BAB 17

29 7 20
                                    

RAMBUTNYA yang tersisir kemas tadi diserabutkan. Syah menghenyakkan punggung di atas sofa dua berangkai di rumahnya. Otak tak habis-habis memutarkan sedutan ayat-ayat Fadil semasa di kampung tadi.

Syahidah yang melihat keadaan abangnya yang runsing itu datang mendekat.

"Istighfar, abang. Jangan terlalu ikutkan amarah itu. Abang dah janji kan yang abang tak nak marah-marah lepas berbincang dengan pak long?" Syahidah cuba menenangkan fikiran si abang.

Syah menatap iris hazel adiknya dalam-dalam. Sebuah helaan nafas berat terhambur dari mulut. Pantas lafaz istighfar dituturkan secara berbisik.

"Idah, abang bukan marah... Abang terkilan bila dia buat kita macam ini. Abang kalau ikutkan hati, tak nak pun rumah itu. Tapi, disebabkan rumah itu, arwah ayah dan ibu tinggalkan untuk kita, abang kena buat sesuatu. Tapi kalau dengan keadaan pak long yang tamakkan harta sangat, abang rasa abang kena gunakan sedikit kemarahan untuk selesaikan masalah ini." Dengan penuh tenang Syah menutur kata.

Meskipun hatinya sedang dilamun kemarahan, namun dia tidak boleh melepaskan perasaan tersebut kepada Syahidah. Dia tidak mahu si adik kecil hati dengan perbuatannya.

"Kita cuba lagi ya, abang? Kalau pak long tetap berkeras, barulah kita bawa ke mahkamah. Cuma, abang janganlah marah dekat mak long sekali... Mak long baik tau!" ujar Syahidah.

Syah tertawa kecil sebelum menyambung, "Okey, okey. Abang cuma tak sengaja masa itu."

Syahidah menghadiahkan sebuah jelingan sebelah mata ke arah abangnya.

"Garangnya budak kecil ini!" Pipi adiknya menjadi mangsa cubitan. Syahidah berkerut dahi.

"Jangan main pipi Idah!" Serius sungguh nada suaranya. Syah semakin galak ketawa disebabkan tidak tahan dengan gelagat Syahidah.

"Lagi satu, kenapa abang panggil Idah budak kecil? Idah dah besarlah. Tadi masa pak long panggil abang dengan Idah macam itu, abang tak puas hati," kata Syahidah.

"Sebab abang saja yang boleh panggil Idah macam itu. Orang lain, tak boleh!" Syah menggelengkan kepala laju.

"Suka hati abang lah..." balas Syahidah lalu masuk ke dalam bilik meninggalkan Syah bersendirian di ruang tamu.

Sisa tawa dihabiskan sebelum dia bertukar serius semula. Dia memejamkan mata dengan rapat lalu bangkit dari tempat duduk.

"Jangan banyak fikir fasal benda ini sangat, Syah!" Syah bersenandika sendirian di dalam hati.

— — —

TANGISAN kecil menerpa halwa telinga Halim saat dia sedang bergerak ke bilik. Dia menjengah sedikit ke arah pintu bilik Hilman yang sedikit terbuka itu.

Wajah yang dipenuhi air mata itu sedang memandang telapak tangan sambil mengangkat tangan berdoa kepada Allah SWT. Bergetar hati Halim saat nampak akan hal tersebut.

Dia memasang telinga untuk mendengar segala yang dilontarkan Hilman sebagai doa itu.

"... Ya Allah, aku tahu bahawa aku tidak mampu untuk menjadi seorang anak yang baik untuk abah ku. Maka bantulah aku, ya Allah. Aku juga tahu bahawa aku tidak mampu menjadi abang yang baik buat adikku. Aku sering memarahinya walaupun kesalahan yang dilakukan itu hanyalah kecil jika dilihat semula. Aku kerap menuduhnya melakukan perkara buruk. Ya Rabb, aku jadi tidak keruan apabila melihat wajahnya yang persis ibu ku. Aku jadi marah kerana itu. Ya Allah, jadikan aku seorang anak yang soleh dan sentiasa berbuat kebaikan terhadap kedua ibu bapaku. Jadikan aku abang yang sentiasa melindungi adiknya. Ya Rabbal 'Alamin, lindungilah kami sekeluarga daripada sebarang bahaya dan bencana. Masukkan lah kami ke dalam syurga-Mu. Aku hanya hamba-Mu yang lemah, ya Rabb. Makbulkan lah doa ini, ya Allah. Aamiin ya Rabbal 'Alamin." Hilman meraup wajahnya yang basah dengan air mata.

Halim yang dengar doa tersebut juga turut sama mengalirkan bulir bening. Dia sebak.

Tidak mahu kehadirannya diketahui, Halim terus membawa diri ke dalam bilik. Mutiara yang membasahi pipi diseka laju.

Hilman melipat sejadah lalu diletakkan di dalam rak. Dia mengelap air mata sebelum meloloskan diri daripada bilik. Tiba sahaja di ruang tamu, susuk tubuh Helmi yang sedang menyiapkan kerja sekolah menyapa lensa penglihatan.

Dia menegur Helmi bersama senyuman nipis. Helmi juga membalas senyumannya.

"Kerja sekolah apa yang adik buat itu?" soal Hilman, lembut.

"Sains. Kenapa? Abang nak tolong ke?" Helmi tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Boleh saja, Encik Helmi. Apa yang boleh saya bantu?" Helmi tertawa kecil mendengarnya.

"Tolong terangkan dekat adik fasal kandungan oksigen dan karbon dioksida semasa pernafasan, boleh? Abang kan pandai..." Sengaja dia memuji supaya si abang lebih bersemangat untuk membantu.

"Mengada ya..." Satu cubitan hinggap di hidung Helmi sebagai balasan.

"Boleh. Kejap abang refresh balik otak ini," kata Hilman sambil ketawa kecil.

Terus wajah Helmi bertukar teruja.

"Yeay! Abang jadi cikgu!" laungnya kuat.

"Shh, diam. Abah tengah rehat dekat dalam bilik itu," pesan Hilman. Helmi terus diam tak mambalas. Namun senyuman lebar masih terlukis di bibir.

MENANTI KAMU 2 [C]Donde viven las historias. Descúbrelo ahora