Bab 7

5.5K 121 6
                                    

Balik kerja dalam keadaan kelesuan, Kaisara terus terbongkang di atas katil. Tak sempat nak tunggu isyak, laju aje tangan menggagau bantal. Mata ingin melayan lena.

"Eh... Eh... Eh... Aku silap masuk bilik ke, hah? Sejak bila kau kenal bantal sebelum pukul dua pagi?" Suara Hasnah yang muncul di muka pintu itu tidak dihiraukan oleh Kaisara.

Tinggal nak tekan butang On sahaja. Lepas ni pasti layan mimpi. Tapi lengannya ditarik oleh Hasnah.

"Ara, solat isyak dulu. Nanti kalau dah tidur, susah nak bangun." Bukan dia tak tahu perangai Kaisara yang satu itu. Apabila dah tidur, gempa bumi pun belum tentu sedar.

"Aku mengantuk sangatlah, Has."

"Sepuluh minit aje sebelum isyak. Bertahanlah sikit, Ara. Bangun-bangun." Tak menghiraukan rayuan Kaisara, badan sahabatnya itu ditepuk kuat. Biar berkecai segala rasa kantuk itu.

"Penat kau ni mengalahkan orang kerja buruh kasar tau!" komen Hasnah sambil menggeleng.

"Penatlah... Kau tak tahu lawyer kat tempat aku yang baru tu. Kuat membuli! Habis ditagih setiap inci kudrat aku ni tau!"

Hasnah sengih. Ya, tahu... Sejak dua menjak ini, nama lelaki itu dah makin kerap meniti di bibir Kaisara.

"Dia nak mengurat kaulah tu."

"Dia dah ada aweklah." Mulut Kaisara tetap menjawab walau mata sudah terpejam. Tangan pula erat memeluk bantal.

Mulut Hasnah membentuk O. Baru mengetahui kenyataan yang satu ini.

"Eh, aku ada masak tomyam. Pergilah makan."

"Aku tak lapar. Aku cuma nak check-in mimpi aje sementara nak tunggu isyak ni."

Perbualan mereka terhenti apabila telefon bimbit Kaisara berbunyi.

Terpamer nama bos di skrin telefon.

"Kenapa pula publisher aku call malam-malam ni?" Mulut mengomel sendiri.

"Jawablah. Kalau tak jawab mana kau nak tahu."

Digagahkan juga jari menyentuh skrin telefon. Suara yang lemau itu cuba disegarkan.

"Helo, bos. Kenapa telefon?"

"Helo, Ara. Minggu ni awak free tak?" Amboi soalan. Macam nak ajak dating!

"Hmmm... Free rasanya. Kenapa?"

"Okey, good. Macam ni, minggu ni ada karnival pesta buku di Hotel Zenith. Awak join ya untuk sesi bertemu peminat?"

Mata yang layu tadi terus membulat. Pinggang yang bengkok itu terus diluruskan.

"Hah? Isy... Tak mahulah. Saya tak mahu dikenali."

Kerja gila nak pergi duduk tempat tu dan bertemu dengan peminat. Dia bukan penulis glamor pun! Ada ke orang nak dapatkan sain dia nanti? Buku pun baru masuk dua buah.

"Bila lagi nak promote novel sendiri? Penulis turun padang, mesti lagi seronok dan meriah. Lagipun boleh promote novel baru awak, kan?" jelas Encik Kamarul lagi.

"Isy... Tak mahulah, bos," tolak Kaisara lagi.

"Tak ada... Ini arahan. Sila kosongkan aktiviti minggu ni. Awak kena datang juga. Kalau tak datang, saya tak mahu terima manuskrip awak yang akan datang." Suara Encik Kamarul dah bertukar menjadi sebuah arahan bin ugutan.

Sesudah itu, talian terus diputuskan.

"Gila!" Sepatah perkataan itu meluncur keluar dari mulut Kaisara.

"Kenapa?"

"Ada sesi bertemu peminat untuk pesta buku. Aku kena turun padang."

Hasnah tarik senyum panjang-panjang. "Wah! Dah macam nak buat promosi filem pula, kan?" Hasnah pula yang teruja terlebih.

Alergi Mamat RomantikOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz