BAB 17

13K 507 164
                                    

"TAK BOLEH!"

"Kau tak perlu cakap apa-apa. Ikut saja!"

"Apa yang kau buat tak betul. Mana boleh..."

"Dengar sini. Aku ketua kau. Aku bagi arahan. Kau ikut arahan. Benda senang macam tu pun, susah sangat ke untuk kau faham?!"

"Kau memang ketua aku. Aku cuma orang suruhan yang tak ada guna. Tapi, kita sama-sama Sanshin-kai. Aku takkan biarkan kau buat apa-apa yang akan susahkan kumpulan kita."

Badri bungkam, jelas terkesan dengan hujah terakhir yang dipantulkan oleh Daichi, teman merangkap anak buahnya yang tiba-tiba muncul bersama Yumiko sebentar tadi. Kata Yumiko, dia terserempak dengan Daichi sewaktu membeli kopi. Kebetulan, Daichi datang untuk menjemput ketuanya. Dan sekarang aku menyaksikan mereka berdua bergaduh besar.

Semuanya gara-gara Badri memberitahu Daichi bahawa dia mahu melarikan aku daripada Arjuna dan mahukan bantuan lelaki itu. Menurut Badri, kemunculan Nakajima Hiroshi di rumah Arjuna bukanlah sesi datuk melawat cucu semata-mata. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya. Sesuatu yang tidak elok.

"Ini urusan peribadi aku, Daichi. Tak ada kaitan dengan Sanshin-kai," ucap Badri setelah beberapa ketika mendiam.

Daichi ketawa mengejek.

"Kau sedang buat lawak ke? Perempuan ni ada kaitan dengan siapa?" Jari telunjuk Daichi dituding ke muka aku. "Dengan Aizukotesu-kai! Kau sentuh dia, kau sentuh Aizukotetsu-kai. Kau buat macam tu, Sanshin-kai yang terima akibat."

"Aku tak peduli."

"Kau kena peduli!" tengking Daichi. Dia sudah tidak serupa anak buah. Garangnya melebihi si ketua yang aku pasti semakin berbelah bahagi.

Daichi melangkah lebih dekat kepada Badri yang sedari tadi sudah berdiri. Tidak lagi duduk di sebelahku. Mukanya dipanggung lebih dekat. Mata yang berdesis garang itu sengaja dipanahkan tepat ke wajah Badri.

"Aku takkan biarkan kau buat benda bodoh. Kita bukan sedang bercakap pasal si tolol Goro. Dia itu memang bukan siapa-siapa. Tapi, ini pasal Aizukotetsu-kai. Kau fikir kita boleh selamat kalau cari pasal dengan Aizukotetsu-kai?"

Badri mencerun mata lebih tajam ke muka Daichi. Penuh keyakinan, kegagahan dan kepastian yang jitu.

"Aku tak peduli pasal diri aku sendiri. Asalkan aku boleh bebaskan dia daripada genggaman jantan tu."

Sekonyong-konyong, Daichi mencekak kolar baju Badri. Kasar!

Aku tersentak. Yumiko di sebelah sudah pun terbangkit dari duduk.

"Dasar manusia pentingkan diri sendiri. Kau memang tak peduli pasal kumpulan kita, kan?" desis Daichi dengar tak dengar.

Segala bicara Daichi bagaikan tidak bermakna buat Badri. Dia tetap menayang muka kosong. Kemudian, dia bersuara dengan suara yang dingin dan sangat mendatar.

"Aku lebih lama kenal perempuan ni berbanding kumpulan kita. Lagipun, kau sendiri tahu, kan? Aku tak pernah ingin untuk menyertai Sanshin-kai."

Daichi tersentap kuat. Mata sepetnya membesar. Sedikit demi sedikit, cengkamannya terlepas. Kedua-dua belah tangan terlurut ke bawah. Dia tampak kecewa.

"Jadi..." Daichi menghela nafas panjang. "Selama dua tahun kita bersama, kumpulan kita betul-betul tak ada makna untuk kau? Hinggakan kau sanggup biarkan orang-orang kita mati demi selamatkan perempuan ni?"

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now