Bab 12

579 83 10
                                    

AKU tak tahu jam berapa aku tertidur dengan bantal yang basah dengan air mataku. Aku tersedar bila terdengar alunan bacaan Al-Quran dari masjid berdekatan dengan rumahku. Dengan tubuh yang kepenatan dan kepala yang memberat, aku gagahkan diri menuju ke bilik air. Aku bersihkan diri dan berwuduk.

Aku tunaikan solat sunat taubat dan solat sunat tahajjud. Masuk saja waktu subuh, aku tunaikan pula solat sunat qabliyah sebelum subuh dan solat subuh dua rakaat. Mashaf Al-Quran di atas rak buku, aku capai. Bergetar suaraku saat menyebut huruf-huruf dari kalam Allah itu. Tika dan saat ini, jiwaku benar-benar rapuh. Hancurnya berkeping-keping.

"Janganlah kamu bersedih, kerana sesungguhnya Allah bersama kita,"
(QS At-Taubah; 40)

Ya, benar. Hud mungkin telah meninggalkanku. Tapi aku masih ada Allah SWT, penguasa langit dan bumi. Yang tak akan pernah meninggalkan hamba lemah sepertiku. Aku juga punya keluarga yang sentiasa ada di saat jatuh bangunku. Jadi, kenapa aku perlu rebah hanya kerana seseorang yang telah mengkhianatiku seperti Hud Ukail?

Cukuplah, Saffa Kirana. Cukuplah air mata kau terbazir banyak kerana seseorang seperti Hud Ukail. Lupakanlah dia. Tak ada gunanya kau menangisi dia.

Usai menunaikan solat sunat dhuha, aku melangkah turun ke tingkat bawah. Tapi sebelum itu, aku menyolek nipis wajahku agar nampak sedikit seri. Walaupun aku tahu, aku tak mampu menyembunyikan wajah sembap dan mata yang bengkak kerana menangis seharian.

Masuk ke ruang makan, berpasang-pasang mata tertoleh ke arahku. Mungkin mereka terkejut bila aku turun. Mungkin mereka menyangka yang aku akan terus berkurung di dalam bilik dan meratapi nasib malangku. Aku menarik kerusi lalu aku labuhkan duduk. Mataku memandang semangkuk nasi goreng kampung dan sepiring tempe goreng. Ada juga lauk lebih semalam.

"Pinggan, please." pintaku. Terkocoh-kocoh Kak Aimi menghulurkan pinggan dan sudu buatku. Aku menyenduk tiga senduk nasi goreng ke atas pinggan. Aku benar-benar kebulur. Kalau mereka suruh habiskan satu mangkuk besar nasi goreng itu, pasti aku boleh habiskan.

Aku menikmati nasi goreng kampung itu dengan penuh berselera. Pandangan daripada ahli keluarga kecilku itu, aku buat tak endah.

"Malam tadi adik pergi jumpa Hud ke?" sekonyong-konyong soalan itu terbit dari mulut abang long. Aku perasan Kak Aimi mencubit abangku itu sambil menjegilkan mata. Mungkin Kak Aimi takut jika soalan abang long itu kembali melukakan hati aku.

"Haah." jawabku sepatah.

"Hud ada kat rumah dia?" muka abang long nampak tak puas hati.

"Ada." suaraku tak bernada. Aku pandang sekilas ke arah abang long. Aku nampak rahang abang long bergerak-gerak. Tangannya di atas meja dikepal membentuk buku lima.

"Dia cakap apa dekat adik?" suara abang pula kedengaran.

"Tak ada apa-apa. Dia cuma minta maaf aje," tak perlu rasanya aku menceritakan lebih detail tentang apa yang berlaku malam tadi. Aku risau kalau aku ceritakan perkara yang sebenar, melayang segala kerusi meja dalam rumah ni dikerjakan abang long dan abang. Sudahlah mereka berdua masih tak puas hati dan marahkan Hud. Kalau Hud ada, boleh separuh mati Hud dibuatnya.

"Dia ada cakap kenapa dia tiba-tiba tak datang?" kak ngah pula menyoal. Aku menghela nafas panjang. Nampaknya, mereka semua mahu tahu apa punca Hud tiba-tiba membatalkan majlis nikah kami di saat akhir. Iyalah, tak pernah dalam sejarah keluargaku, upacara akad nikah dibatalkan kerana pengantin lelakinya mengubah fikiran.

"Dia tak cintakan adik. Dia tak mahu dera perasaan adik kalau kami tetap berkahwin. Lagipun, tak ada gunanya hidup berumah tangga tanpa rasa cinta, kan?" balasku cukup tenang.

"Celaka!"

"Bodoh!"

"Safwan! Safiy! Depan rezeki ni!" mama menegur abang long dan abang yang mengeluarkan kata-kata kesat di meja makan. Bibirku melorek senyuman kelat. Aku tahu mereka terlalu marah. Aku juga marah.

Cinta Dalam BenciWhere stories live. Discover now