5

4 0 0
                                    

Mujur saja Nazri terjaga awal pagi dan sedar dengan Balqis yang masih kekal di sisinya. Nazri bingkas perlahan lahan kerana tidak mahu mengejutkan gadis yang sedang nyenyak dibuai lena itu. Ketika dia bergerak, Balqis seakan merengek. Tidak jelas butir bicaranya, tapi yang terdengar oleh telinga Nazri adalah: "Kejap lah, awal lagi." Balqis kembali nyenyak.

Kemudian, Nazri terus ke kamar mencari selimut untuk diberikan kepada teman wanitanya. Diselimutkan gadis itu dengan penuh kasih sayang sebelum memberi ciuman pada keningnya. Nazri kembali ke kamar dan sambung tidur, jam waktu itu masih pukul empat. Masih banyak masa yang dia punya untuk lena sebelum subuh tiba.

Selepas subuh, mereka bersiap siap. Pagi di kawasan kampong terasa lain. Pagi yang akan mereka rindui, dengan hawa nyaman dan udara lembut bertiupan membawa bauan tumbuh tumbuhan. Dengan bunyi ayam yang berkokok sabung menyabung dan embun pagi yang dingin sehingga membasahi tingkap rumah sewa mereka.

Mereka gerak pada jam sembilan pagi itu. Dengan mata yang masih lebam dan belum boleh dibuka sepenuhnya. Memakai hoodie dan lapisan kedua, mereka berjalan ke kedai sarapan pagi tidak jauh daripada situ. Nazri memang teringin menyantap nasi kerabu asli daripada Pantai Timur. Daripada kata kata orang, nasi kerabu di sini datang dengan rasa yang lebih autentik dan semestinya sedap berbanding yang disajikan di tengah kota. Tambahan pula, harganya jauh lebih murah berbanding makanan di kota relai.

Mereka makan sambil melayan orang orang yang datang silih berganti ke kedai itu. Mendengar bahasa yang janggal pada telinga mereka yang hanya sepatah dua yang dapat ditangkap. Tidak ramai yang makan di situ, kebanyakan yang datang adalah golongan bapa yang membeli sarapan dengan pukal untuk diberikan kepada ahli keluarga.

Nazri menghirup air kopinya sebelum laju laju meletakkan kembali cawan kopi itu di atas permukaan meja. Selain suhunya yang masih lagi panas, kopinya juga sangat manis dengan gula yang dirasakan berlebih. Memang betul betul orang pata timo.

Selain daripada kopi yang panas, dia juga sebenarnya agak menentang idea untuk keluar bersarapan pada pagi ini. Tapi tiada alasan yang kukuh untuk diberi kepada kawan kawannya memandangkan ia pagi terakhir mereka di sini. Nazri sejujurnya amat malu untuk bertentangan mata dengan Balqis selepas apa yang terjadi semalam. Salah dia kah kerana tidak mempunyai ketahanan diri yang kuat? Atau memang Balqis yang mahukan semua itu? Bagaimana jika hanya dia yang terlebih lebih dalam perlakuannya dan Balqis tidak mahupun semua kelakuannya semalam? Dia jadi berfikir panjang mengenai perkara itu. Selain itu, imej tubuh badan Balqis masih melekat kejap dalam fikirannya. Tubuh seorang gadis yang pertama kali dia lihat tidak mengenakan baju di alam nyata. Kulitnya yang putih mulus, pelukannya yang hangat dan bibirnya yang basah dan lembab dengan perasa strawberry.

Pokoknya, pagi itu, dia sangat malu untuk bertentang mata dengan gadis itu. Malah sepanjang sarapan, dia tidak mampu untuk bertentang mata dengannya. Setiap kali anak mata mereka bertemu, Nazri akan segera mengalihkannya ke arah lain atau bercakap sesuatu, atau memulakan topik topik tidak relevan atau menghirup kopi yang luar biasa manis itu.

Selepas makan, mereka terus pulang untuk mengemas barang dan bersedia untuk perjalanan panjang kembali ke kota.

Ternyata takdir tidak memberikan mereka peluang untuk terus pulang selepas itu. Syazani dan Balqis telah berpakat untuk memujuk kedua dua teman lelaki mereka untuk dibawa ke pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Puas Kamal nyatakan yang jalan yang mereka lalui untuk pulang tidak bertembung dengan Kota Bharu, tetapi setiap kali Kamal cuba berkata sesuatu, pantas ia dipotong oleh Syazani. Balqis pula menjadi seakan burung kakak tua, tiap apa yang dikatakan oleh Syazani akan diulang semula atau paling kurang dia akan menyokong dengan bersungguh cadangan Syazani itu.

Kamal dan Nazri akhirnya kelelahan dalam interogasi itu dan memutuskan untuk menurut sahaja. Jadi selepas mengunci rumah sewa, mereka masuk ke dalam perut kereta dan bergerak menuju Pasar Siti Khadijah yang sarat dengan manusia pada hujung minggu. Orang datang bersilih ganti yang kebanyakannya adalah orang setempat. Entah apalah yang mereka mahukan di tempat sesak pada hujung minggu ini. Tidak bolehkah orang Kelantan cuma duduk dan berehat sahaja di rumah dan membiarkan orang jauh seperti mereka untuk berhibur sebentar. Fikir Nazri.

Kelab Duka LaraWhere stories live. Discover now