffa!"

Aku berpaling memandang Hud yang sedang melangkah menghampiri aku. Pelayan itu berlalu pergi sebaik saja Hud memberitahu bahawa aku datang bersamanya.

"Jom," ajak Hud. Langkah panjang Hud aku ekori sehinggalah kami mengambil duduk di sebuah meja kosong. Tak menunggu seminit atau lebih, seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan. Aku buka buku menu. Tak tertelan air liurku melihat harga untuk setiap menu yang ada di hotel ini. Aduhai, apa yang kau expect Saffa Kirana? Ini hotel, bukan kedai mamak!

"Saffa? Are you done?" tersentak aku bila Hud menyoal. Nampaknya, lelaki itu sudah memberikan pesanannya pada pelayan. Tinggal aku saja yang masih terkebil-kebil belek buku menu.

"Sekejap," aku sengih. Mata aku tajam mencari menu yang harganya tak melampau sangat. Tapi malangnya, harga satu portion makanan saja boleh tampung kos makan aku selama tiga hari kut.

"Let me help you," buku menu yang berada di tanganku, Hud ambil. Aku diam tak berkutik bila Hud yang memesankan makanan untukku. Entah apa benda yang dia sebut pun aku tak faham. Berbelit-belit lidah nak menyebutnya. Seketika pelayan berlalu seusai mendapatkan pesanan.

"Maaflah, saya tak biasa makan kat sini. Jadi, tak pandai nak order." aku berterus-terang. Nak malu apa? Memang aku jarang makan dekat restoran hotel kecuali aku datang check-in hotel. Itu pun harga makan termasuk dengan harga bilik. Erk.

"Takpe," Hud senyum manis. Kekok terus aku jadinya. Hah, nak cakap apa ni? Aku mana reti nak menyembang! Lagi-lagi bila kat depan aku ni merupakan makhluk Tuhan yang paling seksi di mataku.

"Awak dah okey ke?" soalan Hud menimbulkan kerut di wajahku.

"Hah?"

"Awak jatuh kolam ikan tempoh hari. Awak okey ke?"

"Oh!"

Aku ketawa. Tak sangka Hud masih ingat lagi kejadian di mana aku mandi bersama ikan-ikan di dalam kolam tempoh hari.

"Okey. Tak ada apa-apa pun. Setakat terjatuh dalam kolam ikan, apalah sangat?" aku sengih. Terselit juga rasa malu bila Hud nampak aku basah kuyup malam itu. Hesy.

"You should be more careful next time," pesan Hud.

"Sure," terangguk-angguk kepala aku.

"So, what do you do for a living?" Hud memulakan perbualan.

"Sekarang saya tolong kakak ipar saya uruskan taska," balasku.

"Kakak ipar awak buka taska sendiri?" Hud menunjukkan minatnya.

"Ya. Taska Cahaya Permata. Kakak ipar saya pemiliknya." jawabku. Pagi tadi aku ke taska dulu membantu apa yang perlu. Bila sudah masuk tengahari, barulah aku memandu ke sini.

"Awak tak nak buka taska sendiri? Boleh minta tunjuk ajar daripada kakak ipar awak tu. Sekarang ni taska tumbuh macam cendawan tau," ujar Hud. Aku senyum tipis. Untuk memiliki sebuah taska sendiri tak pernah ada dalam senarai impian aku. Lagipun dulu masa belajar aku tak ambil program Pendidikan Awal Kanak-Kanak atau yang setaraf dengannya.

Cinta Dalam BenciWhere stories live. Discover now