3

4 0 0
                                    

Balqis beritahu yang dia mahu lari daripada hiruk pikuk kota. Pandangannya tidak bertaut dengan Nazri yang sedang mencicip sedikit kopinya. Mereka berada di kedai kopi yang sama tempat Nazri mengaku cintanya. Dan seperti biasa, Nazri hanya menjadi pendengar setia tanpa memberi respon awal. Dia sudah terbiasa dengan tabiat Balqis. Biasanya, dia akan memberi satu ayat topik, berhenti sejeda sebelum menyambung kepada isi mengapa dia menyebut ayat pertama.

Selepas itu, Balqis menyambung yang dia sudah penat dengan hiruk pikuk kota, dengan jalan yang macet dengan kereta, dengan udara panas berbahang dan berhawa asap. Dia mahu lari daripada kota buat sementara.

"I tau tempat best untuk lari daripada kota."

Balqis pandangnya dengan minat. Matanya yang bundar itu bercahaya apabila mendengar yang teman lelakinya itu punya cadangan yang baik untuk lari daripada kota.

"Besut."

"Hah? Jauh betul." Balqis seperti kecewa mendengar balasan Nazri. Dia mendepakan tangannya ke hadapan dan menundukkan mukanya mencium meja.

"Ok ape. Besut. Jauh daripada kota, ada Laut China Selatan yang biru. Angin pun dingin. Best kalau pergi sana."

"You pernah pergi?"

"Pernah. Kamal pun pernah pergi. Kita orang pergi sekali."

"Naik apa?"

"Naik kereta. Kita orang buat ala ala road trip masa tu."

Balqis kembali mengangkat kepalanya.

"Jom jom! Bila kita nak pergi?"

"Besok?"

"You ni biar betul, apa pun tak rancang terus nak pergi besok."

Nazri hanya ketawa dengan gurauannya. Mereka berbincang dengan serious selepas itu tentang perjalanan ke Besut. Di mana mahu menginap, dengan siapa mereka mahu pergi, dengan apa mereka mahu ke sana, berapa lama mereka akan menginap dan lain lain lagi.

Selepas puas berbincang, mereka akhirnya capai kata putus untuk mengajak Kamal dan Syazani untuk turut serta. Lagipun, sejak daripada malam ambang tahun baru, mereka tidak pernah keluar berempat lagi. Jadi dengan keputusan daripada perbincangan yang mereka sudahi tadi, mereka bersetuju untuk menunggu respon daripada Kamal dan Syazani.

Dan ternyata mereka juga teruja untuk turut serta. Kamal pada mulanya selepas Nazri beritahu yang mereka mahu ke Besut bersamanya dan Syazani, sedikit malas dan hanya beri respon mahu tidak mahu. Namun setelah didesak berkali kali oleh teman wanitanya yang sangat teruja, Kamal akhirnya akur.

Jadi, pada hujung minggu hadapan, mereka akan bergerak dengan menaiki kereta Kamal ke Besut.

***

Dia tidak pernah mempunyai masalah daripada segi kewangan. Datang daripada keluarga yang berada kadang membuatkan Kamal berfikir yang mungkin dia kurang cakna dengan ekonomi peribadinya dan kadang dia berfikir yang dia tidak pernah punya sebarang perancangan dari segi ekonomi. Kedua dua ibu bapanya yang berkerja dan berkerjaya sering sahaja memberi uang saku yang cukup, malahan berlebih daripada secukupnya. Malahan kereta yang Kamal punya juga adalah hadiah hari jadinya yang ke 21 daripada bapanya.

Namun kesenangan itu perlu dibayar dengan harga yang sepatutnya. Kamal kadang merasakan yang dia kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya yang terlalu sibuk berkerja. Tapi selepas berkenalan dengan Nazri, dia sedar yang masih terlalu ramai manusia di luar sana yang sangat tidak bernasib baik. Jangankan uang saku, kadang perhatian daripada ibu bapa pun kurang diterima.

Sejak berkenalan dengan kawan kawannya, Nazri, Syazani dan Balqis, dia menganggap mereka seperti keluarga keduanya. Yang akan selalu ada untuknya pada saat saat susah. Walaupun kadang perangai Nazri seperti orang tidak siuman, namun dia bersyukur dan menganggapnya sebagai kepelbagaian dalam berhubungan.

Kelab Duka LaraWhere stories live. Discover now