BAB 13

35 9 8
                                    

KERETA dipandu dengan kelajuan sederhana. Sambil-sambil memandu, dia berbual dengan ayahnya sekali.

"Khalif langsung tak balik ke ayah sejak malam tadi? Dia pergi mana sebenarnya? Khalil tak fahamlah ayah." Dia menyoal Faizal dengan hati yang tidak senang.

"Tak, Khalil. Entah lah, ayah pun tak tahu apa nak jadi dengan adik itu. Bila ayah tanya, dia buat tak tahu saja. Kadang-kadang, dia marah-marah ayah dengan ibu." Faizal meluahkan isi hatinya kepada Khalil. Sudah lama dia terasa hati dengan anak bongsunya, cuma dia tetap bertahan.

Jika diikutkan, boleh saja dia memarahi Khalif, tetapi mulut masih tidak mampu untuk mengungkapkan amarah yang terbuku di dada itu.

"Betul ke dia bagi duit dekat ayah? Khalil macam tak percaya saja." Senyuman sinis diukir secara tidak sedar pada bibirnya.

Faizal menunduk ke bawah. Dia mengambil nafas panjang dan menghembuskan ia perlahan-lahan.

"Tak. Ayah bukan sengaja nak tipu kamu, Lil... Ayah cuma tak nak kamu bergaduh dengan Khalif sebab hal kecil macam itu. Ayah pun tak kisah fasal duit," ujar Faizal.

"Tak boleh macam itu, ayah. Dia itu dah melampau. Dia tipu Khalil hidup-hidup! Siaplah dia!" hambur Khalil. Dia benar-benar dilamun amarah yang menggunung tinggi.

"Jangan marah, Khalil. Sabar..." Faizal menyuruh anak sulungnya itu bertenang. Mana tidaknya, lihat saja wajah Khalil yang sudah memerah, dia sudah dilanda kerisauan.

"Sabar apa lagi, ayah? Banyak kali dia buat ayah dengan ibu macam itu kut. Ibu kata, dua kali ayah tak pergi hospital sebab tak cukup duit kan? Khalil dah lama sabar tau ayah..." Khalil masih memfokuskan mata semasa memandu.

"Tak apa, Khalil... Nanti ayah nasihatkan dia. Ini, kita dah nak sampai hospital. Kamu jangan terlepas pula," ujar Faizal. Khalil menghela nafas perlahan. Dia memusingkan stereng ke kanan untuk memasukkan kereta ke dalam perkarangan hospital.

"Ramai betul orang. Susah nak dapat tempat parking ini." Faizal memerhatikan setiap satu kereta yang ada di hospital tersebut.

"Itulah, ayah. Haa, itu ada satu lot parking. Jom!" Khalil memarkir kereta pada lot parkir tersebut. Enjin kereta dimatikan lalu dia turun dari perut kereta.

Faizal juga melakukan hal yang sama.

"Jom, ayah. Kita masuk dalam." Bahu ayahnya dirangkul dan mereka berjalan bersama ke dalam hospital untuk mengambil nombor di kaunter.

— — —

SYAH duduk di dalam kereta. Lama. Meskipun kereta sudah diparkir di anjung rumah, dia masih belum keluar dari kereta. Rasa malas menguasai diri saat itu.

Bukan itu sahaja, fikirannya masih melayang memikirkan tentang hal keluarga yang tidak selesai lagi.

Kata-kata ahli saudaranya terus terngiang-ngiang di benak minda. Segalanya sudah berada di jalan buntu.

"Hey, Syah! Kau terdesak sangat ke nak rumah arwah ayah kau itu, huh? Lebih baik kau balik lah. Tak payah menyemak dekat sini. Rumah ini, bakal jadi milik aku!"

Syah menggeleng perlahan. Dia tidak kisah jika mereka hendak mengambil harta yang lain. Tetapi, bukan rumah arwah ayahnya itu. Dia hanya mahukan rumah tersebut kerana di situlah tempat dia mencipta pelbagai kenangan bersama kedua insan tercintanya.

Syah memejamkan mata sambil melepaskan nafas berat. Tiba-tiba, kedengaran bunyi ketukan pada tingkap kereta.

"Abang! Bangunlah! Jangan tidur dalam kereta!" Syahidah di luar sudah terpekik memanggil si abang itu.

Syah mengalihkan pandangan melihat wajah adiknya. Dia menghadiahkan sebuah senyuman ke arah itu. Pintu kereta dibuka perlahan-lahan.

"Abang, kenapa tidur dalam itu? Bahaya tahu tak? Kalau sesak nafas ke apa, macam mana? Tak kesian ke dekat Idah?" ujar bibir merah itu. Syah tergelak halus.

"Maaf ya... Abang tak tidur pun. Abang cuma pejamkan mata sekejap. Hilangkan stres dulu sebelum masuk rumah," nyata Syah, lemah-lembut.

"Yalah, yalah. Jom, masuk dalam." Syahidah mengajak abangnya untuk masuk.

Diri itu pelik dengan abangnya yang suka sangat termenung jauh sejak kebelakangan ini.

"Abang fikir apa lagi? Tak penat ke otak itu asyik berfikir saja? Cubalah bagi dia rehat sekejap," syarah Syahidah kepada abangnya.

"Fikir macam-macam. Semuanya penting, Idah. Siapa lagi yang nak fikir semua itu kalau bukan abang?" Kepala diangkat sedikit.

"Faham, cuma janganlah bebankan otak itu sangat. Idah tahu, abang masih fikir fasal rumah arwah ayah ibu, kan? Idah pun kadang-kadang rasa geram juga dengan dia orang itu. Bukannya dia orang punya harta, itu pun nak menyibuk. Tak kisahlah, dia dah bersihkan, dah cantikkan rumah itu, tapi itu tetap hak kita sebagai waris utama. Idah tak fahamlah!" Syahidah menyatakan rasa tidak puas hati.

"Tengoklah macam mana. Kalau tak jalan juga, biarkan sajalah. Dia nak sangat ambil harta anak yatim. Pandai-pandailah tanggung sendiri dekat akhirat sana," kata Syah. Syahidah mengangguk sahaja mengiyakan kata-kata si abang.

— — —

PINTU rumah dihempas kuat oleh Khalif. Mata merahnya memandang segenap ruang tamu rumah. Sakinah yang baru keluar dari dapur menegur si anak dengan lembut.

"Khalif, kamu pergi mana malam tadi? Dah dekat petang, baru kamu nak ingat rumah... Ibu dengan ayah risau tahu tak?" soal Sakinah.

"Diamlah, ibu. Khalif baru saja nak rehat-rehat, ibu pula bising dekat sini. Memekak lah!" hambur Khalif. Sakinah terdiam seketika.

"Kamu tahu tak, abang kamu yang daripada KL itu pun boleh balik untuk teman ayah pergi hospital. Kamu? Sepanjang ayah sakit, tak pernah pun terfikir nak membantu. Anak jenis apa kamu ini?" Sakinah melepaskan rasa geramnya.

"Suka hati akulah! Kau menyibuk apa hal? Aku penat, baru balik. Tepilah," maki Khalif. Dia menolak ibunya ke tepi. Terhenjut bahu ibunya apabila disergah begitu.

"Khalif... Kenapa dengan kamu ini?" Sakinah menggeleng kecil. Khalif tidak mahu lagi bertekak dengan ibunya terus meluru masuk ke dalam bilik. Pintu bilik juga dia hempas kuat. Marah sungguh nampaknya.

"Apa nak jadilah dengan kamu ini, Lif..." Wajah diraup perlahan.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now