BAB 37

38 8 18
                                    

BOTOL air yang berada pada tangannya terlepas setelah dirinya dilanggar oleh Zaidi. Alisha tunduk ke bawah untuk mengambil ia semula. Namun, tubuhnya terus ditolak kasar oleh Nabil.

"Aku nak duit kau, budak. Bawa sini dompet purple kau." Tangan kiri dihalakan ke arah Alisha dengan isyarat meminta.

"Mana boleh! Ini duit saya!" bentak Alisha. Dia bukan perempuan yang lemah sehingga perlu takut dengan arahan seperti itu.

"Kau bagi, sebelum aku rampas!" Zaidi menayangkan wajah serius. Nabil di sebelah sudah tersenyum jahat.

"Tak nak lah! Tepi!" Alisha cuba bangun dan ingin menolak tubuh Zaidi, tetapi malangnya dia pula yang terjatuh hingga menyebabkan tapak tangan kanannya terluka.

Zaidi dan Nabil tertawa besar saat melihat air mata yang mengalir perlahan-lahan dari birai mata Alisha.

"Jangan kacau adik saya lah!" Helmi yang datang entah dari mana terus mendapatkan Alisha.

"Superhero dah sampai untuk selamatkan tuan puteri." Zaidi menepuk tangan tanda seronok melihat situasi tersebut.

"Kau orang ini memang sengaja cari fasal..." Turun naik dada Helmi menahan marah. Dia memusingkan tubuh menghadap Zaidi dan Nabil.

"Aku dah cakap, jangan ganggu aku dengan adik aku lagi. Kau tak faham bahasa ke?" Ton suara Helmi berubah tegas. Tiada lagi panggilan menggunakan saya atau abang digunakan.

"Berani pula kau sekarang ini?" Nabil mencelah. Kepala Helmi ditunjal kasar.

Pantas sebuah tumbukan dihadiahkan ke pipi Nabil. Helmi sudah lama bersabar dengan perangai mereka berdua.

Alisha yang sedang menyaksikan perkara itu bangkit perlahan-lahan dan menyorok di belakang Helmi. Dia takut jika Zaidi mengapa-apakan dia lagi.

Zaidi yang melihat kawannya ditumbuk itu tidak berdiam diri. Dia menarik kolar baju Helmi dan bertindak ingin membalas pukulan tersebut.

Helmi memejamkan mata dengan rapat. Dia sedar bahawa dirinya tidak mampu melawan kudrat Zaidi yang lebih besar berbanding dirinya.

"Astaghfirullahal'azim, adik." Hilman meleraikan pergaduhan tersebut. Dia memandang tajam ke arah Zaidi dan Nabil.

"Kau orang ini apa hal nak tumbuk adik aku?" tegas Hilman.

"Dia orang inilah yang selalu tuduh adik buat jahat dekat sekolah." Helmi menghalakan jari telunjuk kiri ke arah Zaidi.

"Kurang ajar! Jangan sampai aku beritahu cikgu dengan mak ayah kau, budak. Lebih baik kau orang balik sebelum tangan aku pula yang naik dekat pipi kau." Hilman acah-acah ingin menampar mereka.

Lintang-pukang Zaidi dan Nabil berlari pergi dari situ.

Hilman merendahkan tubuhnya separas dengan Helmi. Dia mengusap lembut kepala si adik atas tujuan untuk memujuk hati itu.

"Adik... Abang minta maaf sebab selalu tuduh adik buat salah dekat sekolah. Abang minta maaf sebab tak percayakan kata-kata adik. Abang minta maaf sebab selalu marah adik, buat adik sedih. Sebab abang, abah tak sihat. Bukan adik. Tolong, maafkan abang..." Dia memeluk tubuh Helmi dengan erat.

Alisha yang berada di belakang cuma kekal berdiri sebagai pemerhati. Jauh di sudut hatinya, dia cemburu dengan Helmi yang sentiasa mendapat kasih sayang penuh dari Hilman.

Sedangkan dia? Mungkin di rumah dia mendapat layanan istimewa oleh mama dan papanya. Tetapi di sekolah? Dia dibenci dan dilayan acuh tidak acuh sahaja oleh Helmi.

"Tak apa. Adik tak marah abang pun. Adik tahu, abang marah adik sebab abang sayang. Abang tak nak adik buat benda tak elok dekat sekolah. Adik maafkan abang." Senyuman manis memekar di ulas bibir Helmi.

Hilman lega. Ketika itu, matanya secara tidak langsung tertancap pada Alisha yang sedang tunduk memandang lantai.

Hilman mendekati Alisha. Dia memegang tangan kanan adik bongsunya yang berdarah itu dengan berhati-hati. Alisha terkedu seketika.

Pantas tangan kirinya menyeluk poket seluar dan mengeluarkan sehelai sapu tangan berwarna biru.

Dia membersihkan darah yang keluar dari luka itu dengan lemah-lembut dan berharap agar Alisha tidak berasa sakit asbab perbuatannya itu.

"Nanti, balik rumah minta mama sapukan minyak gamat dan balut luka ini ya?" kata Hilman. Alisha mengangguk tanda faham.

"Alisha memang balik lambat ke?" tanya Hilman. Alisha menggeleng kecil.

"Selalunya mama ambil awal. Tapi hari ini mama ada urusan luar, papa yang ambil Alisha. Papa kata, dia memang lambat sikit. Pukul dua baru sampai agaknya," jawab Alisha, masih terkejut dengan tindakan spontan dari Hilman.

"Kalau macam itu, biar abang dengan Abang Helmi temankan Alisha dekat pondok ini sampai papa Alisha datang. Boleh?" Tudung Alisha yang terlipat sedikit itu dikemaskan.

Setelah itu, Hilman bangun dan memimpin tangan kedua adiknya lalu berjalan ke arah pondok bersama-sama.

"Lepas ini, abang tak payahlah panggil Alisha... Panggil Icha saja. Kan lagi pendek itu," tutur Alisha. Hilman tertawa kecil.

"Ya tak ya juga kan? Okey." Hidung yang tidak terlalu mancung itu dicuit sedikit.

Helmi di sebelah masih rasa bersalah dengan Alisha kerana memarahinya tempoh hari.

"Abang Helmi okey?" soal Alisha, prihatin.

"Okey." Helmi menayang senyum.

"Abang nak minta maaf sebab marah Icha hari itu." Helmi menatap mata bundar Alisha dalam-dalam.

"Icha maafkan sebab Icha sayang abang!" ujar Alisha, ceria.

Terbit rasa gembira dan bahagia dalam hati Hilman saat itu. Dia terfikir sekiranya mama dan abahnya bersatu semula seperti dahulu, pasti hubungan kekeluargaan mereka terjalin kukuh sehingga kini.

Namun begitu, tiada lagi yang boleh diubah. Dia perlu menerima hakikat bahawa mamanya sudah bahagia di samping Wafiq dan Alisha. Dan dia, bahagia bersama Halim dan Helmi - sampai ke akhir hayatnya.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now