Bab 10

5.3K 124 3
                                    

Seperti yang diberitahu oleh Arjuna semalam, mamat tu cakap dia nak tip lain untuk jadi romantik selain daripada penggunaan ayat sweet overload. Sebab, bukan semua hati mampu dibeli bertiketkan ayat-ayat manis. Lagipun betul juga, ada orang suka minum air manis. Tapi ada yang suka dikurangkan kadar pengambilan gula. Kan manusia ni ada bermacam-macam versi.

"Tip romantik kali ini ialah mendengar."

"Mendengar? Maksud awak dengar masalah?"

"Diam boleh tak? Jangan menyampuk." Belum apa-apa dah suka mencelah. Susah loyar ni.

Arjuna sandarkan tubuh. Terkena. Terus dia tayang barisan gigi yang tersusun rapi.

"Sebenarnya tip ni lebih kepada cara berkomunikasi. Kebiasaan orang perempuan ni bila mereka berkomunikasi, dia orang akan guna ungkapan yang tidak terus. Dia orang suka guna bahasa berlapik, maksud terbalik ataupun ayat yang berpusing-pusing."

Ya. Itulah satu perkara yang sangat complicated tentang perempuan.

"Saya pernah baca satu artikel bertajuk 'Intelligence in men and women is a grey and white matter'. Binaan otak wanita ini memang dah diprogramkan. Ia memiliki lebih white matter. Tugas dia lebih kepada menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan komunikasi bahasa tidak terus."

"Tak faham." Tengok, dia pun pening dengar penerangan daripada Kaisara.

"Awak pun sedia maklum, kan? Bercakap adalah asas perhubungan utama bagi kaum Hawa. Jadi, bila nak buat ayat tu, mereka pakar guna pendekatan komunikasi bahasa tidak terus. Sebab bagi mereka, bahasa tidak terus itu lebih sopan, berbudi bahasa dan nak mengelakkan konfrontasi secara terbuka. Okey... Saya bagi contoh, ya?"

Akal Kaisara terus dikerah untuk bekerja lebih masa apabila dia tengok wajah Arjuna blur semacam aje.

"Contohnya, suami dan isteri tu berada di dalam kereta. Mereka dalam perjalanan balik. Masa on the way, si isteri nampak deretan kedai makan. Si isterinya sebenarnya lapar tapi dia tak cakap secara terus yang dia lapar."

"Habis tu? Dia cakap apa?"

"Macam yang saya cakap tadi. Bahasa tidak terus. Mungkin dia akan guna dialog versi begini... Abang, lapar tak? Tak pun versi macam ni. Eh, itu kedai yang pernah kita pergi dulu, kan? Makan tomyam. Agak-agak tomyam kedai tu sedap lagi tak?"

Arjuna ketawa. Kenapa dia rasa macam betul, eh?

"Kenapa, eh? Kenapa susah sangat nak berterus terang cakap lapar? Kan senang suami nak faham."

"Kaum Hawa ni memang suka nak guna cara macam ni untuk sampaikan mesej. Terutama sekali dengan orang yang dia sayangi. Bagi dia orang, jika orang yang dia sayang ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka lelaki itu akan dilabelkan sebagai seorang yang romantik."

"Oh, jadi kena pandai dengar dan tangkap makna bahasa tidak terus mereka. Gitu?"

Laju Kaisara mengangguk.

"Dengar macam senang. Nak buat tu payah," kompelin Arjuna.

"Yup. Kaum Adam biasanya tak faham bahasa tidak terus ini. Sebab minda lelaki memiliki lebih sepuluh grey matter daripada wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat. Maksudnya, bila orang lelaki dengar, otak mereka terus buat kerja. Memang mereka tak dapat menangkap ayat berlapik ini. Kefahaman mereka hanya bergantung kepada ayat yang diucapkan. Sebab itu bila isteri dia tanya abang tak lapar ke, suami akan jawab. Tak lapar. Lepas tu isteri pun kecewa dengan respons suami."

Tiba-tiba Arjuna rasa topik ni dah masuk part serius. Betapa komunikasi yang salah bakal memburukkan lagi hubungan lelaki dan perempuan.

"Jadi kalau kes yang pertama tadi, kalau dengar ayat versi macam tu daripada seorang perempuan, si suami yang romantik akan terus membelokkan keretanya. Faham yang itu hint isterinya dah lapar."

Alergi Mamat RomantikDonde viven las historias. Descúbrelo ahora