1

17 0 0
                                    

"Mungkin mati dan terseksa di akhirat sama teruk dengan hidup dalam keadaan sekarang."

Sekurang-kurangnya itu yang dia fikirkan sewaktu matanya sedang lihat ke permukaan tanah daripada tingkat tertinggi bangunan asrama itu. Dalam fikiranya hanya terdapat idea untuk terjun dan mengakhiri riwayat hidupnya dan lihat badannya bersepai menjadi serpihan serpihan kecil.

Jam empat pagi dan semua penghuni asrama masih lena diulit mimpi di dalam kamar masing masing. Jika dia terjun sekarang, tidak akan ada yang perasan sehingga subuh nanti. Akalnya mula mengira ngira kebarangkalian untuk dia kekal hidup walaupun telah terjun daripada tingkat teratas itu. Mungkin dia patut terjun dengan kepala menghala ke bawah dan bukan kaki atau belakang badan.

"Terjun," Hatinya menjerit menyuruhnya menyudahkan hidup.

Dia lihat ke pergelangan tangan kiri. Sudah terlalu banyak parut luka yang bergaris. Malah, ada dua yang baru sahaja dia ukir malam tadi.

Sejak bila dia jadi begitu rapuh? Dia cuba ingat kembali bagaimana ini semua boleh bermula. Orang kata fasa remaja, banyak akan menjadikan kita berfikir berkenaan hidup. Manusia datang dan pergi daripada hidup kita. Kesunyian yang selama ini kita rasa dan tak pernah ambil peduli akhirnya mencekik kita di tenggorokan. Kesunyian yang sebenarnya sudah lama kita miliki jadi bertambah parah dengan orang lain yang mula menjauh daripada kita, malah orang yang paling kita sayang.

Dari jauh, dia lihat lampu surau sudah menyala. Mungkin ahli badar yang datang dan mahu berqiyam. Dia mula teragak untuk terjun. Tidak mahu orang lain lihat dan datangkan kesan buruk kepada mereka.

Sudahnya, dia bingkas daripada bucu bangunan itu dan perlahan lahan mengheret kaki ke kamar. Mungkin tidur sejam dua akan menenangkan fikiran dan mindanya.

***

Kalau cinta adalah satu mata pelajaran, maka dia akan jadi manusia yang berulang kali masuk ke kelas saban tahun kerana mengulang mata pelajaran itu untuk mendapatkan kredit.

Nazri tidak tahu mengapa dia tiada kemahiran dalam bercinta. Mukanya tidaklah begitu jelek jauh sekali hodoh. Badannya mungkin tidak seperti lelaki lelaki yang berulang alik saban hari ke gym untuk workout. Dan kemahiran komunikasinya tidaklah begitu teruk, begitu juga dengan duit dalam simpanannya. Tetapi entah mengapa, dia begitu jauh daripada mendapatkan seorang teman perempuan apatah lagi kekasih.

"Apa yang kau termenung lama sangat tu?" Kamal datang sambil menepuk lembut kepala Nazri.

"Aku rasa nak awek sorang lah." Nazri mengeluh.

"Hari ni je dah tiga kali aku dengar benda yang sama keluar dari mulut kau. Takde benda lain ke dalam kepala otak kau yang tak seberapa tu daripada awek?" Balas Kamal.

"Kau cakap senanglah. Kau tu dah lama ada awek. Aku ni dah dekat dua puluh tahun hidup tak pernah lagi ada perempuan suka ke aku."

Nazri bangun daripada tempat duduknya dan mula melangkah keluar daripada dewan kuliah.

"Kau nak pergi mana pulak tu? Kejap lagi lecturer masuk."

"Keluar jap. Berasap. Dah dekat setengah jam kita tunggu, bukan setakat batang hidung, jambul dia pun kita tak nampak lagi."

Bayangnya hilang ditelan pintu. Kamal yang sudah mula bosan dan kesejukan di dalam dewan kuliah mula mengangkat punggung menurut langkah Nazri. Tunggu lama lama pun bukan ada guna, paling kurang dalam lima atau sepuluh minit lagi akan ada orang bagitahu kelas dibatalkan.

Dia mencari kelibat Nazri tetapi tiada langsung di koridor yang sunyi itu. Kebanyakan kelas sudah tamat. Hanya mereka sahaja yang berada di fakulti pada masa masa sebegini. Pandanganya dicampak ke langit yang menjingga sambil berfikir, manusia jenis apa yang menyusun jadual sehingga mereka terpaksa tetap di fakulti sehingga senja begini.

Kelab Duka LaraWhere stories live. Discover now