Bab 2

13.8K 266 7
                                    

Bukan aje muka Kaisara kering tak berdarah. Mata pun hampir-hampir nak tersembul keluar. "Isy, kau ni... Ke situ pula." Kalau boleh dia tak nak buka cerita pasal hal ni.

"Dah tu pasal apa?"

"Hmmm... Pasal novel aku tu hah."

Menjadi pun taktik Bakhtiar nak bagi Kaisara buka mulut.

"Hah, apa pasal?"

"Manuskrip aku kena reject!" keluh Kaisara perlahan.

"Manuskrip? Oh... Novel kedua kau tu ke?"

Lambat-lambat Kaisara mengangguk. Macam nak berguling aje apabila baca e-mel daripada publisher tadi. Tapi sekarang rasa macam nak berhenti menulis pun ada! Tiba-tiba rasa tak yakin untuk menulis karya yang mendatang.

"Sebab apa? Ada alasan kenapa kena reject?" Bakhtiar tahu sangat kesukaan Kaisara yang satu tu. Menulis. Masa mula-mula tahu Kaisara menulis, memang habis dia bahan. Macam tak kena langsung!

"Tak ada. Dia cuma cakap tak memenuhi piawaian."

Mendengarkan lenggok suara Kaisara yang lemau tu, Bakhtiar tahu sangat yang Kaisara memang tak okey. Hmmm, cepat dia selak helaian akalnya. Mana ayat pujuk untuk Kaisara ni?

Kaisara labuhkan kepala di tapak tangan. Memangku dari hujung meja.

"Aku rasa macam nak bersara aje." Okey. Kelakar sungguh rasa. Sebut bersara macam buku dah sepuluh buah padahal baru terbit satu buku di pasaran.

Tiba-tiba Bakhtiar teringatkan gambar yang diterima dalam WhatsApp group di tempat kerjanya. Macam sesuai nak sedekah kepada Kaisara.

"Ara..." Telefon bimbitnya dihulurkan.

"Apa?"

"Cuba baca kapsyen dalam gambar tu."

Dia tak ada mood sebenarnya tapi dilayan juga kerenah Bakhtiar itu.

"Eee... Gambar apa yang kau tunjuk ni, Bak? Tak senonohlah." Belum sempat dia nak membaca, gambar seorang lelaki menunjukkan bulu ketiaknya itu terus membantutkan niatnya.

"Tsk... Bacalah dulu kapsyen tu. Abaikan model bapuk tu."

Apabila Bakhtiar dah layang suara serius tu, terpaksalah Kaisara gagahkan mata untuk membaca patah demi patah perkataan yang terhidang.

Mutiara Kata:

Kepada sesiapa yang ada masalah, janganlah stres sangat. Cubalah angkat tangan dan renungkan bulu ketiakmu. Belajarlah daripadanya. Ia tetap tumbuh walaupun dalam keadaan tersepit.

Tanpa sedar, wajah Kaisara terus koyak dengan senyuman. Dahsyat betul orang sekarang. Bulu ketiak pun boleh dijadikan contoh.

"Bulu ketiak yang tersepit pun boleh tumbuh mekar mewangi. Apatah lagi kita kejadian Tuhan yang paling indah di muka bumi. Dikurniakan akal fikiran. Dapat taraf jadi khalifah lagi. Jadi, kalau kita sendiri sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran cepat sangat mengaku kalah, kita patut malu dengan bulu ketiak, kan?"

Terkena sungguh Kaisara.

"Yalah, Bak. Tapi... Aku manusia biasa."

"Habis tu kau ingat bulu ketiak tu benda luar biasa ke?"

Menangkap sahaja ayat bulu ketiak tu, tak tertahan rasanya Kaisara hendak ketawa. Bakhtiar ni memang ada sahaja caranya untuk tak buat Kaisara patah semangat.

"Okey... Okey... Aku tak jadi nak bersara."

"Relakslah... Hidup memang banyak pasang surut. Tuhan tak akan selalunya bagi apa yang kita nak. Yang kau gaduh-gaduh pasal benda tu kenapa? Balik nanti kau kaji balik manuskrip kau tu. Kadang-kadang walaupun kita selalu masak, ada juga hari-hari masakan kita rasa tak sedap. Sebab apa? Sebab lumrah manusia tu tak sempurna. So, kajilah balik resipi cerita kau. Mana yang kurang garam gula tu, kasi tambah. Kalau hantar balik lepas tu kena reject lagi, mungkin bukan cita rasa publisher tu. Mungkin cita rasa publisher lain. Alah, macam aku suka Nasi Goreng Kampung, kau suka Char Kuetiau. Tak sama, kan?"

Alergi Mamat RomantikTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang