8

4 0 0
                                    

Langit malam gelap tanpa bintang. Angin dingin bertiupan. Dari beranda rumahnya, Nazri dapat mendengar bunyi katak katak menyanyi. Suasana kampong yang dia rindui. Kadang kala, dia akan dengar bunyi ekzos motorsikal yang datang dari jauh, mendekat dengan kawasannya lalu menderu pergi meninggalkan asap kelabu yang berkepul naik ke udara sebelum hilang ditelan pekat malam.

Sejujurnya, dahulu dia sangat bencikan bunyi ekzos motorsikal seperti itu. Ia memekikkan telinga. Tidak jarang juga dia menyumpah mat mat rempit yang berkeliaran apabila malam tiba. Tetapi kini, mungkin kerana terbiasa dengan hidup di kota relai, dia menjadi biasa dengan bunyi kenderaan yang memenuhi malam. Ada juga rasa rindu dalam hatinya untuk mendengar bunyi motorsikal yang memecah kesunyian malam.

Dia rasa tidak percaya yang dia akan rasa begitu. Tapi perkara yang dibenci dan perkara yang dia suka inilah yang membuatkan dia berasa dekat. Sangat dekat. Berasa berada di rumah.

Nazri tersenyum sendirian mengadap jalan kecil di hadapan rumahnya.

Dalam kepalanya, perkataan ibunya masih terngiang ngiang.

Kuatkah dia sebagai lelaki? Bagaimana ibunya boleh sebegitu yakin dengan dirinya untuk mengaku dia seorang anak yang kuat? Jauh dalam hatinya dia membantah kata kata ibunya itu. Dia bukan lelaki yang kuat. Buktinya adalah bagaimana pemergian seorang perempuan boleh mengubah hidupnya daripada seorang lelaki biasa, kepada seorang lelaki murung yang takut untuk kembali mencuba.

Nazri gelengkan kepala laju laju.

Dia tidak boleh terus begini. Satu satunya orang yang dia sayangi dalam dunia ini berkata begitu tentangnya. Apatah lagi dia begitu percaya. Nazri masih ingat lagi intonasi yang digunakan oleh ibunya. Perkataan itu dituturkan tanpa sebarang ragu. Tiada getaran dalam suaranya yang membunyikan keraguan.

Matanya melekat pada langit yang pekat. Dia rasa ingin merokok. Tetapi baru dia ingat yang rokoknya sudah habis sebelum dia sampai di rumah ibunya. Dan sekarang sudah lewat malam. Tiada kedai yang beroperasi.

Nazri telan air liur yang terasa kelat.

Sebiji motor lagi lalu di jalan beberapa simpang daripada rumahnya. Bikin dia teringat sesuatu. Kawan kawannya sepanjang dia membesar. Apa khabar mereka sekarang? Jadi orangkah mereka?

Kali terakhir dia ingat adalah berkenaan seorang kawannya yang pernah rapat dahulu. Baru baru ini dia berkahwin.

Nazri tersenyum memikirkan nasib baik yang diterima kawannya. Masanya masih jauh lagi. Bila difikirkan, dia juga belum lagi bersedia untuk memikul komitmen sebagai seorang suami.

"Anak emak seorang lelaki yang kuat."

Belum, masih belum lagi. Dia belum lagi menjadi seorang lelaki yang kuat. Dia perlu menjadi seorang lelaki yang kuat.

Nazri bangun daripada tempat duduknya lalu melepaskan satu nafas berat dan dalam. Dia perlu jadi kuat. Azamnya dipahat kukuh di dalam hati. Ada perkara yang perlu diusahakan sebaik sahaja di balik esok. Tetapi sekarang sudah lewat malam. Dia perlu tidur. Bunyi nyanyian katak yang sumbang itu buat kantuknya bertambah. Langkah kaki diatur masuk ke dalam rumah sebelum dikunci.

Aku perlu jadi kuat. Sekali lagi Nazri berkata kepada dirinya sebelum pintu rumah dikunci dan dia ke kamarnya untuk lena. Dia perlu mengumpul tenaga untuk pulang esok. Perjalanan seharian ditambah dengan tangisan buat badannya dihambat letih. Malam itu, dia tidur bertemankan nyanyian katak dan asap nipis daripada ubat nyamuk.

***

Keesokan paginya, Nazri bangun oleh bunyi hujan. Sebenarnya dia mengharapkan yang dia akan dikejutkan oleh bunyi kokokan ayam atau ibunya yang berleter tetapi bunyi hujan yang lebat di luar menghentam bumbung atap zink rumahnya itu membingitkan telinga menyedarkannya dari lena.

Selain itu, cuaca sangat sejuk, dia malahan sudah menarik gebar menutupi seluruh tubuhnya tetapi masih sahaja dia dicengkam sejuk yang menggigit. Sudahnya, dia putuskan untuk bangun apabila menyedari yang waktu subuh sudah tiba. Dia bingkas daripada katil, menapak perlahan sambil terhuyung hayang ke bilik air. Air dingin buat matanya segar bugar. Dia kemudian kembali ke kamarnya dan menunaikan solat subuh.

Solat subuh terasa berbeza di rumah ibunya berbanding dengan di rumah sewa di bandar. Ia terasa lebih dekat dengan diri. Dengan latar bunyi daripada alam ditambah pula titisan hujan, buatkan Nazri merasakan kebesaran Tuhan. Lama dia berteleku di atas sejadah selepas membaca doa. Termenung tanpa ada apa apa yang bermain di fikirannya.

Hampir sahaja kakinya kebas kerana begitu lama duduk dalam satu posisi sahaja, dia teringat yang dia perlu pulang hari ini. Harapnya hujan akan segera berhenti dan perjalanannya untuk pulang dimudahkan.

Ketika bunyi titisan hujan sudah beransur perlahan, Nazri menapak ke dapur. Dari biliknya dia sudah boleh mendengar bunyi ketukan daripada kuali dan sudip. Ibunya sedang memasak.

Direnung sosok tua itu dari belakang sebelum mendekat.

"Masak apa tu mak?" tanyanya tanpa salam. Mujur sahaja ibunya bukan jenis yang mudah terkejut. Atau dia lebih fokus kepada masakannya.

"Eh awal kau bangun. Ingatkan melingkar atas katil lagi macam biasa." Soalan Nazri tidak dijawab ibunya. Dia melangkah semakin dekat dan melihat sendiri dengan matanya apa yang sedang dimasak. Cucur. Nazri telan air liur. Sudah lama juga dia tidak makan cucur buatan ibunya untuk sarapan. Biasanya jika di bandar pada hari hari cuti, dia akan tidur semula selepas subuh dan hanya bangun apabila matahari telah tegak di atas kepala.

Selepas sahaja ibunya siap menggoreng cucur terakhir, Nazri mengambil pinggan yang dipenuhi cucur itu dan meletakkannya di atas meja. Dia kemudian bergerak ke rak pinggan untuk mengambil piring dan botol sos. Cucur dan sos cili jenama maggi. Memang kombo terbaik untuk memulakan pagi. Bukan milo.

"Bila kau nak gerak ke KL?" tanya Mak Cik Hanum sambil melihat anak bujangnya itu menyumbat satu demi satu cucur ke dalam mulut. "Pelan pelan makan tu kenapa," katanya lagi.

Nazri menelan cucur yang berada dalam mulutnya lalu menjawab.

"Mungkin tengah hari ni. Kalau hujan berhenti, Nazri gerak lah. Takut kalau tunggu lama lama, hujan balik," dia sambung menyuap cucur ke dalam mulut.

"Ha eloklah itu. Cuaca sekarang pun tak menentu. Elok elok balik nanti. Jangan bawak laju laju. Bukan mak tak tau macam mana kau bawak motor. Kadang tu lupa dunia. Bawak pelan. Tak lari rumah sewa kau tu," panjang lebar nasihat kepada anaknya nan seorang itu. Bukan dia tidak kenal dengan perangainya. Kalau sudah memegang handle motorsikal itu, tiada apa lagi yang diingatnya. Dunia ini dia lihat seperti litar lumba.

Nazri tidak memberi sebarang respon kecuali mengangguk dan tersenyum dengan pipinya yang menggelembung. Mak Cik Hanum geleng kepala saja. Namun, di dalam hati, dia gembira melihat anaknya itu berselera makan. Mungkin hatinya sudah semakin baik. Fikir Mak Cik Hanum lagi. Diambil sebiji cucur sebelum dicapai piring berisi sos cili itu buat dicecah dan dimakan. Rasa pedas, masam dan berlemak memenuhi ruang mulutnya. Dia sudah biasa makan sarapan pagi seperti itu, tetapi kali ini, setelah apa yang diluahkan oleh Nazri semalam dan melihatkan keadaannya yang semakin pulih, selera Mak Cik Hanum turut bertambah.

Selepas makan, Nazri kembali ke ruang tamu. Dia baru teringat sepanjang hari semalam dia tidak membuka talifon. Selepas dia buka tetefon, berderu notifikasi masuk. Beberapa daripada laman media sosial yang tidak bermakna. Beberapa daripada email yang kebanyakannya tidak dia tahu datang daripada mana. Beberapa dari aplikasi shoppee. Beberapa daripada groupchatnya dan satu daripada Kamal.

Dia menekan mesej Kamal melalui aplikasi whatsapp. Kamal bertanya keberadaannya dan bagaimana perjalanan pulang itu. Walaupun dilihat begitu, Kamal prihatin juga dengan teman serumahnya ini. Nazri balas dengan ucapan minta maaf kerana tidak membuka telefon seharian, dan beritahu yang dia akan pulang hari ini. Mungkin tengah hari.

Kamal balas dengan emoji jempol.

Nazri kemudian termenung sebentar tanpa sebarang perkara bermain di mindanya sebelum dia tersedar dariapada lamunan lalu menapak ke bilik. Beberapa saat kemudian dia keluar dengan kain tuala yang terikat di pinggang ke bilik air.

Tengah hari itu dia pulang selepas bersalam, berpelukan dan Mak Cik Hanum mencium pipinya. Bersamanya juga adalah bekal makan tengah hari dan malam. Nazri pulang dengan senyuman dan azam baharu.

Tetapi sebelum perjalanannya semakin jauh daripada rumah, sempat juga dia membeli sekotak rokok John dan dihisap sebatang sebelum menyambung perjalanan. Hatinya tambah senang.

Kelab Duka LaraKde žijí příběhy. Začni objevovat