BAB 16

35 6 22
                                    

SALAM diucapkan dengan lantang. Wajah Syah bukan dalam ekspresi gembira saat itu. Syahidah berdiri di belakang abangnya sambil mata melilau-lilau memandang sekeliling.

Pemandangan indah di sekitar kawasan kampung itu diamati oleh Syahidah dengan hati yang teruja. Dia teruja dengan persekitaran kampung yang bersih dan ceria itu. Tak sangka pula rumah peninggalan arwah ayah dan ibunya berada di tempat secantik ini.

"Tak ada orang ke, abang?" soal Syahidah.

"Ada. Dia orang malas nak buka pintu sebab abang yang datang. Dah tahu penumpang, tapi sibuk buat macam rumah sendiri. Tak sedar diri." Syah masih tidak berputus asa memberi salam.

"Biar Idah yang bagi salam. Mana tahu dia buka," ujar Syahidah, tenang. Dia tidak mahu melihat abangnya dalam keadaan marah seperti itu.

Dia pula melaungkan salam. Tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan.

"Waalaikumussalam..." jawab seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an. Dia membuka pintu rumah untuk mempersilakan mereka masuk.

Syahidah menyalami tangan wanita itu - sopan. Senyuman juga dihadiahkan kepadanya.

"Kamu ini Syahidah, kan?" soal wanita tersebut. Syahidah mengangguk kecil.

"Pak long ada?" soal Syah berbasa-basi.

"Ada. Mak long panggil ya..." Wanita itu menjawab dengan lemah-lembut. Syah menggumam perlahan dan membiarkan mak longnya memanggil lelaki yang digelar pak long itu.

"Abang, kenapa kurang ajar sangat ini?" tegas Syahidah.

"Buat apa nak berbaik sangat. Nanti dia pijak kepala kita juga." Syah melabuhkan punggung di atas sofa dua berangkai sambil diikuti oleh Syahidah.

"Kau lagi? Apa hal kau datang dekat sini? Tak serik-serik lagi lepas kena halau dengan aku hari itu?" ujar Fadil. Dia memandang Syah dengan pandangan yang penuh dengan kebencian.

"Kena halau?" Syahidah berbisik ke telinga abangnya. Syah tersenyum senget.

"Ini rumah aku, bukan rumah kau Syah. Tak payah nak menyibuk dekat sini lagi!" kata Fadil.

"Sejak bila jadi rumah pak long? Arwah ayah letak rumah ini atas nama Syah, bukan pak long. Tak puas lagi ke makan harta lain yang sepatutnya arwah ayah dan ibu bagi dekat kami? Takkanlah rumah ini pun pak long nak ambil..." Syah membalas dengan nada sinis.

Fadil terdiam. Otaknya ligat memikirkan apa yang harus dijawab kepada anak muda di hadapannya itu.

"Aku yang keluarkan duit untuk ubahsuai rumah ini. Kalau aku tak buat semua itu, rasanya rumah ini dah penuh dengan lalang, cat lusuh. Silap-silap binatang buas pun dah jadikan rumah dia orang," jawab Fadil.

Syahidah menatap wajah kedua mereka bersilih-ganti. Roman muka Syah kelihatan tenang meskipun dia tahu bahawa hati si abang itu masih tidak berpuas hati dengan tindakan Fadil.

"Berapa yang pak long keluarkan itu? Syah bayar." Dengan penuh selamba, Syah menyambung. Terkedu Fadil dibuatnya.

"Banyak betul duit budak ini. Tak boleh jadi, tak boleh jadi..." monolog Fadil di dalam hati.

"Mana boleh macam itu! Aku-"

"Tak nak bagi tak apa... Kita boleh jumpa dekat mahkamah. Nanti jangan lupa upah peguam yang hebat ya?" Syah menggigit dalam pipinya.

"Kau jangan cuba-cuba nak failkan benda ini ke mahkamah!" Fadil berkerut dahi.

"Abang jangan marah-marah macam ini. Nanti abang kena darah tinggi," pesan Hasnah, perlahan.

"Saya masih tak puas hati dengan budak ini!" kata Fadil. Syah menjungkitkan kening sebelah kanannya.

"Budak? Syah bukan budak kecil yang pak long boleh campak dekat rumah anak yatim sesuka hati macam dulu. Syah dah besar. Apa saja perkara yang terlintas dalam fikiran dan mulut, Syah akan laksanakan walau susah macam mana sekalipun. Pak long dengan yang lain tak perlu nak layan Syah dengan adik Syah macam budak kecil yang tak tahu apa-apa." Syah menegaskan pernyataannya.

"Kau buat lah apa-apa pun, aku takkan serahkan rumah ini pada kau! Ingat itu!" Fadil membawa diri ke dalam bilik. Ketika itu, hati Hasnah terasa bungkam.

"Syah, Syahidah... Mak long minta maaf bagi pihak pak long kamu itu. Dia tak berapa sihat sejak kebelakangan ini. Maaf ya," ujar Hasnah, serba-salah.

"Tak apalah mak long... Orang dah puas makan harta anak yatim, memang tak pernah rasa bersalah. Syah tak kisah pun, tapi Syah akan bawa kes ini ke mahkamah. Muktamad." Syah menatap wajah Hasnah dengan serius.

"Kami balik dulu. Assalamualaikum," ucap Syah lalu melangkah keluar dari rumah tersebut. Hatinya benar-benar dilanda rasa geram yang amat.

Syahidah pula dengan sopan mendekati Hasnah.

"Mak long, Idah minta maaf sebab abang nampak kasar dengan mak long. Abang cuma tak puas hati bila pak long cakap macam itu tadi. Yalah, rumah ini kan, hak dia sebagai waris pertama arwah ayah... Sebab itu dia marah. Kalau boleh, mak long pujuklah hati pak long supaya serah rumah ini dekat abang balik." Syahidah menutur lembut.

"Insya-Allah. Mak long cuba ya?" Hasnah mengukir senyuman kecil. Syahidah menyengguk mengiyakan kata-kata mak longnya.

"Terima kasih, mak long. Idah balik dulu, ya? Assalamualaikum," ujar Syahidah sambil menyalami tangan Hasnah. Hasnah menjawab salam  tersebut lalu membiarkan anak saudaranya berlalu pergi.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now