9

4 0 0
                                    

Realitinya, untuk menjadi seorang lelaki yang kuat bukanlah perkara yang senang. Apatah lagi untuk bangun daripada mimpi ngeri dan terus menjadi kuat. Itu yang Nazri fikirkan keesokan harinya. Dia sampai pada malam hari, atau lebih tepat ketika senja dan langit sudah bertukar ungu. Rumah sewanya gelap tanpa cahaya. Kereta Kamal tiada di perkarangan rumah. Dia buka pintu dengan kunci yang dibawa lalu disapa sepi. Tiada manusia di dalam rumah.

Selepas membersihkan diri, Nazri ke dapur untuk masak maggi bersama sebiji telur. Kenyang makan, dia pun tidur. Masih tidak lihat kelibat Kamal mahupun pacuan empat rodanya.

Pagi keesokan hari baru dia lihat batang hidung Kamal. Itu pun yang sedang terbongkang di atas katil dengan dengkuran yang melepasi dinding bilik tidur setebal 3 inci. Nazri masuk ke kamar kawannya dan tepuk sikit badan Kamal.

"Kau ada kelas tak pagi ini?"

Kamal terpisat pisat biji mata sambil menggeliat. Selepas dipastikan yang Nazri yang mengejutkannya, dia balas yang tiada kelas lalu sambung tidur. Nazri pula, mendengarkan jawapan itu tiada lagi mempunyai sebab untuk terus kekal di situ. Dia menapak ke dapur untuk menjerang air dan bikin kopi sambil di bibirnya terkepit sebatang rokok yang belum menyala.

Dia memikirkan tentang apa yang perlu dia lakukan sebagai langkah pertama untuk menjadi kuat. Dalam fikirannya, dia takut untuk mengambil langkah yang besar. Takut kalau badannya tiada tertahan dan putus asa lalu kembali ke rutin yang lama.

Setelah puas dia fikir sambil melihat ke halaman rumah melalui kaca tingkap yang berdebu, dia putuskan langkah pertama yang akan dia ambil untuk menjadi lebih kuat adalah dengan berlari.

Lama sudah dia tinggalkan aktiviti fizikal. Jika dia terus mendadak ke gym untuk latihan otot, bukan sahaja dia perlu mengeluarkan duit, dia juga tidak tahu menahu berkenaan senaman apa yang patut dia lakukan sebagai pemula.

Selepas menghabiskan cangkir kopi dan rokoknya, Nazri ke kamar mencari kasut sukan yang entah mana diletakkannya. Seingatnya dia ada menyimpan kasut sukan di dalam biliknya ketika dia melakukan aktiviti kemas mengemas. Dan dia betul.

Dia salin pakaian dan menyambung telefon bimbitnya dengan alat pendengar tanpa wayar, lalu terus menapak keluar daripada rumah.

Langkahnya perlahan dan kecil. Dia cuba berlari anak. Sedikit demi sedikit, tetapi belum habis kilometer pertama, dia sudah mengah dan tercungap di tepi jalan. Nazri belum putus asa, dia teruskan lariannya untuk beberapa meter sehingga cukup satu kilometer setengah. Kini sesarannya adalah 1.5km. Dia pun memutuskan untuk menapak pulang. Tiada lagi daya untuk terus berlari.

Lagipun, memang dia pilih untuk lari sejauh itu dalam satu jarak yang lurus. Sekurang kurangnya, jika dia kepenatan dan putus asa, dia masih perlu melalui jarak yang sama untuk pulang. Walaupun ketika perjalanan pulang dia sudah kehabisan tenaga. Tekaknya haus, badannya tidak bermaya dan dibasahi keringat. Tetapi dia tiada pilihan. Mahu tidak mahu, dia perlu berjalan pulang. Langkahnya lembik. Kakinya terasa berat tetapi kudrat digagahkan.

Setibanya dia di rumah, Kamal sedang bertuala sambil bersandar ke tulang pintu dengan rokok yang sudah siap tercucuh di mulut. Mulut yang sama mengukir senyuman demi melihatkannya yang kelelahan.

***

"Kau buang tebiat apa ni?" tanya Kamal sebaik sahaja Nazri melepasi bendul pintu.

Selepas beberapa langkah Nazri berpaling menghadap Kamal yang telah berpusing membelakangi pintu. Nafas dilepaskan Nazri kepenatan lalu dia kembali mencari nafas-nafas yang hilang sepanjang dia berlari.

"Aku nak cuba jadi sihat," balas Nazri penuh serius.

Mendengarkan jawapan daripada Nazri, Kamal tertawa terbahak sambil menepuk pehanya. Ketawa yang panjang dan terlihat seperti tidak berpenghujung. Selepas tawanya reda sedikit, muka Kamal diangkat lalu mata mereka bertemu. Kamal menyambung ketawa dengan lebih kuat sambil memegang perut yang kesenakan.

Kelab Duka LaraWhere stories live. Discover now