7

4 0 0
                                    


Pulang daripada luar, dia sedar yang kereta Kamal masih belum berada di perkarangan rumah. Ke mana sahaja kawannya seorang ini. Biasa petang petang sebegini, Kamal akan berada di rumah, tidur.

Dibiarkan saja. Nazri terus menuju ke kamarnya. Ada perkara yang bermain di dalam kepalanya. Perasaan asing yang berlinggaran di sekitarnya sepanjang melakukan rutin biasa di luar cukup mengganggunya. Dia perlu lakukan sesuatu.

Perkara pertama yang dilakukan selepas sampai di rumah adalah mencuci tangan. Lama. Bayangan Balqis bermain di tubir matanya, tersenyum, selintas imejnya pada malam terakhir mereka bersama menyinggah tetapi cepat cepat Nazri padamkan. Dia melajukan gosokan tangannya.

Jika dia berhenti untuk berehat sebentar waktu itu, dia pasti Balqis akan masih bernyawa. Jika sahaja dia berhenti berehat dan tidak terlelap, pasti sahaja hubungan mereka akan lebih rapat. Jika sahaja Balqis masih hidup, tentu dia sudah bertemu kedua ibu bapanya untuk berkenalan. Jika sahaja..

Nazri melajukan gosokan tangannya. Memadam segala igauan yang bermain di mindanya. Puas mencuci tangan, dia ke kamar.

Dibuka daun pintu almari pakaiannya luas luas. Lama direnung almarinya yang penuh bersusun dengan pakaian. Daripada pakaian dalam yang sudah berkurun lama disimpan, sehingga baju yang baru sahaja dibeli. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke ruang sekitar bilik. Matanya mengitari seluruh ruang kubikel biliknya yang semakin sesak dengan barangan yang berlambakan. Daripada barangan esensial yang digunakan sehari hari sehingga kotak kotak lama seperti kotak kasut dan barangan yang dibeli atas talian bertompok di suatu sudut.

Dia perlukan lakukan sesuatu untuk mengubah hidupnya dan cara yang paling baik untuk mengubah hidupnya bermula dengan kamarnya sendiri.

Mula mula, dia keluarkan semua pakaiannya sehingga almari yang penuh itu jadi kontang tanpa isi. Kemudian dia mula mengasingkan pakaian yang benar benar dia pakai, atau lebih tepat pakaian yang sering masuk dalam pusingan hidupnya selama seminggu. Daripada pakaian yang berbaki, dipilih pakaian yang sudah lusuh, buruk dan layak untuk dibuang. Tompokan pakain menjadi tiga. Seterusnya dia pilih pakaian yang sudah tidak dia pakai tetapi masih dalam keadaan yang baik, dia rasa lebih baik untuk dia dermakan lambakan pakaian yang semakin menimbun ini. Akhir sekali, dia masukkan semula pakaian yang benar benar dipakai atau pakaian yang masih baru.

Selepas meletakkan semua pakaian di tempatnya, pakaian untuk dibuang di suatu tompok, pakaian untuk didermakan di suatu tompok dan pakaian yang akan dipakai di dalam almar. Dia merenung pakaian yang berada elok di dalam almari yang mula menampakkamn ruang itu. Dia belek satu persatu sehingga dia terjumpa pakaian yang diberikan oleh Balqis. Lama ditenung pakaian yang satu itu. Berkira kira adakah patut dia simpan atau derma kepada orang lain. Setelah sejenak berfikir, dia memutuskan untuk simpan pakaian itu di dalam almari. Mungkin esok dia akan pakai.

Seterusnya dia beralih ke barangan lain di dalam kamarnya. Dia kumpulkan kotak kotak yang tidak dia guna dan simpan hanya demi nilai sentimental di suatu tempat. Kemudian dia pilih semua barang yang benar benar dia tidak guna dan layak dibuang bersama longgokan kotak kotak tersebut. Lama juga masa yang diambil. Setelah siap mengemas, dia lihat bawah katilnya yang sebelum ini sesak dengan barangan. Akhirnya punya ruang yang banyak. Lebih daripada separuh barangan yang disimpan telah diasingkan untuk dibuang.

Dia kemudian ke dapur untuk mengambil beberapa plastic sampah untuk menyumbat semua barangan. Ketika di dapur, dia sedar di rumah ini cuma tinggal satu plastic sampah. Setelah difikir fikirkan, dia putuskan untuk guna beberapa kotak bersaiz besar yang dia punya untuk simpan baju baju terpakainya yang akan disedekahkan kepada orang lain.

Ketika dia memasukkan barang barang berupa sampah itu ke dalam plastic, pintu kamarnya diketuk. Dia toleh ke pintu dan nampak kelibat Kamal sedang merenung ke arahnya.

Kelab Duka LaraNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ