BAB 21

42 7 28
                                    

PLASTIK berisi dua bungkus burger daging diletakkan di atas meja kopi rumah Khalil. Gembira hati sahabatnya selepas dibelanja. Terus Khalil rasa lebih bersemangat untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Khalil melabuhkan duduk di atas sofa lalu mengambil sebungkus burger. Dia membukanya lalu menikmati ia selepas membaca basmalah.

"Terima kasih, Man. Kaulah sahabat sejati aku..." ucap Khalil dengan mulut yang masih penuh. Pantas tangan kanan Hilman naik menepuk lengan Khalil sederhana kuat. Geram sungguh dia melihat perangai sahabatnya itu.

"Mulut penuh, jangan bercakaplah. Adab itu dekat mana?" Teguran itu membuatkan Khalil menyimpul sengihan kecil.

Dia menghabiskan kunyahan di mulut sebelum memulakan percakapan. "Kau tak makan sekali?" Hilman menggeleng kecil.

"Aku beli untuk kau kut... Takkan aku nak makan sekali. Tak baiklah," kata Hilman.

"Alaa, aku tak kisah pun. Kau kan sahabat aku!" Khalil tersenyum lebar.

"Tak apa.. Lagipun aku dah makan dekat rumah. Perut masih kenyang." Hilman tenang membalas.

"Yalah kalau macam itu. Asalkan kau bahagia." Dia sambung menikmati makanan tersebut sehingga habis tanpa berkata apa-apa lagi.

Dia tahu, jika dia terus berbual dengan Hilman, sampai ke sudah tugasannya tidak siap.

Mereka berdua duduk di hadapan meja belajar. Buku dan beberapa helaian kertas sudah tersedia di depan mata, tetapi Khalil bagai cacing kepanasan - tidak duduk diam dan asyik berpusing ke kanan dan ke kiri.

Hilman mengeluh perlahan. Mata dipejam rapat. Dia juga meraup wajah kerana tidak berpuas hati melihat Khalil.

"Kau ini dah kenapa, Lil? Demam?" soal Hilman.

"Man. Aku... Err, aku..." Khalil menggaru kepalanya.

"Aku apa? Cakap saja lah," ujar Hilman. Kening yang agak tebal itu bertaut.

"Sakit perut." Khalil menayang muka selamba. Sekali lagi keluhan terlepas dari bibir Hilman.

"Entah apalah yang rasuk kau sampai jadi macam ini? Apalah nasib aku..." Matanya yang redup menatap muka tidak bersalah Khalil.

"Pergilah tandas, wahai Muhammad Khalil Idham bin Faizal. Ke kau nak suruh aku temankan juga?" Pelipis kiri dipicit.

"Tak, tak. Aku pergi seorang saja. Segan lah aku kalau kau teman sekali." Kedua jari telunjuk dimain-mainkan Khalil.

"Dah. Pergi, pergi." Hilman membuat gaya menghalau ke arah Khalil. Malas mahu melayan kerenah sang sahabat itu. Kelak makin menjadi-jadi pula.

"Khalil, Khalil... Ada saja perangai pelik kau hari-hari." Hilman bermonolog sendiri.

— — —

TALI kasut yang terlerai itu diikat semula di tepi tangga agar tidak menghalang jalan pelajar lain untuk pulang.

Kemudian barulah dia menyambung langkah ke pagar utama sekolah untuk menunggu si abang di pondok bas. Sedang dia berjalan ke sana, Alisha menegurnya dari belakang. Senyuman manis terbentuk di bibir itu.

"Abang Helmi balik sekolah naik apa?" Soalan pertama diajukan sebagai pembuka bicara.

"Naik motor. Abang saya yang ambil. Tapi dia selalu lambat sebab ada kelas." Helmi menjelaskan kepada Alisha agar gadis itu lebih faham.

"Seronoknya naik motor! Alisha tak pernah naik motor..." Nada Alisha mulai kendur setelah menyudahkan ayat keduanya.

"Sama saja, Alisha. Asalkan selamat perjalanan pergi dan balik. Insya-Allah," ujar Helmi. Alisha mengangguk tanda setuju.

"Abang tahu tak, tadi cikgu bahasa Melayu minta Alisha masuk pertandingan bercerita. Dia kata sebab suara Alisha sesuai jadi pencerita. Betul ke?" Alisha menyoal. Helmi tergelak halus.

"Betul lah apa yang cikgu itu cakap. Sesuai kalau Alisha masuk pertandingan itu," balas Helmi.

"Tapi... Malu lah bercerita depan orang ramai. Kalau salah macam mana?" Alisha tidak yakin dengan kemampuan dirinya sendiri. Vermilion melengkung lalu senyuman kecil memekar di bibir Helmi.

"Alisha, jangan fikir negatif... Alisha kena yakin dan percaya dengan diri sendiri. Kalau asyik cakap tak boleh, sampai bila Alisha nak berjaya, kan?" Helmi sengaja berkata sedemikian agar dapat menimbulkan semangat dalam diri gadis itu.

"Insya-Allah, Alisha mesti akan menang. Saya akan selalu doakan Alisha," sambung Helmi, lagi.

"Baiknya, abang... Terima kasih sebab sokong Alisha!" Perasaan semangat dan keyakinan mula berputik di hati Alisha. Dia tahu, apa yang dikatakan Helmi itu semuanya benar belaka.

Dia harus percaya pada diri sendiri untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan tersebut.

"Eh, abang saya dah sampai. Saya balik dulu, assalamualaikum." Helmi melambaikan tangan ke arah Alisha. Salam tersebut dijawab perlahan lalu Alisha membalas lambaian tersebut bersama senyuman manis.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now