Bab 10

502 69 8
                                    

HARI ini adalah harinya. Hari yang aku nantikan penuh debar. Hari yang akan merubah status bujang yang aku pegang sejak aku keluar dari perut mama lagi. Ya, aku tak pernah bercinta. Hud adalah lelaki pertama yang berjaya membuatkan aku tahu bagaimana indahnya rasa jatuh cinta.

Aku memandang pantulan wajahku di dada cermin. MUA yang aku upah datang seawal tujuh pagi untuk menyolekkan aku. Lebih satu jam jugalah aku menadah wajahku untuk disolek. Aku benar-benar puas hati dengan hasil sentuhan MUA tersebut. Dia benar-benar menyolek wajahku mengikut apa yang aku mahu. Solekan nipis yang tak merubah wajah asalku.

Upacara akad nikah yang akan diadakan di kediaman keluargaku akan berlangsung pada jam sepuluh pagi. Bermakna ada lagi kurang satu jam lagi sebelum statusku berubah. Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan kami hari ini. Jangan kau sulitkan ia.

"Rasanya keluarga sebelah lelaki dah sampai tu," ujar Khairun, salah seorang sahabat baikku yang menjadi penemanku hari ini. Dari duduk di kerusi meja solek, aku bangkit mengatur langkah ke arah tingkap. Kelihatan dua buah kereta jenis MPV berhenti berdekatan dengan rumahku. Bibirku membentuk senyuman tipis bila terpandangkan sosok Datin Faridah dan Izzara. Aku cuba mencari kelibat Hud tapi tidak kelihatan. Mungkin Hud menaiki kenderaan yang berlainan.

Aku kembali merapikan diri. Kedudukan tiara di atas kepala aku betulkan. Awning tudung aku tiup supaya elok bentuknya. Baju kurung moden berwarna putih aku pastikan kemas. Tak lama kemudian, pintu bilikku ditolak dari luar. Kak Aimi muncul dengan wajah terujanya.

"Mama panggil turun. Cepat," ujar Kak Aimi. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepasnya panjang. Aku rapati Kak Aimi yang berdiri di jenang pintu.

"Hud dah sampai ke?" soalku.

"Hud belum lagi. Auntie Faridah cakap Hud naik kereta lain. Kejap lagi sampailah dia," jawab Kak Aimi. Aku menghembus nafas pendek. Betullah apa yang aku fikirkan tadi. Hud menaiki kereta yang berasingan. Tapi, kenapa tak datang sekali aje dengan rombongan? Hud tu pengantin lelaki kut!

"Jom," Kak Aimi menarik jemariku lalu dipimpinku untuk turun ke tingkat bawah. Lihat saja aku, Datin Faridah datang memeluk tubuhku dan mengucup kedua-dua belah pipiku. Sungguh aku begitu tersentuh dengan penerimaan dan layanan bakal ibu mertuaku itu.

"Cantik menantu mama," ujar Datin Faridah. Aih, belum pun sah jadi isteri Hud, Datin Faridah sudah memanggil aku menantunya. Aku duduk di atas pelamin indah sambil memegang erat bunga tangan segar. Rata-rata tetamu yang hadir sudah mengambil tempat duduk masing-masing. Jurunikah pun sudah tiba. Cuma Hud saja yang belum menampakkan bayangnya. Sehinggalah beberapa minit kemudian, telingaku menangkap sok-sek-sok-sek suara tetamu yang mempersoalkan keberadaan pengantin lelaki yang masih belum tiba. Padahal lagi sepuluh minit dah nak pukul sepuluh pagi. Aku mula tak senang duduk.

"Pengantin lelakinya mana?" aku dengar jurunikah menyoal ayah. Entah apa yang ayah bisikkan ke telinga jurunikah tersebut sebelum dia bangkit mendapatkan aku di pelamin.

"Adik, Hud mana? Dah lewat ni," aku nampak wajah resah ayah.

"Adik tak tahulah, ayah. Mungkin dia stuck. Jalan jammed kut," aku membalas. Sejujurnya aku betul-betul tak tahu di mana keberadaan Hud saat ini. Dari semalam lagi kami tidak berhubung. Berbalas mesej pun tidak.

"Mana boleh macam ni. Jurunikah pun nak nikahkan orang lain pulak lepasni!" keras suara ayah. Tapi tidaklah sampai nak menarik perhatian tetamu yang ada. Aku gigit bibir bawah.

"Abang Man..." Datin Faridah dan Izzara datang merapati aku dan ayah.

"Kenapa Hud tak sampai-sampai lagi ni? Kita tak boleh buang masa. Sekarang dah pukul sepuluh," ayah mengetuk jam yang berada di pergelangan tangannya. Datin Faridah juga nampak resah sama seperti ayah.

Cinta Dalam BenciTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang