Bab 12

4.6K 108 4
                                    

Sedang elok Kaisara capai muk, Aina masuk ke dalam pantri bersama Azman. "Ara, buatkan aku segelas air." Nampak lelaki itu mengah dan sedikit tercungap-cungap.

"Amboi, sedap betul mengoder? Handsome sangat muka kau, Man?" bebel Aina yang selalu sahaja ada benda yang tak puas hati dengan Azman.

"Eh... Eh... Kau pula melebih. Kan aku mintak dengan Ara. Ara baik, comel, anggun, tak macam kau, Aina."

"Anggun konon... Kaki bodek betul kau ni, kan?"

Kaisara menggeleng. Bergegar otak dengar budak berdua ni bergaduh. "Boleh tak kau orang berdua berhenti bertekak? Naik berkecai saraf pendengaran aku ni rasanya. Hmmm, kau nak air apa, Man?"

"Nescafe tarik satu!"

"Jangan layan sangat Man tu, Ara. Dia memang saja nak susahkan kau. Macamlah tak boleh buat sendiri. Apa kaki tangan tu dah patah gamaknya."

"Eh, Ara yang buatkan air kat aku, kau pula yang membebel macam mak nenek," bidas Azman, tak nak kalah.

"Kau orang berdua ni boleh tak berhenti bergaduh? Mujur dua-dua dah kahwin. Kalau tak, memang aku kahwinkan kau orang berdua." Eh, macam bagus nak kahwinkan orang sedangkan diri sendiri pun tak kahwin lagi.

"Kalau kau serabut tengok kita orang bergaduh, macam itulah kita orang serabut tengok kau dengan Encik Arjuna bergaduh tau. Atau, kau nak aku kahwinkan kau dengan Encik Arjuna?" Aina dah datang dengan idea menggila dia.

"Kau gila ke? Dia tu dah ada kekasihlah."

"Eh, cakap pasal Encik Arjuna, kan? Aku ada gosip."

"Hah, apa dia?"

Kaisara menggeleng melihat telatah mereka berdua. Bab gosip aje, tiba-tiba boleh jadi geng pula, ya? Malas mahu melayan kedua-duanya, Kaisara angkat minumannya. Namun, kata-kata Azman membuatkan ayunan langkah kakinya terhenti.

"Tadi Encik Arjuna ada suruh aku ambil dokumen di dalam bonet kereta dia. Lepas tu, aku buka aje bonet, bersepah-sepah novel kut. Aku lupa pula tajuk novel tu. Tapi banyaklah. Mahu lebih lima puluh buah. Kalau tajuk lain-lain tak adalah nak pelik sangat. Ini sama aje."

"Dah tu apa yang peliknya?"

"Aku syak, Encik Arjuna tu tulis novel."

Kali ini Kaisara mula rasa tak sedap hati. Dia mula mendapatkan Azman.

"Erk, apa tajuk novel tu?"

"Itulah masalahnya. Tadi ingat. Sekarang tiba-tiba tak ingat. Tapi cover novel tu warna hijau-hijau sikit ada tepak sirih."

Kali ini Kaisara dapat rasa darahnya seakan-akan turun dari wajah. Kenapa macam cover novel dia sahaja?

"Banyak?"

"Banyaklah. Kalau tak banyak, tak adalah aku pelik. Tapi kejap. Nama pena dia perempuan kut. Takkan Arjuna guna nama pena perempuan pula?"

Kali ini rasa tak sedap hati bertambah seratus kilo.

"Man, cuba kau ingat balik apa nama pena tu?" paksa Kaisara.

Jari telunjuk Azman mula menari-nari di dahinya. Dia berharap benar yang dia akan ingat walaupun hujung suku kata. "Hmmm... Sassy... Sassy something like that la!"

Liur yang ditelan terasa berpasir. Muk yang panas itu digenggam erat oleh Kaisara. Langsung tak dapat merasai bahang kepanasannya. Terngiang-ngiang di telinganya.

"Sara, I am so proud of you. Carta nombor satu terlaris tu!"

"Jangan nak temberanglah!"

"Seriuslah. Nanti saya hantar gambar kat WhatsApp sebagai bukti. See, Tuhan tahu bila waktu selayaknya untuk awak bahagia. Jangan ragui kasih sayang Tuhan kepada awak. Ini, belum apa-apa dah patah semangat."

Alergi Mamat RomantikWhere stories live. Discover now