BAB 46

43 7 20
                                    

BANGKU yang berada di bawah pohon rendang di taman permainan itu menjadi tempat dia menyendiri sambil menunggu kedatangan dua insan yang dirinduinya.

"Assalamualaikum... Tunggu siapa itu?" Sapaan daripada pemilik suara yang amat dia kenali itu membuatkan bibir Aman ternaik membentuk senyuman lebar.

"Waalaikumussalam, kak, abang!" Tangan Syahidah terus disambar lalu dia salam. Setelah itu, dia memeluk tubuh Syah erat-erat sebagai tanda untuk melepaskan rindu.

"Aman sihat?" Syah bertanya khabar. Aman mengangguk sedikit.

"Sihat, abang. Alhamdulillah..." Balasan daripada Aman mengundang ucapan tahmid terlepas dari mulut kedua mereka.

"Mak, ayah dengan Amin?" Giliran Syahidah pula menyoal.

"Dia orang pun sihat juga," kata Aman.

"Abang dengan kakak ini kenapa lama tak balik sini? Ke baru ingat jalan nak ke Johor?" Aman menutur dengan nada rajuk. Syah dan Syahidah masing-masing tergelak sendiri.

"Abang dah mula kerja. Kak Idah pula belajar. Hari itu, ada juga balik sini, tapi tak sempat singgah rumah Aman sebab abang nak cepat. Inipun abang dapat cuti sehari. Kak Idah sajalah yang untung sebab cuti sem," jelas Syah. Aman meng'oh'kan sahaja.

"Aman, nah! Hadiah untuk hari jadi Aman... Maaf sebab lambat bagi." Syahidah menghulurkan sebuah kotak yang telah dibalut kemas menggunakan pembalut berwarna kelabu kepada Aman.

"Masya-Allah... Terima kasih, kak." Kotak itu bertukar tangan.

"Jangan ingat Kak Idah saja yang ada hadiah, abang pun adalah. Nah..." Tangan kirinya yang sejak tadi disorokkan di belakang tubuh ditunjukkan.

Ibu jari dan jari telunjuk dirapatkan membentuk mini love itu ditunjukkan kepada Aman dengan tawaan kecil.

"Sejak bila Abang Syah jadi sweet ini?" Soalan Aman tidak dibalas oleh Syah, sebaliknya Syahidah yang menjawabnya.

"Sejak hati dia dah dicuri orang," kata Syahidah. Lantas hidungnya dicuit oleh Syah.

"Diamlah." Syah menjeling sekilas ke arah adiknya. Syahidah pula tersengih-sengih.

"Abang gurau saja tadi itu... Ini hadiah dari abang." Syah membuka zip beg silangnya lalu mengeluarkan sebuah kotak jam berwarna hitam. Ia diberikan kepada Aman.

"Abang Syah ini memang tak pernah reti buat surprise. Tengoklah, kotak pun tak balut," tutur Syahidah.

"Suka hati abang lah. Asalkan Aman suka. Kan, Aman?" Aman mengangguk tanda setuju.

Mereka bertiga duduk di atas bangku tersebut. Syah berada di tengah-tengah sambil diapit oleh Syahidah dan Aman.

"Macam mana sekolah? Okey?" soal Syah terlebih dahulu.

"Alhamdulillah. Okey, cuma Aman ada masalah sikit dengan subjek Fizik. Susah. Ayah pula asyik marah Aman kalau gagal subjek itu." Aman menunduk ke bawah.

Tangan kanan Syah naik menepuk belakang tubuh Aman perlahan-lahan untuk menyalurkan sedikit ketenangan.

"Kalau dah tahu yang Aman susah nak faham subjek itu, Aman kena usaha lebih sikit untuk dapatkan yang terbaik. Susah sekarang tak apa Aman, insya-Allah kesenangan itu akan datang di kemudian hari." Syah memberikan sedikit pesanan ringkas kepada adiknya itu.

"Betul. Kalau Aman tak tahu nak tanya siapa ataupun malu nak tanya cikgu bila tak faham, boleh saja mesej abang atau kakak. Mana yang kami mampu, kami boleh bantu," sambung Syahidah pula.

Aman mengangkat muka memandang kedua mereka dengan mata yang bersinar-sinar.

"Ya ke ini? Alhamdulillah... Terima kasih!" Teruja sungguh nada suara Aman waktu itu.

"Sama-sama," jawab Syahidah dan Syah serentak.

Mereka bertiga berbual mesra bersama sehingga telefon Aman berbunyi. Dia menjawab panggilan daripada emaknya itu.

"Abang, kak. Aman dah kena balik ini. Mak dah suruh." Ton suara Aman bertukar sedih. Jika boleh, dia ingin terus berada dalam keadaan gembira seperti ini bersama Syah dan Syahidah, tetapi semua itu tidak dapat dicapai lagi.

"Tak apalah. Nanti kita jumpa lagi tau. Ingat Aman, belajar sungguh-sungguh untuk dapat keputusan cemerlang." Syahidah tersenyum manis.

"Macam kakak dengan abang! Aman ada nampak gambar Abang Syah dengan kakak dekat papan tokoh pelajar cemerlang sekolah. Hebatlah..." Syah tertawa kecil melihat keletah Aman.

"Ya? Tapi kakak tak dapat straight A pun," ujar Syahidah.

"Semua yang naik pentas, gambarnya akan diletak pada papan itu. Beruntunglah kakak," terang Aman.

"Untung? Malu adalah..." Syahidah mengerutkan dahi. Syah menggeleng perlahan.

"Apa-apa pun, setiap hari sebelum ke sekolah itu niat nak belajar ini kerana Allah. Insya-Allah dengan niat yang kita tanamkan dalam hati itu akan mengundang kejayaan kita di penghujungnya," pesan Syah. Ia disambut baik oleh Aman.

"Baik, abang. Aman akan simpan semua nasihat abang dengan kakak itu sampai bila-bila." Dia memeluk erat tubuh Syah.

"Dah pukul empat ini Aman. Nak abang hantarkan ke rumah?" ajak Syah. Aman terus menggeleng.

"Kalau abang hantar Aman, basikal Aman itu takkan nak tinggal sini saja? Hilang nanti," kata Aman.

"Oh yalah!" Syah tersengih kambing.

"Aman balik dulu. Assalamualaikum," ucap Aman sambil menyalami tangan kedua abang dan kakaknya dengan sopan-santun. Salam itu dijawab oleh mereka.

Kemudian, dia berjalan ke arah basikalnya yang terletak elok di tempat parkir basikal lalu melambai ke arah mereka sebelum menunggang pulang ke rumah.

Syah dan Syahidah menghantar pemergian Aman melalui pandangan mata.

"Jom, Idah. Kita singgah masjid dulu. Lepas solat baru kita gerak ke hospital. Okey?"  Cermin matanya yang sedikit berdebu itu dilap dengan berhati-hati sebelum memakainya semula.

"Okey, jom!" Syahidah menyahut keriangan.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now