BAB 8

9.4K 521 84
                                    

"KAMU udah pulang?"

Aku yang baru keluar dari balik air memusing pandang kepada Chinta. Dia sedang mengacau sesuatu di dalam mug. Pastinya kopi, memandangkan baunya mengerumuni dapur. Satu yang aku perasan tentang Chinta. Dia gemar sekali meminum kopi di malam hari. Pernah sekali aku menyoal, sama ada dia mampu tidur atau pun tidak. Tetapi jelas Chinta, kafein tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya.

"Semalam, kamu tidurnya di mana, sih?" soalnya lagi.

Semerta, aku teringatkan Arjuna dan rumahnya yang cantik.

"Di rumah kawan," jawabku padahal dalam hati, aku menggerutu sendiri. 'Sejak bila pula aku berkawan dengan Arjuna? Dia sekadar lelaki yang asyik muncul depan aku, seolah-olah di Kyoto ini cuma ada aku dan dia.'

"Kawan? Saya fikir kamu enggak punya kenalan di Kyoto."

Aku menggaru belakang leher dan memasang senyum canggung. "Ada. Tapi saya enggak pernah bilang sama kamu."

"Oh, okey." Chinta mengangguk-anggukkan kepala.

"Kamu dan Surya mau ke Osaka ya, esok pagi?" tanyaku usai teringat akan rancangan mereka.

Chinta mempamer muka sedih. "Iya. Kok kita harus berpisah."

Gelak kecilku meletus.

"Kamu fikir sekarang zaman batu? Internet ada, whatsapp ada, skype pun ada. Macam-macamlah. Kalau kamu kangen sama saya, call aje dong," gurauku, masih dengan Bahasa Indonesia yang sesuka hati aku guna.

Chinta turut ketawa. Sebelah tangannya memeluk bahuku. Sebelah lagi memegang mug.

"Saya senang kenalan sama kamu."

Aku mencebik bibir. "Jiwang, ya kamu."

"Jiwang?" Dahi Chinta berkerut tebal.

"Romantis," tafsirku.

Sepantas kilat, Chinta melepaskan tangannya dan menolak aku. "Romantis sama kamu? Uwek!"

Aku menghambur tawa kuat. Hatiku rasa senang. Tidak pernah aku sangka bahawa perkenalan yang singkat di Hitsuji-an ini akan membuahkan persahabatan yang sebegini rapat. Benarlah kata orang, untuk benar-benar bersahabat, kita tidak memerlukan masa yang lama. Seperti itu juga dengan cinta. Allah bisa membuahkan cinta ke dalam hati hamba-Nya dalam masa sesaat. Dia mampu menarik cinta itu pergi, juga dalam masa sesaat.

"So..."

Sebelah keningku terangkat, menyoal dengan isyarat.

"Kamu jadi tinggal di sini hingga minggu hadapan?"

Pertanyaan Chinta membuatkan aku bungkam sejenak. Kalau diikutkan perancangan asal, aku akan tinggal di Kyoto selama dua minggu memandangkan peruntukan wang aku tidaklah banyak mana. Dalam masa itu, aku akan memperjudikan nasib untuk mencari Badri. Sama ada akan menemuinya atau pun tidak, semuanya bergantung kepada ketentuan-Nya. Tetapi, siapa sangka? Rupa-rupanya Allah telah mengatakan bahawa hanya selepas seminggu di sini, aku akan bertentang empat mata dengan sahabat yang dicari-cari. Namun sayang, sahabat itu bukan lagi sahabat yang sama.

"Saya...mau pulang lusa. Lagi dua hari." Lambat-lambat, aku menjawab.

Bebola mata Chinta membulat. "Ke Malaysia?"

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now