BAB 36

38 9 14
                                    

AIR masak yang tinggal suku di dalam cawan diteguk sehingga habis. Helmi duduk bersendirian ketika menikmati makanan tengah hari memandangkan abahnya sedang berehat di dalam bilik, manakala Hilman masih belum pulang dari perpustakaan.

Baru saja dia hendak bangun, bunyi ucapan salam dari luar mematikan perbuatannya. Salam tersebut dia jawab perlahan.

Wajah Hilman muncul setelah pintu dibuka. Dia berjalan ke biliknya untuk membersihkan diri dan berehat.

"Abang nak makan? Adik masak ayam kicap." Senyuman manis dia tayangkan. Hilman cuma menggumam perlahan. Itupun acuh tak acuh saja.

"Abah mana? Tak makan sekali?" soal Hilman.

"Abah dekat dalam bilik. Tak berapa sihat katanya," ujar Helmi.

"Semua adik punya fasal," tegur Hilman, dingin. Helmi menunduk ke bawah. Rasa bersalah mencucuk dada.

Hilman meninggalkan adiknya yang kaku berdiri di hadapan meja makan.

"Tahu pula nak rasa bersalah." Hatinya berbisik sinis.

Tidak mahu melayan perasaan terlalu lama, Helmi segerakan pergerakan ke arah singki dapur dan mencuci pinggan yang digunakan tadi agar bersih.

Setelah meletakkan ia di rak pinggan, dia mengelap tangan sehingga kering. Langkah kaki dibawa menuju ke bilik Halim untuk memeriksa keadaan abahnya. Dalam hati, dia memohon agar Allah mengurniakan kesembuhan kepada abahnya.

Kemudian, dia masuk ke biliknya sendiri untuk mengulang kaji pelajaran meskipun perjalanan menuju ke peperiksaan akhir tahun masih panjang.

— — —

KERETA diparkir tepat di halaman rumah Fadil. Atau lebih tepat lagi rumah arwah ayah dan ibu mereka berdua.

Ketika ingin membuka pintu kereta, mata Syah tertancap pada sebuah kereta jenis Perodua Axia yang juga terparkir elok di bawah pohon mangga rumah tersebut.

Jika dilihat pada nombor plat kereta itu, ia sama seperti kereta yang melanggarnya tempoh hari. Syah tersenyum kecil. Dia akan tahu siapa yang sengaja melanggarnya.

"Idah, jom." Syahidah juga keluar dari kereta dan terus meluru ke hadapan rumah itu untuk memberi salam. Syah mengikuti langkahnya dari belakang.

Kelihatan Hasnah yang membuka pintu dan menjawab salam. Senyuman manis terukir di bibir wanita berusia setengah abad itu.

Syahidah dan Syah dijemput masuk ke dalam dengan sopan. Syah melirik ke arah Fadil yang sedang berbual dengan pak ngahnya, Azman.

Azman memapar senyuman yang penuh makna ke arah Syah. Dari situ, Syah sudah dapat mengagak bahawa Azman lah yang melanggarnya beberapa hari yang lepas.

"Kau lagi? Hasnah, kenapa awak buka pintu untuk dia orang berdua ini? Saya benci betul lah!" tempelak Fadil.

"Benci? Tapi sudi jadi penumpang dalam rumah ini. Menarik," jelas Syah, sarkastik.

"Syah, balik sajalah... Kami tak akan serah rumah ini pada kau. Tak usah mimpi kau akan dapat hak kau itu sangat." Azman menyampuk.

"Kami berdua datang, bukan nak buat kecoh dan bukan nak bergaduh soal hak. Kami cuma nak beritahu pak long, yang lepas ini pak long boleh duduk terus dekat rumah ini sampai bila-bila. Syah takkan ganggu pak long sekeluarga dah." Syah mengukir senyuman manis. Manakala Syahidah yang berada di sebelahnya terkejut.

"Nanti untuk urusan tukar nama, kita uruskan minggu depan sebab Syah dapat cuti. Ini Syah datang sini pun untuk lawat kubur ibu ayah saja. Tak ada niat nak jumpa pak long... Tapi disebabkan Syah nak beritahu hal ini, terpaksa jugalah..." sambungnya lagi.

"Baguslah kalau kau mengalah macam ini. Senang kerja aku. Tak payah susah-susah nak marah kau dah. Terima kasih lah, Syah." Fadil tersenyum lebar.

Azman di sebelah seolah-olah tidak percaya dengan keputusan Syah itu. Dia menganggap bahawa lelaki itu mempunyai sesuatu yang sedang disembunyikan.

Hasnah pula tidak ikut campur dalam hal tersebut. Namun, hatinya tetap rasa serba-salah dengan Syah dan Syahidah atas perbuatan suaminya.

"Ya. Syah pun tak nak pening kepala asyik nak fikir soal harta pusaka. Bagi Syah, cukuplah apa yang Allah dah bagi untuk Syah dengan Idah sekarang. Dan kalau arwah ayah dengan ibu ada pun, mereka tak suka kami berebut fasal benda ini," jelas Syah.

"Betul, betul. Pandai kau ini," ujar Fadil, lagi.

"Hey, Syah. Apa muslihat kau ya?" soal Azman. Syah tergelak kecil.

"Syah tahu, banyak perkara yang ganggu fikiran pak ngah sekarang ini. Sebab itu pak ngah sanggup nak buat sesuatu dekat Syah hari itu. Tak apa, Syah tak kisah pun. Hal kecil saja," tutur Syah.

Azman menelan liur kelat. Tak sangka pula bahawa Syah itu tahu dia yang melanggarnya.

"Hm, rasanya Syah tak boleh lama dekat sini. Panas." Gelakan sinis terhambur dari mulut.

"Syah balik dulu ya? Jom, Idah." Syah menarik tangan Syahidah untuk keluar dari rumah itu. Ucapan salam sempat diujarkan.

"Abang?" tegur Syahidah yang masih hairan dengan keputusan abangnya setelah masing-masing memasuki kereta.

"Kenapa?" Selamba Syah menyoal si adik.

"Dulu bukan abang nak rumah itu ke?" Syahidah berkerut dahi. Meletus tawa Syah ketika itu.

"Tak payahlah, Idah. Abang penat. Bercakap dengan orang tamak ini buang masa. Biarlah dia orang ambil semuanya. Biar dia puas makan harta anak yatim dekat dunia ini. Dekat akhirat nanti, Allah saja yang berhak menghukum." Syah senyum.

Syahidah diam tidak menjawab.

"Idah sedih ke bila abang buat keputusan ini?" tanya Syah.

"Tak lah. Idah sokong keputusan abang. Yalah, buat apa nak berbalah dengan orang macam itu? Buang masa, buang tenaga... Biar Allah saja yang tentukan semuanya. Itu yang terbaik," kata Syahidah.

Syah mengangguk tanda setuju. Dia memfokuskan perhatian semasa memandu sambil tersenyum-senyum melihat beberapa kanak-kanak yang sedang bermain di padang.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now